Dendam Menantu dengan Mentua yang Berakhir dengan Kematian


     Kejadian yang menyayat hati ini merupakan sebuah naskhah realiti tentang konflik kekeluargaan yang berakhir dengan pertumpahan darah. Kejadian yang berlaku pada hari Isnin, 26 Januari 2026 di Dusun Setinggil, Desa Gandekan, Blitar, Jawa Timur ini melibatkan seorang wanita muda bernama Novi, berusia 21 tahun yang tergamak menghabisi nyawa ibu mentuanya sendiri iaitu Sariah yang telah berusia 70 tahun. 

     Konflik ini sebenarnya telah berakar umbi daripada ketidakharmonian hubungan antara mentua dan menantu sejak awal perkahwinan lagi. Mangsa, Sariah dilaporkan tidak pernah merestui hubungan anaknya, Yulfanurrahman dengan Novi. Faktor perbezaan usia yang jauh serta status Novi sebagai janda yang pernah berkahwin sebanyak tiga kali menjadi punca utama Sariah bersikap dingin. Walaupun suaminya cuba menjadi orang tengah, perbezaan dialek dan budaya sering mencetuskan salah faham yang berpanjangan hingga menyebabkan suasana di dalam rumah sentiasa tegang terutamanya apabila suaminya keluar bekerja sebagai pembekal dedak unggas.


     Rentetan peristiwa berdarah itu bermula pada waktu Isya pada tarikh tersebut. Satu pertengkaran hebat tercetus antara mereka berdua ketika Yulfa tiada di rumah. Menurut pengakuan suspek, Sariah telah bertindak agresif dengan mengacu sebilah gergaji ke arah Novi dan anaknya yang masih kecil sambil menghamburkan kata-kata kesat serta menghalau mereka keluar dari rumah tersebut. Tindakan Sariah yang dianggap melampaui batas itu telah mencetuskan kemarahan yang luar biasa dalam diri Novi sehingga dia hilang pertimbangan lalu bertindak menyerang semula warga emas berkenaan.

     Dalam keadaan hilang kawalan, Novi menolak mangsa ke atas katil sebelum mencekik dan menekup muka mangsa dengan bantal bagi menghentikan jeritannya. Keadaan menjadi lebih tragis apabila Novi mencapai sebilah gunting yang berada berdekatan lalu menikam leher, dada dan perut mangsa berkali-kali sehingga warga emas itu menghembuskan nafas terakhir. Menyedari mangsa sudah tidak bernyawa, Novi dalam keadaan panik segera mencapai beg pakaian, sejumlah wang dan kunci basikal elektrik sebelum melarikan diri bersama anaknya yang berusia satu setengah tahun ke arah wilayah Tulung Agung.


     Kes ini bagaimanapun berjaya dibongkar apabila Yulfa pulang ke rumah pada jam 10:00 malam dan mendapati suasana rumah sunyi sepi sebelum menemui ibunya terbujur kaku dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur. Pihak polis bertindak pantas dengan meneliti rakaman CCTV di sekitar kawasan kejadian dan berjaya mengesan pergerakan suspek yang menunggang basikal elektrik. Dalam tempoh kurang tiga jam selepas laporan dibuat, Novi akhirnya ditangkap di sebuah penginapan di Tulung Agung hasil kerjasama pasukan polis Blitar dan Tulung Agung.

     Hasil bedah siasat kemudiannya mengesahkan punca kematian adalah akibat kegagalan pernafasan kesan daripada cekikan kuat pada leher serta kecederaan parah akibat tikaman senjata tajam. Kini, Novi berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun di bawah undang-undang berkaitan Keganasan Rumah Tangga (KDRT) dan pembunuhan. Apa yang lebih menyedihkan, suspek dilaporkan sedang hamil anak kedua semasa kejadian berlaku sekali gus meninggalkan suaminya dalam dilema antara menuntut keadilan buat si ibu atau memikirkan nasib isteri dan anak-anak yang masih kecil.


Catat Ulasan for "Dendam Menantu dengan Mentua yang Berakhir dengan Kematian"