AKIBAT OBSES DENGAN 'MAKE UP'

 


     Pada sekitar tahun 2011, satu kisah dari Korea Selatan menjadi tular di mana seorang wanita muda berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Bae Da Mi menolak untuk menanggalkan solekan wajahnya selama hampir dua tahun penuh.

     Bae Da Mi mula memakai solekan sejak remaja. Pada mulanya, ia hanya untuk tujuan mencantikkan diri tetapi lama-kelamaan tabiat itu bertukar menjadi obsesi. Dia mula berasa bahawa wajahnya yang asli tidak cukup menarik untuk diterima oleh orang sekeliling. Tekanan sosial dan rasa rendah diri menyebabkan Bae tidak dapat membayangkan diri tanpa solekan. Ibu Bae sering menasihatinya bahawa dia tetap cantik tanpa solekan. Nasihat tersebut bagaimanapun menemui jalan buntu kerana Bae yakin bahawa hanya wajah yang dilapisi solekan sahaja diterima oleh orang ramai.

     Selama hampir dua tahun, Bae tidak membersihkan wajahnya sekali pun termasuk ketika tidur. Setiap hari, dia hanya menambah lapisan asas wajah, bedak wajah dan krim penutup noda di atas lapisan lama. Tindakan ini menyebabkan seluruh wajahnya sentiasa diselaputi bahan kosmetik tanpa memberi ruang kepada kulit untuk bernafas atau menjalani proses pembaharuan semula jadi. 

     Keadaan Bae ini akhirnya menarik perhatian sebuah stesen televisyen yang menawarkan bantuan profesional. Dalam rancangan itu, pakar kulit bersama Bae melakukan sesi pembersihan penuh setelah hampir dua tahun solekan tidak dibersihkan. Apabila lapisan solekan itu dikeluarkan, keadaan kulitnya amat mengejutkan. Kulit Bae rosak teruk dengan liang roma yang tersumbat sepenuhnya. Selain itu, terdapat benjolan kecil seperti jerawat kronik, kulit kasar serta tidak sekata, kemerahan dan radang yang meluas. Tambahan pula, terdapat juga tanda-tanda awal penuaan hingga menyebabkan kulitnya kelihatan seperti wanita berusia 35 hingga 40 tahun walaupun usianya sebenar hanya 20 tahun.

     Walau bagaimanapun, pakar kulit menekankan bahawa struktur wajah Bae tetap menarik secara semula jadi. Wajahnya simetri dan mempunyai ciri-ciri yang cantik tetapi kerosakan kulit akibat solekan berlebihan menyembunyikan kecantikan itu pada awalnya. Proses pemulihan mengambil masa berbulan-bulan, melibatkan pembersihan mendalam, rawatan kulit dan rehat daripada solekan sepenuhnya. Maka dengan penjagaan yang betul, kulitnya secara beransur-ansur pulih dan kecantikan semula jadi wajahnya dapat dilihat semula.

Catat Ulasan for "AKIBAT OBSES DENGAN 'MAKE UP'"