KISAH MISTERI KEMATIAN DR. BAN ZIAD TARIQ


      Pada bulan Ogos 2025, dunia perubatan di Iraq telah kehilangan seorang permata yang sangat berharga apabila Dr. Ban Ziad Tariq iaitu seorang pakar psikiatri dan psikoterapi yang disegani dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan yang penuh misteri. 

      Dilahirkan pada tahun 1991, Dr. Ban merupakan graduan perubatan daripada Universiti Basrah pada tahun 2015 yang berjaya membina reputasi luar biasa sebagai seorang pengamal perubatan yang dedikasi dan kompeten. Selain bergelar sebagai eorang doktor di hospital, dia merupakan pempengaruh di media sosial. Menerusi lebih daripada 300 000 pengikut di TikTok, Dr. Ban menjadi suara bagi mereka yang menderita dalam diam, gigih mendidik tentang kepentingan kesihatan mental serta berusaha memecahkan stigma sosial yang tebal di Iraq. Namun pada 4 Ogos 2025, Dr. Ban telah ditemui mati di kediaman keluarganya di pusat bandar Basra.


     Misteri kematian Dr. Ban mula menjadi perhatian umum apabila timbul percanggahan maklumat yang sangat mencurigakan pada jam-jam awal kejadian. Semasa ibu bapanya berada di Turki, abang mangsa dilaporkan telah menghubungi mereka dengan memberikan khabar bahawa adiknya maut dalam satu kemalangan jalan raya yang ngeri. Naratif tersebut bagaimanapun bertukar apabila ibu bapanya pulang sebelum mendapati bahawa Dr. Ban sebenarnya ditemui tidak bernyawa di dalam bilik air rumah mereka sendiri. Perubahan drastik dalam laporan awal ini serta-merta menimbulkan tanda tanya besar. Mengapa pihak keluarga cuba menyembunyikan lokasi dan punca sebenar kematiannya pada peringkat awal? Situasi ini menjadi titik tolak kepada kecurigaan orang ramai terhadap apa yang sebenarnya berlaku di dalam rumah tersebut.



     Keadaan menjadi semakin tegang apabila bukti-bukti fizikal pada mayat mangsa mula tersebar melalui foto-foto yang tular di media sosial yang didakwa sebagai milik Dr. Ban. Bukti tersebut menunjukkan kecederaan yang sangat ekstrem dan tidak konsisten dengan profil mangsa bunuh diri secara tipikal. Tubuhnya dilaporkan mempunyai kesan kelar yang dalam pada kedua-dua pergelangan tangan, tanda jerutan yang jelas di bahagian leher serta lebam-lebam pada wajah dan anggota badan yang lain. Penganalisis forensik bebas dan rakan sejawat menyatakan bahawa secara klinikal adalah amat sukar bagi seseorang untuk melakukan kelaran dalam pada kedua-dua tangan sendiri tanpa kehilangan daya motor selepas kelaran pertama. Tambahan pula, rakan sekerja Dr. Ban menyangkal keras dakwaan bapa mangsa yang mengatakan anaknya mengalami kemurungan. Dr. Ban diketahui berada dalam keadaan mental yang sangat stabil dan sedang merancang pelbagai projek perubatan besar untuk masa hadapan.

     Walau bagaimanapun, proses undang-undang di Iraq mengambil haluan yang sangat mengejutkan apabila Majlis Kehakiman Tertinggi Iraq secara rasmi menutup kes ini pada penghujung Ogos 2025. Pihak berkuasa mengklasifikasikan kematiannya sebagai kes bunuh diri berdasarkan laporan forensik rasmi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan penemuan nota peribadi yang didakwa ditulis oleh mangsa. Keputusan yang dibuat dalam tempoh yang sangat singkat ini telah mencetuskan gelombang kemarahan di seluruh Iraq. Ramai pihak termasuk pertubuhan hak asasi wanita seperti Iraqi Women's Network melihat kepantasan penutupan kes ini sebagai satu bentuk kegagalan sistemik dan ketidakadilan terhadap mangsa yang tidak lagi mampu membela diri.


     Isu ini akhirnya berkembang menjadi satu krisis kepercayaan terhadap integriti sistem kehakiman Iraq terutamanya apabila ia dikaitkan dengan bayang-bayang honor killing atau pembunuhan demi maruah. Ramai pihak mempersoalkan kemungkinan adanya pengaruh pihak tertentu atau tekanan keluarga yang digunakan untuk menutup kes keganasan domestik demi menjaga reputasi. Kegagalan pihak polis untuk menyiasat secara mendalam penglibatan ahli keluarga lelaki yang berada di rumah semasa kejadian menguatkan lagi teori bahawa terdapat konspirasi untuk menyembunyikan kebenaran.



Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEMATIAN DR. BAN ZIAD TARIQ"