Kejadian Pembunuhan Beramai-ramai Nong Bua Lamphu 2022

Pada 6 Oktober 2022, Thailand berdepan satu kejadian jenayah yang dianggap sebagai antara paling kejam dan memilukan dalam sejarah negara itu. Serangan bersenjata yang berlaku di Daerah Uthai Sawan, Wilayah Nong Bua Lamphu asdi bahagian timur laut Thailand, telah meragut 38 nyawa termasuk 24 kanak-kanak kecil sekali gus mencatatkan rekod hitam sebagai serangan paling berdarah terhadap kanak-kanak di Thailand.
Serangan utama berlaku di Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Awal Uthai Sawan, sebuah pusat jagaan kerajaan yang menempatkan kanak-kanak pra sekolah berusia antara dua hingga lima tahun. Pusat ini berfungsi sebagai tempat pendidikan awal dan penjagaan harian untuk kanak-kanak keluarga luar bandar yang dikendalikan oleh guru serta kakitangan tempatan. Pada hari kejadian, pusat tersebut menempatkan lebih 30 kanak-kanak bersama beberapa orang guru dan kakitangan. Tiada kawalan keselamatan ketat kerana kawasan tersebut dianggap selamat dan terpencil daripada ancaman jenayah berat.

Pada tengah hari 6 Oktober 2022, sekitar jam 12.30 tengah hari, seorang lelaki bersenjata tiba di pusat jagaan tersebut dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda. Pelaku kemudiannya memasuki bangunan tanpa sebarang halangan. Tanpa memberi sebarang amaran, lelaki itu mula melepaskan tembakan dan menggunakan senjata tajam untuk menyerang sesiapa sahaja yang berada di dalam bangunan. Serangan dilakukan secara rawak dan pantas di mana dia menyasarkan kanak-kanak, guru serta kakitangan pusat tersebut.
Kanak-kanak yang berada di dalam bilik darjah tidak sempat melarikan diri. Ramai yang ditembak dan ditikam ketika sedang duduk atau berbaring. Guru-guru yang cuba melindungi kanak-kanak turut menjadi sasaran dan terbunuh dalam usaha menyelamatkan mereka. Beberapa orang mangsa kanak-kanak ditemui dalam keadaan berpelukan dan bertindih antara satu sama lain. Mereka dipercayai cuba mencari perlindungan atau disorokkan oleh guru. Keadaan ini menggambarkan detik-detik terakhir yang penuh ketakutan dan kekeliruan sebelum nyawa mereka diragut.

Selepas melakukan serangan di pusat jagaan kanak-kanak, pelaku melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang sama. Namun keganasan tidak terhenti di situ. Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, pelaku terus melakukan pembunuhan di beberapa lokasi lain di sekitar kampung. Beberapa orang awam termasuk jiran serta individu yang berada di tepi jalan turut menjadi mangsa tembakan dan serangan senjata tajam. Kejadian ini menyebabkan suasana panik melanda seluruh daerah Uthai Sawan. Penduduk kampung melarikan diri ke dalam rumah manakala pihak berkuasa segera mengerahkan pasukan keselamatan untuk memburu suspek.
Kejadian ini mencapai kemuncak apabila pelaku tiba di rumahnya sendiri. Di situ, dia membunuh isteri dan anak lelakinya yang masih kecil. Selepas melakukan pembunuhan terhadap ahli keluarganya, pelaku kemudian membunuh diri sekali gus menamatkan siri keganasan tersebut. Penemuan mayat pelaku bersama keluarganya mengesahkan bahawa kejadian ini merupakan serangan bersiri yang dirancang atau dilakukan dalam keadaan emosi dan mental yang sangat tidak stabil.

Pelaku dikenal pasti sebagai Panya Khamrab, lelaki berusia 34 tahun yang juga merupakan seorang bekas pegawai polis Thailand. Dia telah dipecat daripada pasukan polis pada tahun 2021 selepas disabitkan dengan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah iaitu Methamphetamine. Rekod siasatan mendapati Panya mempunyai sejarah ketagihan dadah yang serius, masalah disiplin serta keganasan dalam rumah tangga. Dia juga diketahui mengalami tekanan emosi selepas kehilangan pekerjaan dan menghadapi masalah kewangan serta konflik keluarga.
Secara keseluruhan, kejadian ini mengorbankan 38 orang. Beberapa individu lain yang cedera parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan. Keadaan fizikal mangsa yang terselamat memerlukan rawatan jangka panjang manakala kesan psikologi dijangka berpanjangan.

Kerajaan Thailand segera mengisytiharkan tempoh berkabung nasional. Perdana Menteri ketika itu, Prayut Chan-o-cha menyampaikan ucapan takziah dan mengarahkan bantuan kewangan serta psikologi diberikan kepada keluarga mangsa.Bendera Thailand dikibarkan separuh tiang di bangunan kerajaan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban. Pemimpin duniantermasuk dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara-negara ASEAN mengutuk serangan tersebut dan menyampaikan ucapan simpati. Pertubuhan hak asasi manusia turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu kawalan senjata api dan kesihatan mental di rantau tersebut.
Penduduk Nong Bua Lamphu mengalami trauma mendalam selepas kejadian ini. Ramai ibu bapa kehilangan anak dalam keadaan tragis manakala kanak-kanak yang terselamat menunjukkan tanda-tanda gangguan emosi dan trauma psikologi. Pakar psikologi menegaskan bahawa kesan kejadian ini akan dirasai selama bertahun-tahun.
Catat Ulasan for "Kejadian Pembunuhan Beramai-ramai Nong Bua Lamphu 2022"