KISAH MISTERI KEHILANGAN SOPHIA KOETSIER


     Pada 28 Oktober 2015, Sophia Koetsier, seorang pelajar perubatan berusia 21 tahun dari Belanda dilaporkan hilang secara tiba-tiba ketika berada di Taman Negara Murchison Falls, Uganda. Setahun sebelum kejadian, Sophia telah menamatkan latihan perubatan melalui satu program antarabangsa di Lubaga Hospital, Kampala. Sepanjang tempoh tersebut, dia dikenali sebagai seorang yang ceria, mudah membantu dan sangat berdedikasi terhadap pesakit sehingga dihargai oleh rakan sekerja serta kakitangan tempatan.

     Sophia menyertai program latihan amali selama lapan minggu di hospital berkenaan di mana dia bukan sahaja mempelajari teori bahkan terlibat secara langsung dalam pembedahan kecil, membantu proses kelahiran dan melaksanakan pelbagai tugasan harian lain. Selain komitmennya terhadap bidang perubatan, Sophia turut menunjukkan minat yang mendalam terhadap budaya dan kehidupan penduduk tempatan di Uganda.


     Selepas menamatkan latihan pada 22 Oktober 2015, Sophia memutuskan untuk meneruskan pengembaraan selama beberapa minggu di sekitar Uganda bersama dua rakan dari program yang sama serta seorang pemandu pelancong tempatan bernama Michael Kijjambu. Mereka merancang untuk melawat beberapa taman semula jadi utama termasuk Murchison Falls National Park, sebuah kawasan perlindungan hidupan liar yang terkenal dengan kehadiran singa, buaya, gajah dan badak sumbu.

     Pada petang 28 Oktober yakni selepas beberapa hari dalam perjalanan, kumpulan  tersebut tiba di Student Education Centre di Murchison Falls, lokasi yang telah dipilih untuk bermalam. Sebelum itu, mereka sempat menyertai pelayaran bot singkat di Sungai Nil. Pada sekitar jam 6.00 petang, mereka tiba di pusat penginapan dan mula menyusun bagasi serta membahagikan bilik. Dalam keadaan petang yang masih cerah, Sophia memaklumkan kepada rakannya bahawa dia ingin ke tandas di sebuah bangunan kecil yang terletak beberapa puluh meter dari tempat mereka menginap. Itulah kali terakhir Sophia dilihat atau diketahui keberadaannya secara pasti.

     Apabila Sophia tidak kembali selepas tempoh yang sepatutnya, rakan-rakannya mula bimbang lalu memaklumkan pihak pengurusan taman. Polis Uganda dan pihak berkuasa taman segera melancarkan operasi mencari namun sehingga malam pertama berlalu, tiada sebarang petunjuk ditemui. Pencarian diteruskan pada hari-hari berikutnya dengan bantuan helikopter, anjing pengesan, bot serta dron yang dibawa oleh pasukan dari Belanda. Walaupun operasi dijalankan secara besar-besaran, tiada bukti fizikal yang menunjukkan keberadaan Sophia ditemui.


     Beberapa penemuan ganjil sebaliknnya mula menimbulkan tanda tanya. Barangan peribadi Sophia ditemui berselerak di kawasan berhampiran tebing Sungai Nil termasuk selipar yang masih bersih, sebuah beg kecil, cermin mata hitam serta potongan kain daripada seluarnya yang dijumpai di dalam hutan. Lebih membingungkan, sehelai pakaian dalam miliknya ditemui tergantung pada dahan pokok beberapa meter dari tanah, sesuatu yang dianggap sukar dijelaskan jika dikaitkan dengan serangan haiwan liar seperti yang didakwa pada peringkat awal.

     Pihak berkuasa Uganda pada mulanya beranggapan kehilangan Sophia berpunca daripada kemalangan sama ada diserang haiwan liar atau terjatuh ke dalam sungai. Mereka menjelaskan bahawa kawasan taman negara yang luas dan tidak bertanda jelas boleh menyebabkan pelawat mudah tersesat. Namun ketiadaan kesan darah, tanda pergelutan atau penemuan jasad menjadikan teori tersebut sukar diterima sepenuhnya. Hal ini kerana kebiasaannya insiden melibatkan haiwan atau kemalangan serius biasanya meninggalkan bukti fizikal yang jelas.

     Kecurigaan semakin memuncak apabila keluarga Sophia menjalankan analisis bebas di makmal Eropah terhadap beberapa barangan yang ditemui. Keputusan analisis mendedahkan kewujudan profil DNA lelaki yang tidak dikenali yang tidak sepadan dengan mana-mana ahli kumpulan perjalanan, pemandu pelancong atau pegawai yang mengendalikan barang bukti. Penemuan ini menimbulkan persoalan besar tentang kemungkinan campur tangan manusia. Cuma sehingga kini, tiada penjelasan terperinci diberikan oleh pihak penyiasat tempatan mengenai DNA tersebut.

     Sepanjang tempoh pencarian, ibu Sophia, Marije Slijkerman tampil sebagai suara paling lantang menuntut keadilan dan kebenaran. Dia menolak keras teori bahawa anaknya hanyut atau dimangsa haiwan liar. Marije berulang kali ke Uganda untuk menjalankan siasatan sendiri, menemu bual saksi yang tidak pernah dipanggil oleh polis dan meneliti aspek penyiasatan yang dianggap cuai. Usaha berterusan ini akhirnya membawa kepada pembukaan semula perbicaraan pada tahun 2025 di mana pemandu pelancong, Michael Kijjambu didakwa kerana beroperasi tanpa lesen sah. Walau bagaimanapun, hingga setakat ini masih tiada keputusan muktamad yang secara langsung mengaitkannya dengan kehilangan Sophia. 

     Hingga pada hari ini, jasad atau sisa tubuh Sophia tidak pernah ditemui. Semua teori yang dikemukakan kekal bersifat spekulatif tanpa bukti muktamad. Walaupun keluarga terus memperjuangkan keadilan melalui usaha pencarian dan tindakan undang-undang, nasib Sophia masih kekal sebagai satu misteri.

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEHILANGAN SOPHIA KOETSIER"