KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KIM WALL


     Kim Isabelle Fredrika Wall merupakan seorang wartawan bebas berusia 30 tahun yang berasal dari Sweden. Dia dikenali sebagai penulis yang berdedikasi serta berani selain sering menghasilkan laporan mendalam berkaitan sains, teknologi, budaya dan isu kemanusiaan. Kim pernah menulis untuk pelbagai penerbitan antarabangsa dan disifatkan oleh rakan-rakan sebagai seorang wartawan yang teliti, profesional serta berhati-hati dalam menjalankan tugasan. Pada tahun 2017, Kim berada di Denmark bagi menyiapkan beberapa penulisan termasuk satu wawancara. 

     Pada 10 Ogos 2017, Kim bersetuju untuk menjalankan wawancara bersama Peter Madsen, seorang pencipta dan usahawan teknologi terkenal dari Denmark. Madsen dikenali sebagai individu yang membina kapal selam persendirian dan sering mendapat liputan media. Wawancara tersebut dijadualkan berlangsung di atas kapal selam miliknya yang dinamakan UC3 Nautilus. Kim memaklumkan kepada teman lelakinya bahawa dia akan menaiki kapal selam itu pada sebelah petang dan dijangka pulang pada malam yang sama. Tiada sebarang petanda bahaya sebelum pertemuan itu berlaku.
Kapal selam UC3 Nautilus dilihat meninggalkan pelabuhan Copenhagen pada petang tersebut dengan hanya dua orang di dalamnya iaitu Kim Wall dan Peter Madsen. Namunbapabila malam menjelang dan Kim gagal pulang atau dihubungi, kebimbangan mula timbul. Keesokan harinya, laporan orang hilang dibuat dan pihak berkuasa Denmark melancarkan operasi pencarian besar-besaran di perairan sekitar Copenhagen.


     Tidak lama kemudian, Madsen ditemui seorang diri terapung di laut selepas kapal selamnya tenggelam. Dia diselamatkan oleh pasukan penyelamat lalu ditahan untuk siasatan. Pada peringkat awal, Madsen mendakwa Kim telah meninggal dunia akibat kemalangan di dalam kapal selam kononnya disebabkan pintu besi yang jatuh menimpanya. Dia juga mendakwa telah mengebumikan mayat Kim di laut. Kenyataan ini bagaimanapun menimbulkan banyak keraguan kerana tidak disokong oleh sebarang bukti fizikal yang kukuh.

     Siasatan lanjut mendapati kenyataan Madsen sering berubah-ubah. Beberapa minggu selepas kehilangan Kim, penemuan mengerikan mula muncul apabila potongan tubuh manusia ditemui di perairan sekitar Copenhagen. Pemeriksaan forensik mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah milik Kim. Keadaan tubuh mangsa amat mengejutkan kerana badannya telah dipotong dengan teliti dan beberapa bahagian dibuang secara berasingan bagi menghilangkan jejak jenayah. Pemeriksaan perubatan forensik mendapati Kim mengalami kecederaan parah sebelum kematiannya. Bukti menunjukkan bahawa kematian tersebut bukan berpunca daripada kemalangan. Terdapat kesan kekerasan yang jelas, membuktikan mangsa diserang dan dibunuh secara sengaja. Di dalam kapal selam UC3 Nautilus, pihak penyiasat menemui kesan darah, peralatan pemotongan serta bukti lain yang menguatkan dakwaan bahawa pembunuhan itu dilakukan di dalam kapal selam tersebut.


     Sepanjang proses siasatan dan perbicaraan, Madsen beberapa kali menukar ceritanya. Selepas dakwaan kemalangan ditolak, dia mendakwa pula bahawa Kim meninggal dunia akibat terhidu gas beracun. Dakwaan ini sekali lagi disangkal oleh pakar forensik yang mengesahkan bahawa punca kematian Kim adalah akibat tindakan ganas manusia. Percanggahan berulang dalam keterangan Madsen mengukuhkan kesimpulan bahawa dia cuba menutup jenayah yang dilakukannya.

     Mahkamah Denmark akhirnya membuat kesimpulan bahawa motif pembunuhan Kim Wall adalah bermotifkan seksual, dominasi dan keinginan untuk mengawal mangsa. Pendakwa raya berhujah bahawa Madsen membunuh Kim bagi memenuhi dorongan peribadi yang bersifat ganas dan tidak berperikemanusiaan. Bukti digital yang ditemui menunjukkan kecenderungan Madsen terhadap keganasan seksualnmanakala perbuatan mengasingkan mangsa di dalam kapal selam membuktikan niat untuk menguasai sepenuhnya tanpa saksi.


     Mahkamah turut menyatakan bahawa pembunuhan itu bukan berlaku secara spontan tetapi sebaliknya mempunyai unsur perancangan. Kapal selam yang terpencil, tindakan memotong tubuh mangsa serta usaha menenggelamkan kapal selam menunjukkan cubaan terancang untuk menghapuskan bukti. Kesemua ini menolak sepenuhnya dakwaan bahawa kejadian tersebut adalah satu kemalangan. Pada April 2018, mahkamah Denmark mensabitkan Peter Madsen bersalah atas pertuduhan membunuh Kim Wall dan mencemarkan mayat mangsa. Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup yakni hukuman paling berat dalam sistem perundangan Denmark. Hakim menyifatkan perbuatan tersebut sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan dilakukan tanpa sebarang rasa penyesalan.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KIM WALL"