Kahwin Belanja RM24 Juta Tapi Hutang RM12 Bilion – Kisah Anak Manja Paling Boros di China.

     Kisah kejatuhan Kumpulan Keluli Haixin bermula dengan satu peristiwa hitam pada 22 Januari 2003. Li Haicang iaitu pengasas syarikat merangkap tokoh korporat terkemuka di wilayah Shanxi telah ditembak mati di pejabatnya sendiri oleh rakan zaman kanak-kanaknya, Feng Yinliang. Motif pembunuhan tersebut hanyalah disebabkan pertikaian perniagaan yang melibatkan nilai 1.6 juta yuan (sekitar RM730 000) yang gagal diselesaikan. Selepas melepaskan tembakan maut ke arah Li Haicang, Feng kemudian membunuh diri di tempat kejadian. Kematian mengejut ini meninggalkan sebuah empayar perniagaan bernilai berbilion yuan tanpa nakhoda yang akhirnya memaksa waris tunggalnya iaitu Li Zhaohui pulang dari luar negara.


​     Li Zhaohui yang ketika itu baru berusia 22 tahun dan masih menuntut di Australia terpaksa memikul tanggungjawab besar yang tidak pernah dibayangkannya. Walaupun pada mulanya ramai pihak ragu-ragu dengan kemampuannya yang kelihatan masih mentah dan berimej 'punk', datuknya, Li Chunyuan tetap berkeras mahu cucunya itu mewarisi takhta syarikat. Melalui sokongan datuknya, Li Zhaohui akhirnya memegang 90% saham syarikat dan secara rasmi menjadi pengerusi Kumpulan Haixin. Pada tahun-tahun awal kepimpinannya, syarikat itu masih menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan keuntungan yang meningkat dengan sebahagian besarnya hasil bimbingan daripada bapa saudaranya yang berpengalaman dalam industri keluli.

     Seiring dengan kekayaan yang melimpah-ruah, Li Zhaohui mula hanyut dalam gaya hidup mewah. Dia mengalihkan fokusnya daripada operasi kilang keluli kepada pelaburan pasaran saham dan kewangan yang dianggapnya sebagai jalan pintas untuk menggandakan kekayaan. Pada tahun 2010, nama Li Zhaohui menjadi bualan hangat di seluruh China apabila melangsungkan perkahwinan gergasi dengan pelakon popular, Che Xiao. Majlis yang diadakan di kampung halamannya itu menelan belanja sehingga 50 juta yuan (sekitar RM23 juta) melibatkan perarakan lebih 200 buah kereta mewah dan pemberian 'angpow' sebanyak 500 yuan (sekitar RM230) kepada setiap pekerja syarikatnya. Namun perkahwinan yang dianggap sebagai pertemuan antara jutawan dan jelitawan itu hanya bertahan selama satu tahun tiga bulan sebelum mereka bercerai.

      Kejatuhan Li Zhaohui bermula apabila dia mengabaikan pengurusan dalaman syarikat demi mengejar keuntungan di pasaran saham. Ketiadaan kawalan menyebabkan berlakunya ketirisan dan kecurian harta syarikat oleh kakitangannya sendiri. Keadaan menjadi lebih parah apabila industri keluli China mengalami kemerosotan global sekitar tahun 2012. Walaupun Li Zhaohui cuba menjual aset sahamnya untuk menampung kerugian, Kumpulan Haixin akhirnya gagal bertahan dan diisytiharkan muflis pada November 2014 dengan jumlah hutang yang mencecah lebih 20 bilion yuan (sekitar RM12 bilion).

      Selepas syarikatnya runtuh, Li Zhaohui muncul buat kali terakhir di hadapan pemiutang pada tahun 2015 untuk memohon maaf dan berjanji akan membayar semula hutang-hutangnya. Namun selepas pertemuan itu, dia terus menghilangkan diri daripada radar pihak berkuasa dan ribuan pemiutang yang menuntut hak mereka. Pada September 2021, mahkamah di Shanghai telah mengeluarkan pengumuman ganjaran sebanyak 21.62 juta yuan (sekitar RM14 juta) bagi sesiapa yang dapat memberikan maklumat tepat mengenai keberadaannya. Cuma hingga kini, individu yang pernah memegang gelaran Orang Terkaya di Shanxi ini masih belum ditemui dan statusnya kekal sebagai buruan yang hilang secara misteri.


Catat Ulasan for "Kahwin Belanja RM24 Juta Tapi Hutang RM12 Bilion – Kisah Anak Manja Paling Boros di China."