Kematian Keluarga Machado: Dendam Kesumat Seorang Suami Berakhir dengan Pembunuhan Berganda.

     Pada bulan Februari 2026, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Itumbiara, Brazil. Kes ini bermula apabila Tales Machado, seorang peguam berusia 40 tahun yang juga merupakan bekas setiausaha perbandaran bertindak di luar batasan kemanusiaan dengan meragut nyawa dua anak kandungnya sebelum membunuh diri. Kejadian ini dipercayai berpunca daripada krisis rumah tangga dan perasaan cemburu yang melampau terhadap isterinya, Sara Tinoco.

     Beberapa jam sebelum kejadian ngeri itu berlaku, Tales telah memuat naik satu hantaran yang sangat panjang dan hiba di media sosialnya. Dalam penulisan tersebut, dia meluahkan rasa kecewa yang amat mendalam terhadap apa yang didakwanya sebagai pengkhianatan dan kecurangan oleh Sara. Tales mendakwa telah mengupah penyiasat persendirian yang berjaya merakam bukti isterinya sedang bermesraan dengan lelaki lain di sebuah restoran mewah di Sao Paulo. Dalam keadaan emosi yang tidak stabil, Tales meninggalkan pesanan terakhir yang mengerikan di mana dia menyatakan niatnya untuk membawa anak-anaknya yang digelar sebagai malaikatnya bersama-sama ke alam kematian supaya mereka tidak perlu menanggung malu.

     Pada awal pagi 12 Februari 2026, pihak berkuasa dan ahli keluarga yang bimbang selepas membaca hantaran tersebut telah menyerbu kediaman mereka. Di sana, mereka menemui satu pemandangan yang menyayat hati. Tales ditemui mati dengan kesan tembakan di dada manakala anak sulungnya Miguel yang berusia 12 tahun sudah tidak bernyawa. Anak bongsunya pula, Benicio, 8 tahun ditemui dalam keadaan kritikal dengan kesan tembakan di kepala. Walaupun usaha perubatan kecemasan dilakukan dan Benicio sempat menjalani pembedahan, kanak-kanak malang itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir beberapa hari kemudian. Maka dengan kematian Benicio, kejadian ini dianggap  sebagai kes pembunuhan berganda dan bunuh diri.

     ​Siasatan pihak polis di lokasi kejadian turut menemui bukti bahawa Tales mungkin merancang sesuatu yang lebih dahsyat. Dua bekas berisi petrol ditemui di dalam rumah tersebut selain terdapat bau bahan api yang kuat, menunjukkan bahawa pelaku pada mulanya berniat untuk membakar rumah berkenaan bagi melenyapkan segala bukti atau menambah kesengsaraan. Walau bagaimanapun, kebakaran tidak berlaku. Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada pencerobohan atau penglibatan pihak ketiga dalam kes ini sekali gus mengukuhkan teori bahawa ia adalah tindakan terancang oleh Tales sendiri akibat tekanan perasaan yang gagal dikawal.

     Seperkara yang menambah kerumitan kes ini adalah fakta bahawa pasangan tersebut sebenarnya dilaporkan sudah berpisah sejak Disember 2025. Sara dikatakan sedang dalam proses memulakan hidup baru. Tales bagaimanapun enggan menerima kenyataan tentang keretakan hubungan mereka. Pendedahan video tular yang menunjukkan Sara bersama lelaki lain dianggap sebagai pemangkin yang memicu tindakan nekad Tales.

Catat Ulasan for "Kematian Keluarga Machado: Dendam Kesumat Seorang Suami Berakhir dengan Pembunuhan Berganda."