Kisah Aneh Patient 18

     Kes Patient 18 atau Pesakit 18 merupakan salah satu rakaman arkib perubatan paling misteri yang sering dibincangkan di platform media sosial seperti YouTube dan Reddit. Video asal yang berdurasi sekitar 15 minit itu merupakan sebahagian daripada siri latihan psikiatri yang dirakamkan di University of California, Los Angeles (UCLA) sekitar tahun 1961. Rakaman ini bertujuan untuk melatih pelajar perubatan dan pakar psikiatri dalam mengenal pasti simptom-simptom gangguan mental yang kompleks melalui pemerhatian tingkah laku dan cara berkomunikasi pesakit.

     Dalam rakaman tersebut (video di hujung artikel), penonton diperkenalkan kepada seorang pemuda yang kelihatan tenang namun berada dalam keadaan mental yang sangat bercelaru. Dari sudut klinikal, pesakit ini mempamerkan tanda-tanda Skizofrenia Katatonik, sebuah sub-jenis skizofrenia yang jarang ditemui pada zaman moden ini. Dia menunjukkan ciri-ciri affective flattening atau ekspresi emosi yang mendatar di mana nada suaranya tidak berubah dan wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi emosi walaupun sedang membincangkan perkara yang membimbangkan. Dia juga mengalami gangguan pemikiran yang menyebabkan jawapannya menjadi sangat lambat dan kadangkala tidak relevan dengan soalan yang diajukan.

     Salah satu aspek yang paling menarik perhatian dalam temu bual tersebut adalah obsesi pesakit terhadap postur badannya. Dia berulang kali menyatakan bahawa orang lain memandangnya dengan pelik kerana caranya duduk ketika bermain piano atau caranya berdiri. Dia berasa seolah-olah seluruh dunia menghakiminya berdasarkan pergerakan fizikalnya yang kaku. Perasaan paranoia ini digabungkan dengan ketidakmampuannya untuk membezakan antara realiti dan khayalan memberikan gambaran jelas tentang penderitaan dalaman yang dialami oleh pesakit skizofrenia pada era sebelum ubat-ubatan antipsikotik moden diperkenalkan secara meluas.

    Walaupun video ini sangat popular sebagai bahan kajian kes, identiti sebenar Patient 18 tetap menjadi misteri sehingga ke hari ini. Disebabkan etika kerahsiaan pesakit, pihak UCLA tidak pernah mendedahkan nama sebenar lelaki tersebut. Ketiadaan maklumat rasmi ini telah mencetuskan pelbagai teori dan legenda urban di internet. Ada pihak yang mendakwa bahawa dia adalah seorang pemuda berbakat yang hidupnya musnah akibat penyakit mental dan akhirnya meninggal dunia dalam kesunyian di institusi mental pada akhir tahun 1980-an. Versi ini sering digunakan untuk menggambarkan betapa teruknya sistem penjagaan mental pada masa lalu.

     Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi teori yang lebih memberikan harapan. Beberapa penyelidik amatur di internet mendakwa telah menjejaki identiti pesakit tersebut dan mendapati bahawa dia sebenarnya telah pulih sepenuhnya. Menurut dakwaan ini, pemuda tersebut memberikan respon yang sangat baik terhadap terapi serta ubat-ubatan sebelum menyambung pelajarannya, berkahwin dan menjalani kehidupan yang produktif sebagai seorang profesional. 

     Meskipun kisah-kisah ini menarik untuk dibaca, harus diketahui bahawa tiada bukti sahih yang dapat mengesahkan mana-mana teori tersebut sekali gus menjadikannya salah satu perubatan yang kekal menjadi misteri.



Catat Ulasan for "Kisah Aneh Patient 18"