Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AYAZHAN EDILOVA

     Kes kematian Ayazhan Edilova menjadi salah satu kes pembunuhan paling mengejutkan di Kazakhstan pada tahun 2021. Ayazhan iaitu seorang gadis berusia 19 tahun dari Almaty dikenali sebagai remaja yang pendiam, sopan, rajin bekerja dan mempunyai minat mendalam dalam bidang fesyen. Sejak belajar, dia aktif menjahit pakaian dan mengambil upah menyediakan busana tempahan selain bekerja sambilan di sebuah salon kecantikan untuk menampung kehidupannya. Guru serta rakan-rakannya menggambarkan Ayazhan sebagai seorang gadis yang sangat menjaga batas diri, tidak bermasalah dan tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti tidak bermoral. Dia juga sering membantu keluarga dan memiliki impian untuk menjadi pereka fesyen profesional satu hari nanti.

     Hinggalah pada malam 19 Mac 2021, kehidupan Ayazhan berubah secara tragis. Selepas tamat syif di salon kecantikan sekitar pukul 8.48 malam, dia pulang seperti biasa tetapi tidak pernah tiba di rumah. Keluarganya mula risau apabila panggilan telefon tidak dijawab dan mesej tidak dibalas. Keesokan harinya, mereka membuat laporan polis. Pihak berkuasa memulakan pencarian dengan meneliti rakaman CCTV sekitar kawasan Ayazhan dilaporkan hilang. Rakaman menunjukkan dia memasuki sebuah bangunan pangsapuri berhampiran tanpa keluar semula.


     Siasatan membawa polis ke sebuah unit kediaman yang dihuni seorang lelaki berusia 28 tahun dari wilayah Turkistan. Ketika polis menyerbu rumah itu, mereka menemui tanda-tanda kekejaman teruk termasuk kesan darah di beberapa bahagian bilik mandi dan ruang dapur. Suspek didapati mengalami kecederaan akibat percubaan membunuh diri ketika pihak berkuasa memecahkan pintu untuk masuk. Semasa ditahan, dia dalam keadaan panik dan gagal memberikan penjelasan yang munasabah tentang apa yang berlaku.

     Hasil siasatan mendapati Ayazhan dilaporkan datang ke unit tersebut untuk urusan kerja. Suspek dikatakan menghubunginya untuk mengambil ukuran pakaian bagi tempahan sut. Namun setelah Ayazhan memasuki kediaman itu, keadaan berubah menjadi ganas. Berdasarkan keterangan forensik, mangsa dipercayai diserang, diganggu secara seksual dan dibunuh dengan kejam. Dalam cubaan untuk menghapuskan bukti, suspek memotong tubuh Ayazhan kepada beberapa bahagian. Beberapa bahagian tubuh dibuang ke dalam tong sampah berhampiran bangunan manakala bahagian lain ditemui tersembunyi di dalam rumah. Siasatan turut menunjukkan bahawa suspek cuba memusnahkan identiti Ayazhan dengan menanggalkan gigi serta menyingkirkan kuku dan kesan cap jari mangsa. Lebih mengerikan, laporan forensik menyatakan bahawa kepala mangsa direbus dalam periuk yakni usaha ekstrem suspek untuk menghapuskan sebarang bukti.

     Penemuan ini mencetuskan kemarahan besar dalam rakyat Kazakhstan. Keluarga Ayazhan bersama guru dan rakan-rakannha telah tampil menegaskan bahawa mangsa tidak pernah hidup dalam gaya sosial yang berisiko sekali gus menolak sebarang spekulasi liar. Mereka menuntut keadilan dan hukuman berat terhadap pesalah.

     Perbicaraan kes dijalankan secara tertutup atas permintaan keluarga serta atas faktor sensitif dan keterukan jenayah. Suspek memilih untuk tidak dibicarakan oleh juri menyebabkan keputusan sepenuhnya berada di tangan hakim. Setelah meneliti bukti, laporan forensik dan keterangan saksi, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun kepada suspek atas kesalahan merogol serta membunuh Ayazhan dengan kekejaman luar biasa. Walau bagaimanapun, keputusan tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai kerana hukuman itu dianggap terlalu ringan dan tidak setimpal dengan penderitaan dialami mangsa serta trauma keluarga.


Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AYAZHAN EDILOVA "