WANITA DITAHAN SELEPAS MENYAMAR SEBAGAI PRAMUGARI

     INDONESIA — Tular di laman media sosial tentang seorang wanita bernama Nisya yang didakwa menyamar sebagai pramugari sebuah syarikat penerbangan komersial. Beberapa pengguna media sosial sebel7m itu memuat naik rakaman dan gambar seorang wanita berpakaian lengkap seperti pramugari termasuk membawa beg perjalanan bertulis nama syarikat penerbangan. Berdasarkan maklumat awal yang dikongsi di platform X, wanita tersebut dikenali sebagai Nisya dan dipercayai telah merancang penyamaran itu secara teliti bagi meyakinkan orang sekeliling bahawa dia merupakan anggota kru kabin yang sah.

     Menurut sumber,  Nisya tampil dengan imej profesional pramugari, lengkap dengan seragam, gaya rambut kemas serta kad pengenalan kru (ID card). Penampilannya itu menyebabkan petugas lapangan terbang dan beberapa kru kabin tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan pada peringkat awal terutama ketika dia berada di kawasan operasi kru. Difahamkan Nisya turut membeli tiket penerbangan sendiri sekali gus mengelakkan pemeriksaan yang lebih ketat seperti yang biasanya dikenakan ke atas kru kabin. Dalam situasi tersebut, dia dipercayai disangka sebagai anggota kru tambahan atau kakitangan sokongan penerbangan, satu amalan yang tidak asing dalam operasi penerbangan komersial.

     Penyamarannya bagaimanapun mula menimbulkan tanda tanya ketika salah seorang kru kabin mengemukakan soalan berkaitan tugasan dan penempatan kerja. Nisya dilaporkan gagal memberikan jawapan yang jelas dan konsistenbselain kelihatan teragak-agak ketika diminta menjelaskan peranan serta butiran operasinya. Pemeriksaan lanjut terhadap kad pengenalan yang dibawanya mendapati reka bentuk ID tersebut merupakan versi lama yang menurut kru penerbangan sudah tidak digunakan sejak lebih 15 tahun lalu.

     Susulan itu, pihak keselamatan penerbangan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Walaupun Nisya telah berada di dalam pesawat, tindakan lanjut dilakukan selepas pesawat mendarat. Wanita tersebut kemudiam dibawa menjalani pemeriksaan dan siasatan lanjut bagi memastikan tiada ancaman keselamatan wujud sepanjang penerbangan.

     Hingga setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Batik Air atau pihak berkuasa penerbangan Indonesia berhubung tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Nisya. Namun pakar keselamatan penerbangan berpendapat bahawa perbuatan menyamar sebagai kru kabin dan memasuki pesawat tanpa kebenaran boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan penipuan, penyalahgunaan identiti serta pelanggaran keselamatan penerbangan.

     Pihak berkuasa dijangka akan meneliti beberapa aspek penting termasuk motif sebenar penyamaran, bagaimana Nisya memperoleh seragam dan kad pengenalan kru serta sama ada terdapat kelemahan prosedur keselamatan yang telah dieksploitasi. Siasatan ini juga dijangka melibatkan penilaian semula terhadap prosedur pengesahan kru bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Catat Ulasan for "WANITA DITAHAN SELEPAS MENYAMAR SEBAGAI PRAMUGARI"