Bergaduh Pasal Trump, Bapa Tembak Mati Anak Perempuan

Lucy yang berasal dari Warrington, Cheshire bekerja sebagai pembeli fesyen untuk sebuah jenama di United Kingdom. Ketika kejadian, dia berada di Amerika Syarikat bersama teman lelakinya iaitu Sam Littler untuk melawat bapanya, Kris Harrison serta keluarga sebelah bapanya. Pasangan itu dijadualkan pulang ke United Kingdom pada 10 Januari 2025. Namun lawatan tersebut berakhir dengan kematian selepas berlaku pertengkaran antara Lucy dan bapanya pada pagi hari kejadian.
Menurut keterangan yang dibacakan semasa inkuiri, pertengkaran itu tercetus akibat perbezaan pandangan politik termasuk mengenai Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump serta isu hak pemilikan senjata api. Sam Littler memberitahu mahkamah bahawa hubungan antara Lucy dan bapanya sememangnya agak tegang disebabkan minat dan sikap bapanya terhadap senjata api yang sering menimbulkan rasa tidak selesa kepada Lucy.

Kejadian tembakan dilaporkan berlaku kira-kira 30 minit sebelum mereka dijangka bertolak ke lapangan terbang. Kris Harrison dikatakan telah memegang tangan Lucy dan membawanya dari ruang dapur ke bilik tidurnya di tingkat bawah rumah tersebut. Di dalam bilik itu, dia menyimpan sepucuk pistol Glock separa automatik di dalam kabinet berhampiran katil. Tidak lama kemudian, Sam Littler terdengar satu bunyi letupan kuat dari arah bilik berkenaan.
Apabila Sam bergegas ke lokasi tersebut, dia mendapati Lucy terbaring di lantai dengan kesan tembakan di dada manakala Kris Harrison dilaporkan menjerit memanggil isterinya. Kris tidak hadir secara fizikal di mahkamah untuk memberikan keterangan. Namun satu kenyataan bertulis yang dibacakan semasa inkuiri menyatakan bahawa Kris kononnya hanya ingin menunjukkan pistol tersebut kepada Lucy dan mendakwa senjata itu meletup secara tidak sengaja ketika dia mengangkatnya.
Dalam kenyataan sama, Kris menjelaskan bahawa pistol tersebut dibeli bagi tujuan keselamatan keluarga dan untuk pertahanan rumah. Dia turut menyatakan bahawa undang-undang Texas tidak memerlukan lesen khusus untuk memiliki senjata api dalam konteks tersebut. Selain itu, Kris mengakui telah meminum wain sebelum kejadian dan tidak pasti sama ada jarinya berada pada picu ketika tembakan dilepaskan. Semasa prosiding inkuiri, pihak pendakwaan turut menyatakan bahawa Kris mempunyai masalah pengambilan alkohol selain tidak mempunyai latihan atau pengalaman mencukupi dalam pengendalian senjata api. Perkara itu diambil kira dalam penilaian keseluruhan terhadap tahap kecuaian yang berlaku.

Walaupun kes ini telah diteliti oleh grand jury di Collin County, Texas yang memutuskan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Kris Harrison atas sebarang kesalahan jenayah di bawah undang-undang Amerika Syarikat, mahkamah di United Kingdom tetap mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan inkuiri terhadap kematian rakyatnya yang berlaku di luar negara. Dalam keputusan yang dibacakan, Koroner Kanan Jacqueline Devonish menyatakan bahawa tembakan ke arah dada seseorang yang sedang berdiri bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai letupan tidak sengaja semata-mata. Dia menegaskan bahawa tindakan mengarah senjata tanpa memastikan ia tidak dimuat dan seterusnya menarik picu merupakan perbuatan cuai secara melampau.
Di luar mahkamah, ibu Lucy, Jane Coates, menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu bentuk keadilan moral yang akhirnya memberi suara kepada anaknya selepas setahun melalui tempoh kejutan dan kesedihan yang berpanjangan. Dia turut melahirkan rasa kecewa terhadap undang-undang pemilikan senjata api di Texas serta cara kes tersebut dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Catat Ulasan for "Bergaduh Pasal Trump, Bapa Tembak Mati Anak Perempuan"