Mayat Pelancong di Thailand Ditemui Selepas Hilang Lebih 20 Hari, Dikerat Beberapa Bahagian

     THAILAND — Polis Thailand kini meneruskan siasatan secara intensif terhadap kes pembunuhan seorang lelaki warga Rusia, Mikhail Emelianov, 30 tahun selepas mayatnya ditemui dalam keadaan tragis dan terpisah di beberapa lokasi di sebuah kawasan tanah kosong di daerah Bang Lamung, wilayah Chon Buri. 

     Mikhail Emelianov dilaporkan hilang sejak 7 Januari 2026 selepas dipercayai keluar untuk bertemu dua lelaki lain di sebuah rumah sewa di kawasan Nong Prue, Pattaya bagi urusan yang tidak didedahkan secara jelas. Pada hari kejadian, mangsa masih sempat menghantar mesej kepada ibunya, Olga Lazabenko, 51 tahun yang berada di Rusia,sebelum semua komunikasi terputus secara tiba-tiba. Bimbang akan keselamatan anaknya, wanita itu kemudiannya terbang ke Thailand dan membuat laporan rasmi di Balai Polis Nong Prue selepas tidak menerima sebarang khabar lanjut.

     Susulan laporan kehilangan tersebut, polis Chon Buri mengeluarkan waran tangkap terhadap dua lelaki warganegara Rusia iaitu Iaroslav Demidov, 35 tahun dan Dmitrii Maskalev, 38 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan Emelianov. Menurut pihak polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kedua-dua suspek dilihat kerap keluar masuk rumah yang sama bersama mangsa beberapa hari sebelum kehilangannya. Rakaman tersebut turut memperlihatkan mereka menunggang motosikal dengan tempat duduk yang dibuka, satu kelakuan mencurigakan yang akhirnya membawa kepada siasatan lebih mendalam.

     Siasatan lanjut melalui rakaman jalan raya membawa penyiasat ke sebuah ladang ubi kayu berhampiran rumah berkenaan. Di lokasi itu, beberapa bahagian tubuh manusia ditemui ditanam di beberapa titik berasingan di kawasan tanah rendah. Operasi forensik yang dijalankan kemudiannya mengesahkan penemuan mayat yang dipercayai milik Emelianov berdasarkan pakaian serta tatu yang sepadan dengan laporan kehilangan lebih 20 hari sebelum itu. Pegawai penyiasat memaklumkan bahawa pemeriksaan awal unit forensik mendapati punca kematian mangsa dipercayai akibat kecederaan hentakan kuat. Beberapa bahagian badan mangsa juga masih belum ditemui.


     Pihak berkuasa Thailand turut mendedahkan bahawa sebelum kehilangannya, Emelianov dikatakan menerima mesej ancaman yang menuntut pembayaran wang berjumlah USD120 000 (sekitar RM470 000). Ancaman tersebut dipercayai berkait dengan isu hutang termasuk kemungkinan melibatkan dadah jenis heroin. Polis kini sedang menyiasat sama ada konflik kewangan atau urusan gelap menjadi motif utama yang mencetuskan pergaduhan sehingga membawa kepada pembunuhan.

     Kedua-dua suspek ditahan dalam satu operasi di sebuah hotel di kawasan Sukhumvit Soi 71, Bangkok. Namun mereka dilaporkan menafikan semua tuduhan ketika dibawa untuk soal siasat. Suspek kini berdepan pertuduhan termasuk pembunuhan dengan niat, menyembunyikan atau memindahkan mayat bagi menghapuskan bukti, serta perbuatan menahan mangsa dengan unsur kekejaman yang mengakibatkan kematian.

     Selain itu, polis turut mendapati bahawa suspek dipercayai mengupah dua lelaki tempatan warga Thailand untuk membantu mencari mangsa yang disyaki sebagai taktik bagi mewujudkan alibi palsu. Walau baimanapun, kedua-dua individu tersebut kini dikenal pasti sebagai saksi dan sedang membantu siasatan pihak berkuasa.

Catat Ulasan for "Mayat Pelancong di Thailand Ditemui Selepas Hilang Lebih 20 Hari, Dikerat Beberapa Bahagian "