KISAH CARI FARVER: Obsesi, Cemburu dan Pembunuhan

Kes pembunuhan Cari Farver merupakan antara kes jenayah paling mengelirukan dan mengganggu emosi di Amerika Syarikat. Kes ini membongkar bagaimana manipulasi digital, obsesi serta kebencian mampu mencipta ilusi kehidupan yang palsu sehingga memperdaya polis, keluarga dan rakan terdekat.
Pada tahun 2012, Cari Farver, seorang wanita berusia 37 tahun dari Iowa, Amerika Syarikat telah menjalinkan hubungan singkat dengan seorang lelaki bernama Dave Kroupa iaitu seorang jurutera yang tinggal di Nebraska. Hubungan mereka tidak serius dan Dave secara terbuka memaklumkan bahawa dia tidak mencari komitmen jangka panjang. Tidak lama kemudian, Dave juga berkenalan dengan seorang lagi wanita berstatus ibu tunggal bernama Liz Golyar yang bekerja sebagai jururawat. Dave menjalinkan hubungan dengan kedua-dua wanita tersebut secara berasingan di mana keadaan ini diketahui oleh Cari.
Pada November 2012, Cari datang ke rumah Dave untuk berbincang mengenai hubungan mereka. Menurut Dave, pertemuan itu tegang dan Cari kelihatan marah serta tidak stabil dari segi emosi. Selepas pertemuan tersebut, Cari meninggalkan rumah Dave. Itulah kali terakhir dia dilihat hidup. Selepas itu, Cari dikatakan menghantar mesej kepada Dave menyatakan bahawa dia tidak mahu lagi berjumpa dan memutuskan hubungan. Dave menerima keputusan tersebut dan meneruskan hidupnya bersama Liz. Namun apa yang berlaku selepas itu berubah menjadi mimpi ngeri.

Tidak lama selepas kehilangan Cari, Dave dan Liz mula menerima ribuan mesej teks, e-mel serta hantaran media sosial yang penuh dengan ugutan, penghinaan dan kebencian. Semua itu kononnya daripada Cari Farver. Mesej-mesej itu bersifat obsesif dan agresif. Cari yanv mendakwa Dave telah mengkhianatinya mengugut untuk membunuh Liz selain memfitnah mereka kepada majikan dan keluarga masing-masing. Gangguan ini berlarutan siang dan malam selama lebih tiga tahun.
Akibat gangguan berterusan itu, kehidupan Dave dan Liz menjadi kucar-kacir. Mereka sering bertukar nombor telefon, berpindah rumah, memasang sistem keselamatan dan berulang kali membuat laporan polis. Namun setiap kali disiasat, semua bukti digital seperti mesej, e-mel serta akaun Facebook menunjukkan seolah-olah Cari Farver masih hidup dan aktif. Tiada bukti jelas menunjukkan jenayah telah berlaku. Ibu Cari sendiri menerima mesej daripada anaknya yang menyatakan bahawa dia tidak mahu lagi berhubung dengan keluarga. Keadaan ini menyebabkan keluarga Cari berada dalam kekeliruan dan kesedihan yang berpanjangan.

Pada tahun 2015, satu kejadian mengejutkan berlaku. Liz Golyar mendakwa dia ditembak oleh seseorang di luar rumahnya. Liz terselamat, tetapi siasatan mendapati ceritanya penuh dengan percanggahan. Pihak polis mula menyiasat lebih mendalam lalu menemui bukti bahawa Liz sebenarnya telah menembak dirinya sendiri untuk menuduh Cari sebagai dalang. Bermula dari situ, penyiasatan digital dijalankan secara menyeluruh.
Hasil siasatan forensik digital mendapati bahawa semua mesej, e-mel dan akaun palsu Cari Farver sebenarnya dicipta dan dikendalikan oleh Liz Golyar sendiri. Liz telah membunuh Cari pada tahun 2012 yakni tidak lama selepas kunjungan terakhir Cari ke rumah Dave. Mayat Cari kemudian dibakar dan dibuang di kawasan terpencil di Nebraska. Liz seterusnya menyamar sebagai Cari selama lebih tiga tahun, mencipta kehidupan digital palsu semata-mata untuk memanipulasi kehidupan Dave.

Motif utama pembunuhan ini adalah obsesi dan cemburu. Liz tidak mampu menerima kewujudan Cari dalam kehidupan Dave walaupun hubungan mereka telah lama berakhir.Apa yang menjadikan kes ini luar biasa ialah ketekunan Liz mengekalkan penyamaran. Satu gangguan psikologi yang dirancang rapi, konsisten dan kejam. Pada tahun 2017, Liz disabitkan kesalahan membunuh Cari. Dia dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol termasuk hukuman tambahan atas cubaan membunuh dan kesalahan berkaitan senjata api.
Kes ini kemudiannya mendapat perhatian global menerusi dokumentari Netflix berjudul Lover, Stalker, Killer yang ditayangkan pada 2024, mendedahkan bagaimana penyamaran digital digunakan untuk menutup pembunuhan. Tonton trailer di bawah:
Catat Ulasan for "KISAH CARI FARVER: Obsesi, Cemburu dan Pembunuhan "