16 Tahun yang Hilang: Lelaki di Sebalik Kisah Lucky


     Lucky ialah sebuah memoir karya Alice Sebold yang diterbitkan pada tahun 1999. Buku ini menceritakan pengalaman sebenar penulis sebagai mangsa rogol ketika berusia 18 tahun yakni semasa dia menuntut di Universiti Syracuse, New York. Memoir ini bukan sahaja menonjolkan pengalaman traumatik yang dialami Sebold, tetapi juga perjalanan panjangnya untuk memulihkan diri serta kisah bagaimana sistem keadilan jenayah gagal memberikan kebenaran yang sebenar.

     Kejadian rogol berlaku pada tahun 1981 ketika Sebold berjalan melalui sebuah terowong berhampiran kampus universiti. Serangan itu meninggalkan kesan fizikal serta emosi yang mendalam hingga menjadikan kehidupan hariannya penuh ketakutan dan trauma. Selepas kejadian itu, Sebold melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa di mana dia melalui proses siasatan yang panjang termasuk pemeriksaan perubatan, soal siasat berulang kali dan perbicaraan yang menegangkan.


     Beberapa bulan kemudian, Sebold mendakwa terserempak dengan seorang lelaki di jalanan yang menurutnya menyerupai penyerang tersebut. Lelaki itu ialah Anthony Broadwater, seorang pemuda kulit hitam. Broadwater kemudian ditahan dan didakwa atas kesalahan merogol Sebold. Walaupun bukti yang dikemukakan mempunyai banyak kelemahan termasuk percanggahan dalam pengecaman, dia tetap dibawa ke mahkamah.

     Perbicaraan Broadwater berlaku dalam keadaan yang berat sebelah dan tidak adil. Teknologi forensik ketika itu masih terhad dan kurang tepat. Bukti rambut yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mampu mengesahkan bahawa ia milik Broadwater tetapi tetap digunakan untuk menyokong tuduhan. Pengecaman awal Sebold juga tidak begitu meyakinkan. Namun semasa perbicaraan, saksi pendakwaan menekankan bahawa Broadwater adalah pelaku.

     Pada tahun 1982, Anthony Broadwater disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara antara 8 hingga 25 tahun. Sabitan ini kemudian dimasukkan dalam memoir Lucky sebagai bukti bahawa keadilan telah ditegakkan dan Broadwater dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap penderitaan Sebold.

     Selepas menjalani kira-kira 16 tahun penjara, Broadwater dibebaskan. Walau bagaimanapun, kebebasan itu tidak membawanya kepada kehidupan yang normal. Dia terpaksa hidup dengan stigma sebagai pesalah seks, menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan dan perumahan serta menanggung kesan psikologi akibat sabitan yang salah. Selama bertahun-tahun, Broadwater cuba membersihkan namanya, tetapi tanpa saluran yang berkesan.

     Memoir Lucky menerima pujian meluas kerana keberanian penulis menceritakan pengalaman traumanya. Kejayaannya juga menjadi batu loncatan kepada Sebold sebagai penulis terkenal sebelum dia  menulis novel fiksyen popular The Lovely Bones.

     Kontroversi sebenar tercetus apabila beberapa dekad kemudian, kes Broadwater disemak semula bagi tujuan adaptasi filem Lucky. Semakan ini menimbulkan banyak keraguan terhadap sabitan terdahulu. Ujian forensik moden dan analisis bukti lama mendapati bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkan Broadwater dengan jenayah tersebut. Kes tersebut dibawa semula ke mahkamah. Pada tahun 2021, sabitan terhadap Broadwater dibatalkan secara rasmi. Hakim menyifatkan bahawa kes itu adalah kesilapan besar sistem keadilan.


     Sebold kemudian mengeluarkan kenyataan umum menyatakan rasa kesal dan penyesalan terhadap apa yang telah berlaku. Dia mengakui bahawa sistem keadilan telah gagal dan walaupun trauma yang dialaminya nyata, seorang lelaki telah menanggung akibatnya secara tidak adil. Broadwater sendiri menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai pembebasan namun bertahun-tahun kehidupannya yang hilang tidak dapat dipulihkan.

Catat Ulasan for "16 Tahun yang Hilang: Lelaki di Sebalik Kisah Lucky"