Kes Mariko Iguchi: Misteri Kehilangan dan Pengakuan Kerana Gangguan Mistik


     Pada April 1990, seorang mahasiswi tahun keempat dari Universiti Wanita Ochanomizu, Jepun yang bernama Mariko Iguchi telah memulakan pengembaraan solo ke Taiwan. Dia yang dikenali sebagai seorang yang ceria dan sangat meminati budaya Cina telah merancang perjalanan tersebut dengan teliti. Mariko sempat menghantar poskad kepada keluarganya setibanya di Taipei dan Tainan di mana dia menceritakan keindahan tempat yang dilawati. Namun segala-galanya berubah pada 7 April 1990 apabila Mariko dilihat keluar dari Stesen Keretapi Kaohsiung dan kemudiannya hilang tanpa dikesan.

     Kehilangan Mariko mencetuskan kebimbangan besar sehingga kerajaan Taiwan menubuhkan unit khas yang dikenali sebagai Task Force 0407. Siasatan awal tertumpu kepada seorang pemandu teksi di Tainan yang merupakan individu terakhir dilihat bersamanya. Walau bagaimanapun, dia dibebaskan selepas alibinya terbukti sah. Kes ini menemui jalan buntu selama hampir setahun hingga menyebabkan industri pelancongan Taiwan merosot apabila jumlah pelancong Jepun menurun secara mendadak kerana faktor keselamatan.

     Titik rujukan kes ini bermula apabila pihak polis menerima maklumat tentang seorang lagi pemandu teksi bernama Liu Zhong-wu yang mempunyai reputasi panas baran dan antisosial. Pada 4 Mac 1991, polis menyerbu kediaman Liu. Secara mengejutkan, Liu terus mengaku membunuh Mariko sebaik sahaja melihat pihak berkuasa. Lelaki itu mendedahkan bahawa dia telah menawarkan tumpangan kepada Mariko dan membawanya pulang ke rumah. Apabila Mariko menolak gangguan seksualnya, Liu yang berasa terhina telah bertindak kejam dengan menembak empat batang anak panah menggunakan busur silang (crossbow) ke kepala mangsa ketika dia sedang tidur.

     Apa yang membuatkan kes ini unik dan menyeramkan adalah alasan di sebalik pengakuan Liu. Dia mendakwa tidak tahan lagi dihantui oleh roh Mariko. Menurut Liu, setiap kali dirinuya memejamkan mata, dia akan melihat wajah Mariko dalam keadaan ngeri dan berdarah. Ketakutan ini menyebabkan Liu tidak berani tidur di dalam rumah hingga dia terpaksa tinggal di dalam teksinya yang dipenuhi dengan ratusan azimat, patung Buddha dan kitab suci sebagai usaha untuk menghalau gangguan mistik tersebut. Malah, penduduk setempat melaporkan melihat Liu sering berkelakuan aneh dan ketakutan seolah-olah sedang dikejar sesuatu yang tidak kelihatan.

     Hasil daripada pengakuan tersebut, pihak polis telah menjalankan kerja-kerja penggalian di sebuah kawasan di Tainan pada Mac 1991. Mereka menemui lebih 100 kepingan tulang manusia yang kemudiannya disahkan melalui rekod pergigian sebagai milik Mariko Iguchi. Bahagian kepala Mariko bagaimanapun tidak pernah ditemui sehingga kini kerana kawasan pelupusan sampah yang dinyatakan oleh Liu telah tertimbus terlalu dalam dan sukar untuk digali sepenuhnya.

     Pada penghujung perbicaraan, Liu Zhong-wu pada asalnya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Daerah Kaohsiung. Namun hukuman tersebut diringankan kepada penjara seumur hidup atas alasan masalah kesihatan mental yang dialaminya. Sehingga tahun 2019, Liu dilaporkan masih berada di penjara dalam kurungan berasingan. Pihak keluarganya sendiri dilaporkan enggan menerima kepulangannya jika dia dibebaskan atas faktor keselamatan dan kekejaman yang telah dilakukan. 

Catat Ulasan for "Kes Mariko Iguchi: Misteri Kehilangan dan Pengakuan Kerana Gangguan Mistik"