PEMPENGARUH CHINA DITEMUI JADI GELANDANGAN DI KEMBOJA SELEPAS DIPERDAYA TAWARAN PEKERJAAN BERGAJI TINGGI

     KEMBOJA – Seorang pempengaruh media sosial dari China yang dikenali sebagai Umi ditemui dalam keadaan terlantar di Sihanoukville, Kemboja selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan bergaji tinggi di luar negara. 

     Umi yang dilaporkan bernama sebenar Wu Mouzhen atau Wu Zhenzhen merupakan pencipta kandungan di platform video pendek China seperti Douyin dan memiliki puluhan ribu pengikut. Sebelum menghilang, dia aktif memuat naik kandungan kehidupan seharian dan sering tampil kemas di hadapan kamera sekali gus membina imej positif sebagai pempengaruh muda di media sosial.

     Menurut laporan media, Umi dipercayai telah pergi Kemboja selepas menerima tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. Tawaran tersebut dikatakan diperkenalkan oleh seorang lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengannya. Namun selepas tiba di negara itu, Umi terputus hubungan dengan keluarga selama kira-kira 26 hari sekali gus menyebabkan keluarganya di China bimbang akan keselamatannya.

     Kehilangannya kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa serta Kedutaan China di Kemboja. Hasil usaha mengesan yang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Umi akhirnya ditemui di kawasan awam di Sihanoukville, sebuah bandar yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kes penipuan pekerjaan dan kegiatan sindiket melibatkan warga asing.


     Ketika ditemui, Umi dilaporkan berada dalam keadaan fizikal yang lemah, berpakaian lusuh dan kelihatan tidak terurus. Keadaannya itu dilaporkan langsung tidak menyerupai imejnya di media sosial. Rakaman yang tersebar turut menunjukkan dia memegang filem sinar-X yang dipercayai berkaitan kecederaan di bahagian kaki

     Pihak Kedutaan China di Phnom Penh mengesahkan bahawa Umi telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut. Kedutaan tersebut turut memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan bagi menguruskan dokumentasi dan kepulangan Umi ke China sebaik keadaan kesihatannya mengizinkan.

     Dalam kenyataan rasmi, Kedutaan China turut mengeluarkan peringatan kepada rakyatnya supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pekerjaan di luar negara terutama yang menjanjikan gaji tinggi tanpa proses dan maklumat yang jelas. Menurut kenyataan itu, banyak kes penipuan pekerjaan di Asia Tenggara melibatkan eksploitasi, penahanan dokumen perjalanan, ugutan dan tekanan fizikal terhadap mangsa.

Catat Ulasan for "PEMPENGARUH CHINA DITEMUI JADI GELANDANGAN DI KEMBOJA SELEPAS DIPERDAYA TAWARAN PEKERJAAN BERGAJI TINGGI"