Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BANGUNAN APARTMENT 7 DI KRAMATORSK

     Pada awal tahun 1980, sebuah bangunan pangsapuri bernombor 7 di Marii Pryimachenko Street, Kramatorsk, Ukraine mula dihuni oleh beberapa keluarga. Salah satu unit apartmen iaitu Apartment 85 telah didiami oleh seorang wanita bersama dua anak remajanya iaitu seorang perempuan berusia 18 tahun dan seorang lelaki berusia 16 tahun. Kehidupan mereka pada awalnya berjalan seperti keluarga lain dengan rutin harian biasa termasuk kerja, sekolah dan aktiviti domestik yang normal. 

    Pada tahun 1981, anak perempuan keluarga ini mula mengalami masalah kesihatan serius. Setelah beberapa pemeriksaan, dia disahkan menghidap leukemia, penyakit kanser darah yang menyerang sumsum tulang. Dia meninggal dunia tidak lama selepas diagnosis. Beberapa bulan kemudian, adiknya, seorang remaja lelaki turut jatuh sakit dengan simptom serupa. Setelah disahkan menghidap leukemia, dia meninggal dunia dalam tempoh singkat. Tidak lama selepas itu, ibu mereka turut diserang penyakit yang sama dan meninggal dunia. Ketiga-tiga kematian ini berlaku sebelum punca sebenar dikenal pasti. Pada masa itu doktor menganggapnya sebagai penyakit genetik atau kebetulan.

     Beberapa tahun kemudian, keluarga lain berpindah ke Apartment 85. Anak lelaki keluarga ini juga mengalami masalah kesihatan dan meninggal dunia akibat leukemia pada tahun 1987. Kes berulang ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penghuni dan jiran-jiran tetapi punca sebenar hanya dapat dikenalpasti selepas pihak berkuasa memulakan pemeriksaan radiasi di pangsapuri tersebut.

     Pemeriksaan teknikal yang dilakukan pada tahun 1989 mendedahkan bahawa dalam dinding konkrit apartmen terdapat sebuah kapsul kecil yang mengandungi cesium‑137, bahan radioaktif yang sangat berbahaya. Kapsul ini bukan sengaja diletakkan di situ tetapi tercampur secara tidak sengaja semasa pembinaan bangunan. Sumber kapsul ini berasal daripada alat pengukur radiasi yang digunakan di Karansky Quarry, sebuah kuari batu berhampiran Kramatorsk pada akhir 1970-an. Semasa operasi kuari, kapsul itu hilang daripada peralatan dan secara tidak sengaja masuk ke dalam timbunan kerikil yang kemudian digunakan untuk membuat konkrit bagi bangunan pangsapuri termasuk Building 7. Pada masa itu, tiada prosedur keselamatan atau pemeriksaan radiologi terhadap bahan binaan  sekali gus menyebabkan kapsul itu tidak dikesan.

     Sepanjang hampir sembilan tahun, kapsul cesium‑137 itu memancarkan radiasi gamma yang tinggi ke dalam apartmen terutama berhampiran ruang tamu dan bilik tidur di Apartment 85. Penduduk yang tinggal berhampiran dinding tersebut terdedah kepada pendedahan kronik yang akhirnya menyebabkan beberapa kes leukemia dan masalah kesihatan lain. Pendedahan ini berlaku secara senyap tanpa sebarang gejala awal yang jelas sehingga hampir satu dekad kemudian bahaya sebenar baru dapat dikesan.

      Secara keseluruhan, insiden ini menyebabkan kematian sekurang-kurangnya empat orang dan memberi kesan kepada kira-kira 17 penghuni lain yang terdedah kepada radiasi. Kesan jangka panjang radiasi ini bukan sahaja melibatkan leukemia tetapi juga kesan kesihatan lain seperti anemia, masalah kulit dan kesan kepada sistem imun.

     Setelah kapsul cesium‑137 ditemui, pihak berkuasa mengambil langkah-langkah keselamatan untuk menguruskan pembuangan bahan radioaktif itu. Dinding konkrit yang tercemar dipotong, kapsul dibawa ke Institut Penyelidikan Nuklear di Kyiv dan bahan tersebut dikendalikan serta dilupuskan mengikut prosedur keselamatan nuklear yang ditetapkan. Pemeriksaan radiasi juga dilakukan ke atas penghuni lain yang pernah tinggal di pangsapuri tersebut untuk menilai tahap pendedahan dan memberi rawatan atau pemantauan kesihatan yang sewajarnya. Tiada laporan mengenai pendedahan radiasi baharu atau masalah kesihatan akibat radiasi selepas pengurusan kapsul cesium‑137 dijalankan.



Catat Ulasan for "KISAH BANGUNAN APARTMENT 7 DI KRAMATORSK "