KISAH CINTA PANDANG PERTAMA DI KEDAI BUKU YANG TIDAK KESAMPAIAN

Pada suatu petang 24 September 2018 di bandar Beijing, China, seorang lelaki yang dikenali hanya sebagai Sun telah pergi ke sebuah kedai buku yang terkenal di kawasan Wangfujing. Pada hari itu, dia telah menyaksikan sesuatu yang mengubah hidupnya buat sementara waktu. Di sudut kedai buku itu, terdapat seorang gadis muda yang sedang membaca dengan khusyuk sambil memakai jaket berwarna kuning.
Menurut laporan media China, Sun berasa ikatan emosi yang sangat kuat dalam pertemuan yang sangat singkat itu. Dia percaya bahawa pandangannya bertemu dengan gadis itu lebih daripada sekadar kebetulan. Sun berasa seolah-olah dia telah bertemu cinta dalam hidupnya hanya dalam tempoh beberapa saat. Walau bagaimanapun, ketika Sun cuba mendekati gadis itu, dia kehilangan jejaknya dalam hiruk-pikuk orang ramai di kedai buku itu. Sun tidak tahu nama gadis tersebut, tidak mengetahui maklumat peribadinya bahkan tidak mempunyai satu pun cara untuk menghubunginya lagi.
Selepas pertemuan itu, Sun tidak berputus asa. Dia mula datang ke kedai buku Wangfujing setiap hari dengan harapan gadis itu akan muncul semula. Selama lebih kurang 50 hari berturut-turut, Sun menunggu dari sekitar jam 11 pagi hingga 7 malam yakni setiap hari tanpa gagal hanya untuk melihat jika gadis itu akan muncul semula di tempat yang sama. Demi mengejar harapannya itu, dia terpaksa berhenti kerja dan bergantung kepada pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk meneruskan hidup. Sun sendiri memberitahu pihak media bahawa dia sanggup mengorbankan semua itu demi mendapatkan peluang kedua untuk bertemu gadis yang pernah dilihatnya.

Harapan itu bagaimanapun tidak kesampaian. Gadis yang dilihatnya pada hari pertama tidak pernah muncul lagi selepas itu. Sun mula berasa bahawa cara biasa tidak lagi membantu dan dia perlu mencari jalan lain untuk mencarinya. Maka pada 10 Disember, Sun mengambil satu langkah yang jarang sekali dilakukan oleh sesiapa iaitu dia membawa hal itu ke mahkamah Dongcheng di Beijing. Di mahkamah, Sun menyerahkan dokumen tuntutan yang agak luar biasa. Dia menyaman wanita itu tanpa mengetahui identitinya bahkan tanpa mempunyai nama, umur atau alamatnya. Dalam saman tersebut, Sun menyatakan bahawa dirinya telah mengalami tekanan emosi yang serius sejak kehilangan gadis itu dan berharap perintah mahkamah boleh digunakan untuk menjejak gadis tersebut melalui sistem perundangan.
Permohonan Sun itu mendapat perhatian besar di media sosial China terutamanya di platform seperti Weibo. Isu ini menjadi tular dengan tanda pagar seperti Man Attempts to Sue the Person He’s Looking For mencapai jutaan tontonan dan melibatkan puluhan ribu komen netizen.

Ketika kes itu dibawa ke mahkamah, pihak mahkamah Dongcheng tidak menerima tuntutan Sun. Hakim yang mendengar kes tersebut menjelaskan bahawa undang-undang tidak membenarkan tuntutan seperti yang dibuat oleh Sun kerana tiada asas undang-undang yang sah atau bukti konkrit bahawa gadis itu telah melakukan kesalahan yang boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah. Mahkamah mengesyorkan agar Sun menghentikan tindakan saman itu dan mencari jalan lain yang lebih realistik untuk meneruskan hidupnya. Selepas mahkamah menolak kes tersebut, Sun memberitahu media bahawa dia masih tidak berputus asa dan akan cuba cara lain untuk mencari gadis itu walaupun caranya dianggap luar biasa oleh ramai orang.
Catat Ulasan for "KISAH CINTA PANDANG PERTAMA DI KEDAI BUKU YANG TIDAK KESAMPAIAN "