Kisah Suli: Penderaan Kanak-Kanak di Tiongkok

     Suli dilahirkan pada akhir tahun 1980-an, satu zaman di mana dasar perancang keluarga di Tiongkok dilaksanakan dengan sangat ketat. Kelahirannya yang tidak dirancang telah menyebabkan ibunya iaitu Yan Ziun, seorang pekerja kilang kasut telah dipecat dan dikenakan denda besar. Sejak saat itu, Suli tidak lagi dipandang sebagai seorang anak tetapi sebaliknya dianggap sebagai punca segala kesengsaraan dan kemiskinan keluarga.

     ​Kehidupan seharian Suli di bawah bumbung rumahnya sendiri adalah sebuah mimpi ngeri yang berpanjangan. Berbeza dengan abangnya yang dilimpahi kasih sayang dan kemewahan kecil, Suli dilayan lebih buruk daripada haiwan ternakan. Dia sering dibiarkan kelaparan, dilarang duduk di meja makan dan dipaksa melakukan kerja-kerja berat seperti mencuci pakaian sendiri dengan tangan seawal usia dua tahun walaupun di musim sejuk yang menggigit tulang. Kebencian Yan Ziun terhadap Suli begitu mendalam sehingga dia sering memukul, mencubit dan mendera fizikal Suli atas alasan yang sangat remeh seperti masalah buang air kecil yang tidak sengaja akibat ketakutan yang melampau terhadap ibunya sendiri.

     ​Kemuncak kekejaman pertama berlaku pada Disember 1990. Ketika itu, Suli yang baru berusia tiga tahun terlalu lapar sehingga dia terpaksa memakan dedak ayam yang kotor di halaman rumah. Apabila perbuatan itu dilihat oleh Yan Ziun, wanita itu tidak menunjukkan rasa kasihan. Yan Ziun sebaliknya mengambil jarum dan benang lalu menjahit mulut anaknya sendiri iti sebagai hukuman agar dia serik untuk makan secara sembunyi. Walaupun perkara ini disedari oleh jiran tetangga dan dilaporkan kepada jawatankuasa penduduk, campur tangan pihak luar sukar dilakukan kerana norma masyarakat pada waktu itu yang menganggap urusan anak adalah hak mutlak ibu bapa sepenuhnya.


     Kejadian terakhir yang membawa kepada kematian Suli berlaku pada Mac 1993. Selepas melihat Suli cuba mengambil sepotong kecil daging babi yang dimasak untuk abangnya, Yan Ziun sekali lagi hilang pertimbangan. Dia bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menuang minyak panas yang sedang mendidih terus ke dalam mulut Suli. Akibatnya, mulut dan tekak Suli mengalami lecuran tahap tiga yang sangat parah. Dalam keadaan yang sangat kritikal, Suli tidak dibawa ke hospital. Dia bahkan terus didera dan dibiarkan menderita tanpa makanan atau minuman selama beberapa hari. Suli akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 10 Mac 1993 dalam keadaan yang sangat menyedihkan di sudut rumah yang sepatutnya melindunginya.

     Laporan autopsi mendedahkan fakta yang meruntuhkan jiwa sesiapa yang membacanya. Tubuh Suli didapati sangat kurus (malnutrisi kronik), rambutnya kuning kekeringan dan hampir keseluruhan kulitnya dipenuhi parut luka lama serta baru yang bernanah. Malah kuku jari tangan dan kakinya telah bertukar menjadi hitam akibat pendarahan dalaman yang berpanjangan. Walaupun bukti kekejaman ini sangat nyata, Yan Ziun hanya dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun mengikut undang-undang sedia ada pada masa itu. ​Sebagai penghormatan kepada penderitaannya, tarikh kematiannya diisytiharkan sebagai Hari Suli oleh penduduk setempat untuk memperingati betapa pentingnya perlindungan terhadap kanak-kanak.


Catat Ulasan for "Kisah Suli: Penderaan Kanak-Kanak di Tiongkok"