Kontena Berdarah: Kisah Penculikan dan Pembunuhan Kejam oleh Todd Kohlhepp

Kes ini bermula pada 31 Ogos 2016 di Woodruff, South Carolina, apabila sepasang kekasih, Kala Brown (30 tahun) dan Charlie Carver (32 tahun) dilaporkan hilang secara misteri. Kehilangan mereka menimbulkan tanda tanya besar apabila anjing peliharaan kesayangan Kala ditinggalkan di rumah tanpa makanan dan air, sesuatu yang sangat luar biasa bagi sifat penyayang Kala. Pihak polis kemudiannya mendapati jejak terakhir pasangan ini menuju ke sebuah hartanah luas milik seorang ejen hartanah berjaya bernama Todd Christopher Kohlhepp untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sambilan.
Di sebalik imejnya sebagai ahli perniagaan yang berjaya, Todd Kohlhepp sebenarnya menyimpan sisi gelap yang amat ngeri. Sebaik sahaja pasangan itu tiba di lokasi, tanpa sebarang amaran, Todd telah melepaskan tiga das tembakan ke arah dada Charlie Carver di hadapan mata Kala sendiri. Charlie maut serta-merta di tempat kejadian. Todd kemudiannya memberi Kala pilihan yang kejam sama ada mahu mati bersama kekasihnya atau mengikut telunjuknya. Kala yang berada dalam keadaan trauma yang amat sangat telah dibawa ke sebuah kontena penghantaran berwarna hijau yang terletak di pelosok tanah miliknya.

Selama dua bulan berikutnya, Kala Brown melalui detik-detik hitam yang sukar digambarkan. Dia dikurung di dalam kontena yang sempit, panas dan gelap tanpa sebarang tingkap. Apa yang lebih menyayat hati, leher Kala dirantai pada dinding kontena menggunakan rantai besi yang berat seolah-olah dia adalah seekor binatang peliharaan. Sepanjang tempoh tahanan, Todd melawatnya dua kali sehari untuk memberi makanan, namun pada masa yang sama, dia melakukan penderaan seksual dan penderaan psikologi. Todd sering mendakwa bahawa dia telah membunuh ramai orang dan mengancam akan melakukan perkara yang sama kepada Kala jika dia cuba melarikan diri.
Siasatan mendalam mendapati Todd Kohlhepp menghidap Gangguan Personaliti Narsistik yang berpunca daripada sejarah zaman kanak-kanak yang penuh dengan penderaan dan kurang kasih sayang. Dia memiliki keinginan luar biasa untuk mendominasi dan memiliki kuasa mutlak ke atas orang lain. Todd malah cuba memanipulasi pemikiran Kala dengan menceritakan tentang Stockholm Syndrome dengan harapan Kala akan jatuh cinta dan memuja dirinya sebagai tuan satu hari nanti. Keangkuhan Todd juga terserlah apabila dia dikesan meninggalkan ulasan ,di Amazon secara tanpa nama mengenai barangan jenayahnya, seperti kunci mangga dan penyodok mayat sebagai cara untuk memuaskan egonya.

Keadilan akhirnya muncul pada 3 November 2016 apabila pihak polis yang sedang melakukan pencarian mendengar bunyi jeritan dan ketukan kuat dari dalam kontena besi di tanah milik Todd. Kala Brown berjaya diselamatkan dalam keadaan yang sangat lemah namun masih bernyawa. Penemuan ini membongkar rahsia yang lebih besar di mana Todd akhirnya mengaku bertanggungjawab ke atas tujuh pembunuhan secara keseluruhan termasuk kes pembunuhan kejam di sebuah kedai motosikal pada tahun 2003 yang tidak dapat diselesaikan selama 13 tahun. Atas segala kekejamannya, Todd Kohlhepp dijatuhi hukuman penjara seumur hidup sebanyak tujuh kali tanpa sebarang peluang parol.
Catat Ulasan for "Kontena Berdarah: Kisah Penculikan dan Pembunuhan Kejam oleh Todd Kohlhepp"