Rompakan Besar Bank di Jerman ala filem Ocean’s Eleven-Style

JERMAN - Sebuah rompakan bank yang digelar Ocean’s Eleven-style oleh pihak berkuasa telah berlaku bandar Gelsenkirchen di negeri North Rhine-Westphalia selepas sekumpulan perompak tidak dikenali berjaya melarikan wang tunai, emas serta barang kemas bernilai puluhan juta euro dari sebuah cawangan bank simpanan semasa cuti panjang Krismas. Rompakan itu kini dianggap antara yang terbesar dalam sejarah jenayah di Jerman dengan jumlah kerugian awal dianggarkan sekitar €30 juta (kira-kira RM143 juta) berdasarkan penilaian pihak polis dan pengurusan bank.
Kejadian tersebut melibatkan sebuah cawangan Sparkasse, sebuah bank simpanan yang popular di kawasan berkenaan. Siasatan awal mendapati kumpulan perompak dipercayai menggunakan gerudi industri bersaiz besar untuk menembusi dinding konkrit tebal bilik kebal yang terletak di bahagian bawah tanah bank. Operasi itu dipercayai dilakukan ketika bank ditutup sempena cuti umum Krismas sekali gus memberi ruang masa yang panjang kepada perompak untuk bertindak tanpa dikesan.
Menurut polis, perompak dipercayai memasuki bahagian bawah tanah melalui garaj parkir berdekatan sebelum menggerudi tembok keselamatan dan memasuki bilik kebal tersebut. Hasil siasatan mendapati lebih 3000 peti deposit keselamatan milik pelanggan telah dipecahkan dan dirompak. Kandungan peti-peti itu merangkumi wang tunai, emas, barang kemas serta harta peribadi lain yang bernilai tinggi. Polis percaya proses membuka ribuan peti keselamatan itu mengambil masa beberapa hari memandangkan skala dan kerumitan operasi berkenaan.

Rompakan tersebut hanya disedari pihak berkuasa selepas penggera kebakaran berbunyi pada awal pagi 29 Disember 2025 mendorong anggota bomba dan polis tiba di lokasi. Pemeriksaan lanjut menemukan lubang besar pada dinding bilik kebal bank yang jelas menunjukkan pencerobohan terancang. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut memperlihatkan beberapa individu bertopeng membawa beg besar melalui tangga garaj parkir pada waktu malam beberapa hari sebelum kejadian dikesan.
Penyiasat turut menjejak sebuah kereta Audi RS 6 berwarna hitam yang dilihat meninggalkan kawasan garaj tersebut. Nombor pendaftaran kenderaan itu kemudiannya dikenal pasti sebagai plat yang dicuri dari Hanover kira-kira 200 kilometer dari Gelsenkirchen. Jurucakap polis tempatan menyifatkan rompakan tersebut sebagai sangat profesional dan terancang malah menyamakan tahap perancangan serta pelaksanaannya dengan adegan rompakan dalam filem Ocean’s Eleven. Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dibuat, dan polis masih giat menjalankan siasatan menyeluruh. Usaha itu termasuk meneliti rakaman keselamatan tambahan, mengambil keterangan saksi yang mungkin melihat aktiviti mencurigakan di sekitar lokasi serta menjalankan analisis forensik di tempat kejadian bagi mengenal pasti petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.

Kejadian itu turut mencetuskan kemarahan dan keresahan dalam kalangan pelanggan yang terjejas. Ratusan pelanggan dilaporkan berkumpul di luar cawangan Sparkasse bagi mendapatkan penjelasan mengenai nasib simpanan mereka. Polis terpaksa mengawal ketenteraman awam selepas beberapa ancaman terhadap kakitangan bank dilaporkan hingga menyebabkan cawangan berkenaan ditutup sementara waktu atas faktor keselamatan.
Pihak Sparkasse memaklumkan bahawa mereka telah menyediakan talian panggilan khas untuk membantu pelanggan yang terjejas serta bekerjasama dengan syarikat insurans bagi memproses tuntutan pampasan. Dalam satu kenyataan, jurucakap bank menyatakan pihaknya terkejut dengan kejadian tersebut dan memberi jaminan akan menyokong pelanggan sepanjang proses siasatan dan pemulihan. Walau bagaimanapun, beberapa pelanggan dilaporkan kecewa apabila mendapati nilai kandungan peti keselamatan mereka melebihi had perlindungan insurans standard sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan pampasan penuh.
Catat Ulasan for "Rompakan Besar Bank di Jerman ala filem Ocean’s Eleven-Style"