Model Cantik ini Bunuh Diri Selepas Pergi ke Pulau Epstein?

     Nama Ruslana Korshunova kembali menjadi perhatian selepas dokumen berkaitan Jeffrey Epstein dibuka kepada umum baru-baru ini yakni lebih sedekad selepas kematian tragis model muda itu. Ruslana Korshunova merupakan seorang model antarabangsa kelahiran Kazakhstan yang dikenali dengan imej polos dan rambut panjangnya yang luar biasa sehingga digelar Russian Rapunzel. Pada usia yang sangat muda, dia telah berjaya menembusi industri fesyen elit dan bekerja dengan jenama serta pereka terkenal dunia. Namun di sebalik kejayaan tersebut, hidupnya berakhir secara mengejut dan penuh tanda tanya.

     Pada 28 Jun 2008, Ruslana ditemui maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat sembilan sebuah bangunan apartmen di Manhattan, New York. Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengklasifikasikan kematiannya sebagai bunuh diri selepas siasatan awal mendapati tiada unsur pencerobohan atau pergaduhan di dalam kediamannya. Tiada nota terakhir ditemui dan kes itu secara rasmi ditutup sebagai kematian akibat terjun dari bangunan. Walau bagaimanapun, keputusan tersebut menimbulkan keraguan dalam kalangan keluarga dan rakan terdekatnya yang mendakwa Ruslana tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan atau masalah emosi yang serius sebelum kejadian.


     Kontroversi mula timbul semula apabila nama Ruslana Korshunova muncul dalam rekod penerbangan peribadi milik Jeffrey Epstein, seorang jutawan Amerika Syarikat yang kemudian didedahkan sebagai pesalah seksual bersiri. Dokumen tersebut menunjukkan bahawa Ruslana pernah menaiki pesawat Epstein pada tahun 2006 ketika dia masih berusia 18 tahun. Pesawat tersebut yang dikenali umum sebagai Lolita Express sering digunakan Epstein untuk membawa tetamu ke pulau peribadinya di Little St. James, Kepulauan Virgin Amerika Syarikat, lokasi yang kemudiannya didakwa sebagai pusat aktiviti eksploitasi seksual terhadap wanita muda dan gadis bawah umur.

     Pendedahan terbaru ini mencetuskan persoalan besar kerana hubungan Ruslana dengan Epstein tidak pernah diketahui umum semasa hayatnya. Lawatan atau penerbangan tersebut juga tidak pernah diumumkan oleh mana-mana agensi model atau wakil rasmi Ruslana. Lebih membingungkan, dokumen yang didedahkan tidak memberikan sebarang maklumat terperinci tentang tujuan perjalanan itu, tempoh lawatan atau apa yang berlaku sepanjang masa dia berada bersama rangkaian Epstein.

     Namun perlu ditegaskan bahawa sehingga kini, tiada bukti rasmi atau pengesahan undang-undang yang menyatakan Ruslana merupakan mangsa eksploitasi seksual Jeffrey Epstein. Namanya muncul semata-mata dalam rekod penerbangan dan beberapa dokumen berkaitan tanpa sebarang keterangan lanjut yang mengaitkan beliau secara langsung dengan jenayah Epstein. Pihak berkuasa juga tidak pernah membuka semula kes kematiannya berdasarkan pendedahan tersebut.


     Menambahkan lagi misteri, beberapa e-mel yang didedahkan kemudian menunjukkan Jeffrey Epstein menyebut nama Ruslana selepas kematiannyabtermasuk perbincangan berkaitan bayaran atau urusan agensi model. Kandungan e-mel itu bagaimanapun tidak menjelaskan hubungan sebenar mereka di mana tiada konteks yang cukup untuk membuktikan wujudnya unsur paksaan, ugutan atau penderaan. Hal ini sekali lagi menimbulkan persoalan tentang sejauh mana Epstein terlibat dalam kehidupan Ruslana serta mengapa namanya masih muncul dalam komunikasi Epstein bertahun-tahun selepas kematiannya.

     Keluarga Ruslana terutama ibunya sebelum ini secara terbuka menolak kesimpulan bahawa anaknya membunuh diri. Mereka percaya terdapat sesuatu yang disembunyikan dan berpendapat Ruslana mungkin menyimpan trauma yang tidak pernah diluahkan kepada sesiapa. Cuma tanpa bukti fizikal atau saksi yang kukuh, dakwaan tersebut kekal sebagai spekulasi.

Catat Ulasan for "Model Cantik ini Bunuh Diri Selepas Pergi ke Pulau Epstein?"