Kisah Dishit Jariwala: Pembunuhan di Sebalik Tabir Kebahagiaan

     Kes ini bermula pada malam 27 Jun 2016 di bandar Surat, Gujarat, India. Dishit Jariwala, seorang usahawan tekstil muda yang berjaya serta kaya-raya baru sahaja pulang ke rumah pangsapuri mereka di tingkat satu selepas keluar bersantai bersama isterinya, Veliee dan anak perempuan mereka yang baru berusia setahun. Kehidupan Dishit dilihat sangat sempurna di mana dia memiliki perniagaan yang berkembang pesat, harta yang melimpah serta sebuah keluarga kecil yang dilihat bahagia. 

     Walau bagaimanapun, suasana harmoni itu hancur apabila Veliee mendakwa dua lelaki bertopeng telah menyerang mereka. Menurut kenyataan awalnya kepada polis, selepas mereka masuk ke rumah, Dishit turun semula ke tempat letak kereta untuk menutup lampu yang terlupa dipadamkan. Tidak lama kemudian, Veliee mendakwa dia menemui suaminya diacu pisau oleh dua perompak di ruang tamu. Veliee mendakwa perompak tersebut mengambil barang kemasnya, mengurungnya di dalam bilik air bersama anaknya sebelum dia mendengar bunyi pergelutan yang berakhir dengan kesunyian yang ngeri. Selepas menjerit meminta tolong melalui tingkap kecil, jiran-jiran datang membantu hanya untuk menemui Dishit yang sudah tidak bernyawa di atas katil.


     ​Pihak polis yang menjalankan siasatan mula mengesan pelbagai kejanggalan dalam cerita Veliee. Pertama, polis mendapati suis lampu tempat letak kereta sebenarnya berada di dalam bilik tidur, jadi tiada keperluan untuk Dishit turun ke bawah. Kedua, walaupun Veliee mendakwa perompak memukul muka suaminya, wajah Dishit ditemui bersih tanpa sebarang kesan luka selain cermin matanya masih terletak rapi tanpa calar. Paling mencurigakan, perompak tersebut hanya mengambil barangan kemas murah milik Veliee bernilai sekitar 60,000 Rupee (sekitar RM3000) tetapi membiarkan jam tangan mewah dan rantai emas yang dipakai oleh Dishit sendiri.

     Setelah diasak dengan soal siasat yang lebih ketat, topeng kepura-puraan Veliee akhirnya pecah. Dia mengaku telah merancang pembunuhan suaminya sendiri. Motif utama pembunuhan ini berakar umbi daripada cinta lama yang bersemi semula. Sebelum berkahwin dengan Dishit, Veliee mempunyai hubungan cinta dengan sepupunya sendiri iaitu Suketu Modi atau juga dikenali sebagai Sunny. Hubungan mereka tidak direstui kerana mereka adalah saudara terdekat. Walaupun telah berkahwin dengan Dishit selama dua setengah tahun dan mempunyai anak, pertemuan semula dengan Suketu dalam satu majlis keluarga telah menyemarakkan kembali api cinta mereka.

Suketu Modi

     Veliee berada dalam dilema sama ada dia mahu bersama Suketu tetapi tidak mahu bercerai kerana bimbang reputasinya terjejas serta tidak mahu kehilangan hak ke atas kekayaan Dishit. Maka, satu rancangan jahat diatur. Menerusi bantuan Suketu dan seorang pemandu bernama Devendra Singh, mereka memilih tarikh 27 Jun kerana mengetahui ahli keluarga Dishit yang lain sedang bercuti di Malaysia sekali gus  menjadikan rumah itu sunyi. Pada malam kejadian, Veliee sengaja membiarkan pintu utama tidak berkunci supaya pembunuh boleh masuk dengan mudah ketika Dishit sedang menidurkan anak mereka.

     Walaupun pihak polis berjaya mengumpulkan bukti seperti rekod perbualan WhatsApp serta rakaman CCTV pertemuan Veliee dan Suketu di sebuah hotel, keadilan nampaknya sukar dicapai di bilik mahkamah. Semasa perbicaraan, lebih 100 saksi telah dipanggil namun ramai di antara mereka termasuk pemandu beca yang membawa pembunuh telah berpaling tadah dan menukar kenyataan mereka. Pihak pembelaan juga berjaya menimbulkan keraguan munasabah tentang bukti fizikal yang dikaitkan dengan Suketu.


     Akibat kekurangan bukti langsung yang kukuh serta kegagalan pihak pendakwaan untuk membuktikan kehadiran suspek di tempat kejadian secara mutlak, mahkamah membuat keputusan yang mengejutkan. Pada 31 Disember 2019, Veliee, Suketu dan Devendra telah dibebaskan daripada semua pertuduhan atas prinsip keraguan munasabah.

Catat Ulasan for "Kisah Dishit Jariwala: Pembunuhan di Sebalik Tabir Kebahagiaan "