Tragedi Pembunuhan Beramai-ramai San Fernando 2010

Tragedi Pembunuhan Beramai-ramai San Fernando 2010 merupakan antara episod paling gelap dalam sejarah keganasan kartel dadah di Mexico. Kejadian ini mendedahkan realiti sebenar keganasan terancang yang dilakukan oleh kartel dadah terutama Kartel Los Zetas yang ketika itu sedang berada di kemuncak pengaruh dan kekejaman mereka.
Pada bulan Ogos 2010, pihak berkuasa Mexico menemui 72 mayat di sebuah ladang terpencil di kawasan San Fernando, sebuah daerah kecil di negeri Tamaulipas yang terletak berhampiran sempadan Amerika Syarikat. Kawasan ini dikenali sebagai laluan utama penyeludupan dadah, senjata dan manusia serta berada di bawah penguasaan Los Zetas. Penemuan tersebut berlaku selepas seorang lelaki yang cedera parah berjaya melarikan diri dan mendapatkan bantuan daripada pasukan tentera Mexico sekali gus membawa kepada pendedahan kejadian pembunuhan kejam ini.
Mangsa pembunuhan terdiri daripada 58 lelaki dan 14 wanita di mana kebanyakannya merupakan pendatang tanpa izin yang sedang dalam perjalanan menuju ke Amerika Syarikat untuk mencari peluang hidup yang lebih baik. Mereka datang dari pelbagai negara termasuk Honduras, El Salvador, Guatemala, Ecuador, Brazil, India serta seorang warga Mexico. Kebanyakan mangsa dipercayai telah menghabiskan simpanan hidup mereka untuk menempuh perjalanan berbahaya ini dengan harapan dapat melarikan diri daripada kemiskinan, keganasan dan ketidakstabilan di negara asal masing-masing.

Siasatan awal mendapati kumpulan pendatang ini telah diculik oleh anggota Los Zetas ketika dalam perjalanan melalui Tamaulipas. Mereka kemudiannya dibawa ke ladang tersebut dan ditahan secara paksa. Menurut keterangan mangsa yang terselamat, kartel berkenaan telah memaksa mereka menyertai kumpulan jenayah itu sama ada sebagai ahli bersenjata, pembunuh upahan atau digunakan untuk aktiviti jenayah lain. Apabila kesemua mangsa menolak tawaran tersebut, kartel bertindak dengan kejam dan membunuh mereka secara beramai-ramai sebagai satu bentuk hukuman dan amaran.
Mangsa yang terselamat yang juga merupakan seorang lelaki warga Ecuador dilaporkan berpura-pura mati selepas ditembak dan berjaya melarikan diri ketika pengawal kartel leka. Walaupun mengalami kecederaan serius, dia telah berjaya menempuh perjalanan jauh sebelum menemui pasukan tentera Mexico dan mendedahkan lokasi kejadian. Testimoni inilah yang menjadi asas utama siasatan pihak berkuasa dan membawa kepada penemuan mayat-mayat tersebut.
Kartel Los Zetas yang dikaitkan secara langsung dengan pembunuhan ini, terkenal sebagai salah satu kartel paling ganas dalam sejarah Mexico. Ditubuhkan oleh bekas anggota pasukan elit tentera Mexico, kartel ini menggunakan taktik ketenteraan, keganasan ekstrem dan intimidasi terbuka untuk menguasai wilayah serta menakutkan musuh dan orang awam. Pembunuhan di San Fernando merupakan sebahagian daripada strategi mereka untuk menunjukkan kuasa mutlak dan mengawal laluan penyeludupan utama.

Susulan penemuan 72 mayat tersebut, pihak berkuasa Mexico melancarkan operasi besar-besaran di Tamaulipas. Beberapa anggota Los Zetas berjaya ditangkap dengan kebanyakannya pelaku peringkat bawahan seperti pengawal dan anggota bersenjata yang terlibat secara langsung dalam penculikan dan kawalan mangsa. Sebahagian daripada mereka mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan didakwa atas pelbagai pertuduhan termasuk pembunuhan dan penculikan.
Namun dalang utama pembunuhan ini tidak pernah dibicarakan. Ketika itu, Los Zetas dipimpin oleh Heriberto Lazcano Lazcano, seorang kartel yang sangat berpengaruh dan ditakuti. Walaupun dia dipercayai mengetahui atau meluluskan operasi tersebut, tiada bukti langsung yang dapat mengaitkannya secara rasmi di mahkamah. Lazcano bagaimanapun akhirnya terbunuh dalam satu operasi keselamatan pada tahun 2012 tanpa pernah dihadapkan ke muka pengadilan berhubung kes San Fernando.
Tragedi ini tidak berakhir di situ. Pada tahun 2011, kawasan San Fernando sekali lagi menggemparkan dunia apabila ratusan mayat tambahan ditemui di kubur besar. Mangsa dipercayai diculik dari bas awam yang melalui kawasan tersebut dan dibunuh secara sistematik.
Catat Ulasan for "Tragedi Pembunuhan Beramai-ramai San Fernando 2010"