Kisah Pembunuhan Kejam Nurul Adelia Saputri

     Kisah sadis yang berlaku pada 12 Februari 2024 melibatkan ini seorang gadis muda bernama Nurul Adelia Saputri yang berusia 22 tahun. Nurul merupakan seorang graduan cemerlang dari Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Palopo yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ekonomi Syariah pada tahun 2023. Di mata keluarga dan rakan-rakan, Nurul dikenali sebagai seorang anak yang berbakti dan bercita-cita tinggi di mana dia sedang mengikuti kursus komputer di Belopa, Kabupaten Luwu untuk meningkatkan kemahiran diri demi masa depan yang lebih cerah.

     Pada hari kejadian, Nurul bertolak ke tempat kursusnya seperti biasa. Namun selepas tamat sesi pembelajaran sekitar jam 11:00 pagi, dia telah dihubungi oleh Adi Rahman iaitu seorang pemandu teksi berusia 31 tahun yang sudah dikenalinya sejak zaman kuliah. Adi menawarkan untuk menghantar Nurul pulang ke rumah. Disebabkan Nurul sudah biasa menggunakan khidmat Adi sebelum ini, dia tidak mempunyai sebarang perasaan curiga dan bersetuju untuk menaiki kenderaan tersebut. Nurul bahkan sempat menghantar gambar swafoto di dalam kereta kepada rakan-rakannya namun dia tidak menyedari bahawa itu adalah perjalanan terakhirnya.

​     Niat murni Nurul untuk pulang ke pangkuan keluarga bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka tiba di kawasan Bukit Sampodo. Adi yang sudah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak itu mula menunjukkan belang dengan merayu dan cuba melakukan gangguan seksual terhadap Nurul. Apabila mangsa dengan tegas menolak pelawaan tersebut, Adi naik berang lalu bertindak ganas dengan menghentam kepala Nurul ke papan pemuka kereta sehingga gadis itu pengsan tidak sedarkan diri. Dalam keadaan mangsa yang tidak berdaya, Adi bertindak di luar kemanusiaan dengan merogol mangsa.

     ​Keadaan menjadi lebih genting apabila Nurul tersedar daripada pengsan semasa perbuatan keji itu sedang berlaku. Mangsa cuba melawan dan menjerit meminta tolong, yang menyebabkan Adi panik. Dalam usaha untuk mendiamkan mangsa, Adi mencapai senjata tajam jenis badik yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu lalu menikam dada mangsa sebanyak dua kali. Tikaman tersebut menyebabkan kecederaan parah dan pendarahan banyak sehingga meragut nyawa Nurul di lokasi kejadian.

​     Selepas membunuh, Adi sempat memandu keliling kota dengan mayat mangsa di dalam kereta sementara dia memikirkan cara untuk menghapuskan bukti. Adi akhirnya memutuskan untuk membuang mayat Nurul di kawasan pinggir sawah di Desa Bolong, Walenrang Utara. Bukan itu sahaja, pelaku turut melarikan barangan berharga milik mangsa seperti telefon bimbit dan komputer riba sebelum meneruskan rutin hariannya sebagai pemandu teksi seolah-olah tiada apa yang berlaku.

     Misteri kehilangan Nurul terjawab keesokan harinya apabila penduduk kampung menemui mayat seorang wanita dalam keadaan tragis di lokasi pembuangan tersebut. Pihak polis dari Polres Luwu bertindak pantas menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan kedudukan Adi Rahman melalui isyarat GPS pada telefon bimbit mangsa yang dicurinya. Pada 18 Februari 2024, Adi akhirnya ditangkap di hadapan lapangan terbang Masamba. Dia terpaksa ditembak di bahagian kaki oleh pihak berkuasa kerana cuba melarikan diri semasa proses penangkapan. Adi Rahman kini berdepan dengan hukuman berat di bawah kanun keseksaan atas tuduhan mencuri dengan kekerasan, pembunuhan terancang dan pemerkosaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Nurul Adelia Saputri"