Keadilan Yang Tertangguh: Kisah Dua Beradik Menjejaki Pembunuh Bapa Selama 25 Tahun

Zhang Guoheng

     Kisah ini bermula pada musim panas yang terik tepatnya pada 2 Julai 1994 di sebuah desa kecil bernama Tongsi yang terletak dalam Wilayah Hunan, China. Ketegangan memuncak di perkampungan tersebut akibat musim kemarau yang melampau hingga memaksa penduduk kampung bergantung sepenuhnya kepada sistem giliran air untuk mengairi sawah padi mereka. Mangsa iaitu Zhang Guoheng yang merupakan seorang guru separuh masa dan petani telah terlibat dalam satu pertikaian mulut yang sengit dengan jirannya, Zhang Sichuo mengenai giliran menyalurkan air ke sawah.

     Pertikaian bagaimanapun bertukar menjadi tragedi berdarah apabila anak lelaki Zhang Sichuo yang berusia 16 tahun ketika itu, Zhang Weipiao campur tangan. Dalam keadaan marah, Weipiao bertindak menyerang Guoheng dengan sebilah pisau penyembelih babi. Mangsa ditikam sebanyak dua kali di bahagian perut hingga menyebabkan kecederaan parah pada organ hatinya. Zhang Guoheng disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Dja meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan yang masih kecil yang bernama Zhang Ali (11 tahun) dan Zhang Lingli (9 tahun).


     ​Selepas pembunuhan tersebut, Zhang Weipiao melarikan diri dari kampung sebelum hilang tanpa dikesan. Pihak polis pada waktu itu gagal mengesannya kerana kekurangan teknologi pengesan moden dan maklumat. Dua tahun kemudian yakni pada 1996, ibu kepada dua beradik ini pula meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan untuk membeli barang dagangan. Dalam sekelip mata, Ali dan Lingli menjadi anak yatim piatu. Walau bagaimanapun, satu tekad tertanam dalam jiwa mereka iaitu mencari pembunuh bapa mereka walau ke hujung dunia.

     ​Selama 25 tahun berikutnya, kehidupan dua beradik ini didedikasikan sepenuhnya untuk misi pencarian tersebut. Sebaik sahaja mencapai usia dewasa, mereka meninggalkan kampung halaman di mana mereka berpindah dari satu wilayah ke wilayah lain seperti Guangdong, Sichuan dan Xinjiang. Mereka bekerja sebagai pelayan restoran, pembahagi risalah, buruh kilang dan apa sahaja pekerjaan yang membolehkan mereka bertemu ramai orang dan bertanya tentang kelibat seorang lelaki dengan parut besar di bahagian tepi kepala, ciri fizikal utama Zhang Weipiao.

     Pencarian yang seolah-olah tiada penghujung itu akhirnya menemui titik terang pada tahun 2019 apabila kisah kegigihan mereka mula mendapat perhatian meluas di platform media sosial dan portal berita utama China, The Paper. Pendedahan media ini memberikan tekanan hebat kepada pihak berkuasa untuk membuka semula fail kes yang sudah sejuk (cold case) itu. Maka dengan bantuan teknologi pengenalan wajah dan analisis data moden, pihak polis berjaya mengesan komunikasi antara seorang lelaki mencurigakan dengan kakak kepada suspek.

     ​Hanya dalam tempoh 40 hari selepas kes itu tular, Zhang Weipiao akhirnya ditangkap pada 29 September 2019 di bandar Yunfu, Wilayah Guangdong, kira-kira 900 kilometer dari lokasi jenayah. Siasatan mendapati pelaku telah menggunakan identiti palsu dengan nama Zhang Xin. Dia telah berkahwin dan mempunyai anak sendiri selama dalam pelarian. Penangkapan ini turut mengheret kakak pelaku ke muka pengadilan atas tuduhan menyembunyikan maklumat dan membantu buronan.

     ​Pada 17 Mac 2021, Mahkamah Perantaraan Rakyat Zhangjiajie menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Zhang Weipiao atas kesalahan membunuh dengan sengaja. Walaupun pihak pembelaan memohon hukuman ringan atas alasan suspek masih di bawah umur semasa kejadian, mahkamah menegaskan bahawa jenayah tersebut terlalu kejam dan tempoh pelarian yang lama menunjukkan tiada penyesalan awal. Kakaknya pula dihukum penjara 3 tahun.


Catat Ulasan for "Keadilan Yang Tertangguh: Kisah Dua Beradik Menjejaki Pembunuh Bapa Selama 25 Tahun"