Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pelakon Yang Dilupakan? Mengimbas Karier Chandrachur Singh

     Chandrachur Singh dilahirkan pada 11 Oktober 1968 di Aligarh, Uttar Pradesh, India. Dia berasal daripada keluarga yang berpengaruh di mana bapanya, Baldev Singh pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Khair manakala ibunya pula iaitu Krishna Kumari Devi berasal daripada keluarga kerabat diraja di Odisha. Pendidikan awal Chandrachur bermula di The Doon School, Dehradun, sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal sebelum dia melanjutkan pengajian di St. Stephen’s College, Universiti Delhi, dalam jurusan Sejarah. Sebelum memasuki dunia lakonan, Chandrachur pernah berhasrat untuk menjadi pegawai perkhidmatan awam dan telah bersedia menghadapi peperiksaan UPSC.

     Kerjaya lakonan Chandrachur bermula dengan cemerlang pada tahun 1996 apabila dia membuat debut dalam filem Tere Mere Sapne, sebuah produksi rumah produksi ABCL yang dimiliki oleh Amitabh Bachchan. Pada tahun yang sama, Chandrachur membintangi filem Maachis arahan Gulzar, sebuah filem yang mendapat pujian pengkritik dan menjadikan Chandrachur sebagai salah seorang pelakon muda yang menonjol dalam industri Bollywood. Dia kemudiannya muncul dalam beberapa filem komersial popular seperti Josh (2000) bersama Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai serta Kya Kehna (2000). Pada ketika itu, Chandrachur dilihat sebagai pelakon berbakat dengan masa depan yang cerah.



     Walau bagaimanapun, perjalanan kerjaya Chandrachur mengalami perubahan mendadak pada awal tahun 2000-an. Semasa menjalani aktiviti sukan air, dia mengalami kemalangan jet ski di Goa yang mengakibatkan bahunya mengalami dislokasi berulang. Kecederaan ini menjejaskan keupayaannya untuk menjalani penggambaran secara konsisten dan mengekalkan bentuk fizikal yang diperlukan bagi watak utama. Disebabkan itu, banyak tawaran filem terpaksa ditolak atau tertunda dan dia mula jarang muncul dalam produksi besar. Chandrachur sendiri mengakui bahawa dirinya melalui fasa kecewa dan berasa terpinggir daripada arus utama industri filem.

     Selain kerjaya lakonan, Chandrachur juga menumpukan perhatian kepada kehidupan peribadi terutamanya tanggungjawab sebagai seorang bapa tunggal. Dia mengakui bahawa menjadi bapa tunggal memerlukan banyak masa dan perhatian dan perkara ini turut mempengaruhi pilihan kerjayanya. Chandrachur menekankan bahawa tanggungjawab terhadap anaknya menjadi keutamaan dalam hidupnya. Dia bahkan bersedia menolak projek yang tidak sesuai atau tidak bermakna.

     Seiring dengan perkembangan industri hiburan, terutama kebangkitan platform digital, Chandrachur berjaya membuat kemunculan semula. Pada tahun 2020, dia membintangi siri web Aarya di platform Disney+ Hotstar, sebuah peranan yang memberinya pengiktirafan semula dan peluang untuk membuktikan bakatnya dalam produksi berkualiti tinggi. Dalam temu bual, Chandrachur menekankan bahawa platform digital membolehkan pelakon memilih karya yang bermakna dan mengutamakan mutu lakonan, bukan semata-mata populariti atau rupa paras. 


Catat Ulasan for "Pelakon Yang Dilupakan? Mengimbas Karier Chandrachur Singh"