Kisah Pembunuhan Kejam Pemain Bola Sepak Berbakat: Daniel Correa Freitas


     Kes pembunuhan Daniel Correa Freitas, seorang pemain bola sepak berbakat yang pernah dibandingkan dengan Lionel Messi di Brazil merupakan antara kes jenayah yang paling mendapat perhatian media antarabangsa. Daniel yang ketika itu berusia 24 tahun dan di bawah kontrak kelab gergasi Sao Paulo ditemui mati dalam keadaan yang sangat ngeri oleh seorang penduduk tempatan di sebuah kawasan semak di Sao Jose dos Pinhais pada 27 Oktober 2018. Penemuan itu bermula apabila saksi berkenaan menyedari terdapat kesan tompokan darah yang banyak di atas tanah lalu bertindak menjejaki aliran darah tersebut sehingga ke sebuah kawasan semak di pinggir hutan kecil.

     Keadaan fizikal Daniel ketika ditemui sangat mengerikan dan menunjukkan tanda-tanda penderaan yang ekstrem sebelum dia matim Daniel ditemui dalam keadaan hampir bogel dengan hanya berbaju t-shirt manakala tubuhnya mengalami kecederaan parah akibat serangan senjata tajam. Terdapat dua kelar besar di bahagian leher yang dikesan hampir memutuskan kepalanya selain bahagian kemaluannya yang telah dikerat secara kejam oleh pelaku. Pada peringkat awal, pihak polis menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti identiti mangsa memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian. Identiti pemain bola sepak itu bagaimanapun akhirnya berjaya disahkan melalui ujian cap jari serta proses pengecaman rasmi oleh ahli keluarganya di bilik mayat beberapa jam selepas penemuan tersebut.

​     Segalanya bermula pada malam 26 Oktober apabila Daniel menghadiri majlis sambutan hari lahir ke-18 rakan sosialnya iaitu Alana Britts di sebuah kelab malam eksklusif, Shed Bar, di Curitiba. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Daniel dalam keadaan tenang dan menikmati parti tersebut tanpa sebarang kekecohan. Apabila kelab tersebut ditutup sekitar jam 4:30 pagi, sambutan tersebut tidak berakhir di situ. Alana menjemput sekumpulan rakan termasuk Daniel, untuk meneruskan parti after-party di kediaman keluarganya. Di sinilah detik-detik terakhir kehidupan Daniel bermula.


     Keadaan menjadi keruh apabila Daniel memasuki bilik tidur utama yang didiami oleh ibu Alana bernama Cristiana Britts yang sedang tidur. Menerusi satu tindakan yang dianggap sangat melulu, Daniel sempat menghantar beberapa keping gambar swafoto dan pesanan suara WhatsApp kepada rakannya. Gambar tersebut menunjukkan Daniel berada di atas katil bersebelahan Cristiana yang tidak sedarkan diri. Dalam pesanan tersebut, Daniel secara bergurau mendakwa dia sedang menjalin hubungan intim dengan ibu rakannya itu. Walaupun rakannya memberi amaran supaya dia segera keluar dari situ, Daniel tetap kekal di dalam bilik tersebut.


     Nasib malang menimpa apabila bapa Alana, Edison Britts menemui Daniel di dalam bilik tersebut. Edison mendakwa dia terdengar jeritan isterinya sebelum mendapati Daniel cuba merogol Cristiana. Edison yang dalam keadaan marah terus memukul Daniel dengan kejam. Serangan itu turut dibantu oleh tiga lelaki lain yang hadir di parti tersebut yang dikenali sebagai Eduardo, David dan Igor. Saksi di tempat kejadian melaporkan mendengar rayuan Daniel supaya nyawanya diampunkan namun rayuan itu diabaikan. Daniel kemudian diseret keluar dari rumah, dimasukkan ke dalam but kereta lalu dibawa ke kawasan hutan di mana dia akhirnya dibunuh menggunakan senjata tajam.

​      Siasatan polis mendedahkan taktik licik keluarga Britts untuk menutup jenayah tersebut. Edison dikesan menghubungi ibu Daniel untuk mengucapkan takziah seolah-olah dia tidak tahu apa yang berlaku. Malah keluarga itu telah mengatur satu pertemuan di pusat beli-belah bersama saksi-saksi lain untuk menyelaraskan alibi bagi memastikan semua orang memberikan versi cerita yang sama kepada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, penemuan telefon bimbit Daniel dan bukti digital daripada WhatsApp mematahkan segala naratif palsu yang dibina oleh Edison. 


     Lebih mengejutkan, siasatan lanjut terhadap telefon bimbit Cristiana mendedahkan maklumat yang mencurigakan mengenai gaya hidup pasangan suami isteri tersebut. Polis menemui bukti carian internet mengenai swing houses (kelab pertukaran pasangan) yang dibuat beberapa hari sebelum kejadian serta mesej yang menunjukkan pergolakan rumah tangga yang serius. Ini menimbulkan teori bahawa kehadiran Daniel di dalam bilik tersebut mungkin telah diatur atau merupakan sebahagian daripada gaya hidup mereka sebelum keadaan menjadi di luar kawalan akibat pengaruh alkohol dan dadah. Motif pembunuhan itu turut dikaitkan dengan ketakutan Edison terhadap pendedahan gaya hidup rahsia mereka yang mungkin tercetus selepas dia menemui Daniel bersama isterinya

​     Sehingga kini, Edison Britts kekal dalam tahanan dan menghadapi pertuduhan pembunuhan kejam dengan pelbagai faktor pemberat. Isterinya, Cristiana serta anaknya, Alana turut berdepan pertuduhan undang-undang atas penglibatan mereka dalam menyembunyikan kebenaran dan menghalang keadilan.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Pemain Bola Sepak Berbakat: Daniel Correa Freitas"