KISAH MAYA KOWALSKI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

     Kes Maya Kowalski merupakan antara kes paling kontroversi dalam sejarah perubatan dan kebajikan kanak-kanak di Amerika Syarikat. Kes ini melibatkan seorang ibu yang berusaha sedaya upaya mendapatkan rawatan terbaik untuk anak perempuannya namu  berdepan dengan sistem hospital dan kebajikan kanak-kanak yang bertindak berdasarkan syak wasangka sehingga mencetuskan tragedi yang tidak dapat dipulihkan. Kisah menyayat hati ini kemudian diangkat dalam sebuah dokumentari Netflix berjudul Take Care of Maya. (Tonton trailer di hujung artikel)

     Maya Kowalski dilahirkan pada tahun 2006 dan membesar sebagai seorang kanak-kanak yang sihat aktif serta ceria. Kehidupannya bagaimanapun berubah secara drastik apabila dia mula mengalami kesakitan yang luar biasa pada sekitar usia sembilan tahun. Kesakitan itu tidak bersifat sementara tetapi sebaliknya berpanjangan, ekstrem dan tidak sepadan dengan sebarang kecederaan fizikal yang dapat dikesan.

     Antara simptom yang dialami Maya termasuk kesakitan melampau pada kaki dan anggota badan, kekejangan otot, perubahan warna kulit serta sensitiviti tinggi terhadap sentuhan ringan. Dalam beberapa keadaan, Maya menjerit kesakitan walaupun hanya disentuh perlahan. Keadaannya bertambah buruk sehingga dia tidak mampu berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

     Selepas bertemu ramai doktor dan menjalani pelbagai rawatan yang gagal, Maya akhirnya didiagnosis menghidap Complex Regional Pain Syndrome (CRPS). CRPS ialah penyakit neurologi yang jarang berlaku, sukar difahami dan sering disalah tafsir kerana simptomnya tidak dapat dibuktikan melalui ujian darah atau imbasan biasa. Pesakit CRPS mengalami kesakitan kronik yang melampau akibat gangguan sistem saraf dan penyakit ini sering memerlukan rawatan khusus yang tidak semua doktor biasa mengendalikannya. Disebabkan sifat penyakit ini yang jarang dan kompleks, ramai pesakit CRPS sering dianggap berlebihan atau dibesar-besarkan.

     Ibu Maya iaitu Beata Kowalski merupakan seorang jururawat yang berpengalaman dalam bidang perubatan. Sebagai seorang ibu dan juga profesional kesihatan, Beata tidak sanggup melihat anaknya menderita tanpa usaha. Dia membaca jurnal perubatan, mendapatkan pandangan pakar dan membawa Maya berjumpa doktor di luar sistem hospital tempatan. Akhirnya, Maya menerima rawatan menggunakan infusi ketamin yakni satu kaedah rawatan yang digunakan secara terhad untuk pesakit CRPS tertentu. Rawatan ini menunjukkan hasil yang positif. Kesakitan Maya berkurangan dan dalam tempoh tertentu, dia menunjukkan peningkatan ketara. Walau bagaimanapun, rawatan ketamin ini masih dianggap kontroversi terutama apabila melibatkan kanak-kanak di mana tidak semua hospital menerima pendekatan tersebut.

     Pada Oktober 2016, Maya dimasukkan ke Johns Hopkins All Children’s Hospital di Florida akibat sakit perut yang teruk. Ketika dimasukkan, kakitangan hospital menyedari sejarah rawatan ketamine yang pernah diterima Maya. Bermula dari sinilah bermulanya konflik besar. Doktor-doktor di hospital tersebut mempersoalkan diagnosis CRPS dan rawatan ketamin yang diterima Maya sebelum itu. Mereka menganggap dos rawatan yang diminta oleh Beata sebagai berbahaya dan tidak mengikut garis panduan hospital. 

     Selain mempersoalkan rawatan, pihak hospital mula mempersoalkan peranan Beata sebagai ibu. Cara Beata yang tegas mempertahankan diagnosis anaknya serta pengetahuannya yang mendalam tentang perubatan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan kakitangan hospital. Hospital kemudian membuat laporan kepada pihak kebajikan kanak-kanak dengan dakwaan kemungkinan Munchausen Syndrome by Proxy iaitu keadaan di mana penjaga dipercayai sengaja menyebabkan atau mereka-reka penyakit anak bagi mendapatkan perhatian perubatan. Susulan laporan tersebut, pihak kebajikan kanak-kanak campur tangan. Mahkamah sementara memutuskan bahawa Maya perlu dikeluarkan daripada jagaan ibu bapanya dan ditempatkan di bawah jagaan negeri.


     Sepanjang tempoh ini, Maya dilarang bertemu ibunya walaupun berada di hospital yang sama. Komunikasi antara Maya serta Beata dihadkan secara ketat dan segala keputusan rawatan ditentukan oleh pihak hospital serta kerajaan negeri. Ketika berada di bawah jagaan negeri, rawatan ketamine yang sebelum ini membantu Maya dihentikan sepenuhnya. Keadaan fizikal Maya kembali merosot dan kesakitannya bertambah teruk. Dia juga mengalami tekanan emosi yang serius akibat dipisahkan daripada ibunya. Maya berulang kali meluahkan ketakutan dan kesedihan kerana tidak dapat bertemu ibunya sedangkan ibulah satu-satunya individu yang memahami kesakitannya sejak awal.

     Bagi Beata, situasi ini amat menghancurkan. Dia bukan sahaja kehilangan hak menjaga anaknya malah dituduh sebagai ibu yang berbahaya. Meskipun beberapa penilaian psikologi tidak mengesahkan bahawa Beata mengalami Munchausen Syndrome by Proxy, proses undang-undang yang berlarutan menyebabkannya terus berada dalam tekanan yang melampau. Beata berulang kali menulis surat, memfailkan rayuan dan cuba membuktikan bahawa anaknya benar-benar sakit namun suaranya tidak diendahkan sepenuhnya.

     Pada Januari 2017, selepas hampir tiga bulan terpisah daripada Maya dan berdepan tekanan mental yang berpanjangan, Beata ditemui meninggal dunia akibat bunuh diri. Dia meninggalkan nota yang menggambarkan keputusasaan dan kesedihannya kerana tidak dapat hidup tanpa anaknya. Beberapa hari selepas kematian Beata, mahkamah membenarkan Maya pulang ke pangkuan bapanya, Jack Kowalski. Tuduhan terhadap Beata tidak pernah dibuktikan secara muktamad di mahkamah dan kes terhadapnya berakhir tanpa keputusan bersalah. Keputusan ini menimbulkan kemarahan ramai pihak kerana Maya hanya dipulangkan selepas kejadian besar berlaku.

     Keluarga Kowalski kemudian memfailkan saman terhadap Johns Hopkins All Children’s Hospital, mendakwa berlaku penahanan secara salah, kecuaian perubatan, penderaan emosi serta pelanggaran hak asasi. Kes ini dibicarakan selama bertahun-tahun dan menjadi perhatian media. Pada tahun 2023, juri memihak kepada keluarga Kowalski dan memberikan pampasan dalam jumlah yang besar, menandakan pengiktirafan terhadap penderitaan yang dialami Maya dan keluarganya. Namun keputusan itu dibatalkan oleh mahkamah rayuan pada Oktober 2025, yang menyatakan hospital bertindak dengan niat baik sebagai pelapor wajib dalam kes salah guna kanak-kanak.




Catat Ulasan for "KISAH MAYA KOWALSKI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"