Kisah Pembunuhan Kejam Yesica Bocanegra

     Pada 22 April 2025, satu kejadian pembunuhan secara terbuka telah berlaku di Ciudad Bolivar, Bogota, Colombia melibatkan seorang wanita muda berusia 26 tahun, Yesica Paola Chavez Bocanegra. Yesica, seorang ibu muda yang juga merupakan pekerja salon kecantikan telah ditembak mati oleh bekas pasangan lelakinya yang juga merupakan anggota polis aktif ketika dia sedang bekerja.

     Yesica Paola Chavez Bocanegra berasal dari Chaparral, Tolima, sebuah wilayah di selatan Colombia. Dia berpindah ke Bogota dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik untuk dirinya dan anak-anaknya. Di ibu kota itu, Yesica bekerja sebagai pendadan di sebuah salon kecantikan di kawasan Quintas del Sur, Ciudad Bolivar. Dia dikenali sebagai seorang wanita yang rajin dan terhadap pelanggannya. 

     Pada malam kejadian, Yesica sedang bekerja di salon kecantikan seperti biasa yakni berbual dengan rakan sekerja dan melayan pelanggan. Tiba-tiba, bekas pasangannya yang bernama Andres Julian Mesa Ramirez, muncul di salon. Andres, seorang anggota polis berpangkat tinggi yang dilaporkan tidak bertugas pada waktu kejadian memakai topi keledar dan membawa sepucuk pistol. Tanpa berkata apa-apa, dia terus berjalan ke arah Yesica lalu melepaskan kira-kira sepuluh das tembakan sekali gus menyebabkan Yesica tidak sempat menyelamatkan diri (video di hujung artikel).

     Beberapa orang saksi di tempat kejadian memaklumkan bahawa serangan tersebut berlaku terlalu pantas sehingga tidak memberi peluang kepada sesiapa untuk campur tangan. Pada masa yang sama, anak perempuan Yesica yang masih kecil turut berada di dalam salon dan menyaksikan insiden itu berlaku. Rakaman CCTV dari salon menjadi bukti penting dalam siasatan kerana jelas menunjukkan tindakan agresif pelaku. Selepas melepaskan tembakan terhadap bekas pasangannya, Andres bertindak mencederakan dirinya sendiri. Dia menggunakan senjata yang sama untuk menembak dirinya di kepala sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal. Walaupun menerima rawatan kecemasan, Andres disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan parah yang dialami.


     Kronologi hubungan mereka sebelum kejadian tersebut mendedahkan pola keganasan yang telah lama berlaku. Menurut ahli keluarga dan laporan media tempatan, hubungan antara Yesica dan Andres sudah lama dicemari oleh keganasan fizikal. Yesica dilaporkan beberapa kali berusaha menjauhkan diri termasuk memutuskan hubungan dan menyekat nombor telefon Andres beberapa hari sebelum kejadian. Namun Andres menunjukkan tingkah laku obsesif yang semakin memburuk menjelang hari kejadian.

     Lebih menyayat hati, keluarga dan rakan-rakan Yesica turut berkongsi kisah pengorbanannya dalam melindungi anak-anak serta mempertahankan kehidupannya. Ibunya, Luz Mirian Morales menggambarkan Yesica sebagai ratu di rumah kami mereka. Dia merupakan seorang anak dan ibu yang sentiasa membawa keceriaan kepada keluarga serta orang di sekelilingnya. Mirian juga menyeru orang ramai agar lebih peka terhadap tanda-tanda hubungan yang tidak sihat bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang. Reaksi terhadap kejadian ini amat meluas dan menyentuh emosi ramai pihak. Di kawasan Quintas del Sur, rakan sekerja, jiran tetangga dan pelanggan berkumpul di luar salon menyatakan solidariti kepada keluarga Yesica. 



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Yesica Bocanegra"