Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ZHE WANG

     Zhe Wang ialah seorang wanita berusia 31 tahun yang berasal dari China. Ketika kejadian, dia merupakan pelajar peringkat sarjana dalam bidang penulisan kreatif dan pendidikan di Goldsmiths, University of London. Zhe digambarkan oleh rakan-rakan serta pihak universiti sebagai seorang yang pendiam, berbakat dan serius dalam pelajaran. Dia tinggal bersendirian di sebuah rumah di Manor Park, Lewisham, London yakni tempat di mana kejadian itu akhirnya berlaku.

     Suspek utama dalam kes ini ialah Joshua Michals, seorang lelaki berusia 26 tahun, warganegara Amerika Syarikat dari Chicago yang juga merupakan pelajar peringkat sarjana dalam bidang filem. Joshua dan Zhe mengenali satu sama lain sejak tahun 2023 dan menjalinkan hubungan intim secara kasual tanpa komitmen rasmi sebagai pasangan kekasih. 

     Masalah bermula apabila Zhe Wang mengesyaki dirinya mungkin telah dijangkiti penyakit kelamin selepas menjalinkan hubungan intim dengan Joshua. Kebimbangan itu timbul apabila dia menyedari tanda kemerahan pada tubuhnya yang menyebabkan Zhe berasa takut dan tertekan. Dalam keadaan cemas, Zhe mendesak Joshua supaya menjalani ujian penyakit kelamain (STD) kerana dia percaya kemungkinan jangkitan itu berpunca daripada hubungan mereka. Walau bagaimanapun, desakan tersebut tidak diterima baik oleh Joshua.

     Menurut keterangan di mahkamah, Joshua berasa tertekan dengan tuduhan dan permintaan Zhe walaupun tiada bukti perubatan yang menunjukkan dia menghidap penyakit kelamin. Pertikaian mengenai isu ini berlarutan dan menjadi punca perbalahan emosi yang berulang, termasuk pertengkaran melalui mesej dan pertemuan secara bersemuka. Ketegangan ini akhirnya membawa kepada pertemuan terakhir mereka pada 20 Mac 2024.

     Pada hari kejadian, Joshua datang ke rumah Zhe dengan alasan untuk berbaik semula. Dia membawa makanan sebagai isyarat damai tetapi usaha tersebut gagal apabila perbincangan bertukar menjadi pertengkaran besar. Perbalahan itu semakin tegang sehingga berlaku serangan fizikal di dalam rumah tersebut. Dalam tempoh itulah, Zhe Wang diserang dan akhirnya dibunuh dengan kejam.


     Laporan forensik menunjukkan Zhe mengalami kecederaan serius termasuk dua kesan tikaman di bahagian muka serta tanda-tanda dicekik pada leher, yang membawa kepada kematiannya. Punca kematian disahkan sebagai gabungan kecederaan akibat tikaman dan asfiksia. Keadaan ini jelas menunjukkan serangan tersebut bukan berlaku secara tidak sengaja namun sebaliknya melibatkan keganasan yang disengajakan.

     Selepas kejadian, tindakan Joshua menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa. Dia tidak segera menghubungi perkhidmatan kecemasan tetapi menghubungi bapanya terlebih dahulu untuk mendapatkan nasihat guaman. Bantuan kecemasan hanya dihubungi hampir empat jam kemudian, satu kelewatan yang menjadi faktor penting dalam siasatan. Joshua juga didapati telah membuang telefon bimbit milik Zhe ke dalam tong sampah di luar rumah yang dipercayai sebagai usaha menghilangkan bukti.

     Joshua kemudiannya ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh. Dalam perbicaraan di Mahkamah Old Bailey, dia mendakwa bertindak untuk mempertahankan diri, dengan alasan Zhe telah menyerangnya terlebih dahulu menggunakan pisau. Pihak pendakwaan bagaimanapun berhujah bahawa kecederaan yang dialami mangsa serta tingkah laku Joshua selepas kejadian tidak menyokong dakwaan tersebut.

     Selepas perbicaraan yang panjang dan penelitian terhadap bukti forensik serta keterangan saksi, juri mendapati Joshua bersalah atas pertuduhan membunuh Zhe. Mahkamah memutuskan bahawa tindakan Joshua adalah disengajakan dan tidak boleh dianggap sebagai mempertahankan diri. Dia kini berdepan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum hukuman akan ditentukan oleh mahkamah.


Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ZHE WANG"