Kisah Misteri Pembunuhan Oksana Aplekaeva


     Oksana Aplekaeva dilahirkan pada 12 Jun 1977 di Ufa, sebuah bandar di wilayah Bashkortostan, Rusia. Dia mula dikenali ramai sebagai peserta dalam program realiti Dom-2 iaitu versi Rusia bagi rancangan realiti popular seperti Big Brother di mana para peserta tinggal bersama dan kehidupan mereka dirakam selama 24 jam sehari untuk tontonan umum. Walaupun penglibatannya dalam dunia hiburan tidak begitu lama dan dia bukanlah selebriti utama, namanya tetap diingati dalam kalangan peminat setia rancangan tersebut.

     Pada 1 September 2008, Oksana ditemui mati di tepi sebuah lebuh raya di Moscow oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu. Ketika ditemui, mayatnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Pihak polis mengambil masa lebih seminggu untuk mengesahkan identitinya. Hasil pemeriksaan awal forensik mendapati bahawa dia meninggal dunia akibat dicekik. Susulan itu, pihak berkuasa mengklasifikasikan kes tersebut sebagai satu pembunuhan yang ganas. Walaupun pelbagai spekulasi timbul berhubung motif dan kemungkinan suspek, identiti pembunuhnya tidak pernah dikenal pasti. Kes tersebut kekal tidak selesai hingga kini.


     Kes Oksana menjadi antara misteri jenayah yang belum terungkai di Rusia. Sejak mayatnya ditemui, tiada individu pernah didakwa atas kesalahan membunuhnya. Beberapa teori telah dikemukakan termasuk kemungkinan pembunuhan dilakukan oleh individu yang dikenalinya atau oleh seseorang yang ditemuinya secara kebetulan. Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh yang dapat membawa kepada penahanan atau pendakwaan mana-mana pihak. Tambahan pula, tiada mesej ancaman atau tuntutan tebusan ditemui dan motif pembunuhan juga tidak dapat dipastikan secara jelas sekali gus menyukarkan siasatan.

     Kejadian yang menimpa Oksana tidak berakhir dengan pembunuhannya sahaja. Lebih sedekad selepas kematiannya, pihak berkuasa menerima maklumat baharu yang mendorong siasatan dibuka semula. Mayatnya kemudian digali semula untuk tujuan ekshumasi dan menjalani ujian forensik lanjut menggunakan teknologi DNA yang lebih moden. Hasil ujian tersebut amat mengejutkan apabila analisis DNA menunjukkan bahawa mayat Oksana telah dicabul selepas kematiannya. 

     Siasatan lanjut membawa kepada seorang juruteknik bilik mayat berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Alexander. Lelaki tersebut telah berkhidmat di bilik mayat berkenaan selama 12 tahun dan sebelum itu tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah laku jenayah. Ujian DNA mengesahkan bahawa Alexander telah melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap mayat Oksana selepas kematiannya. Namun menurut laporan media, undang-undang Rusia pada ketika itu tidak mempunyai peruntukan khusus yang mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai kesalahan jenayah. Disebabkan itu, walaupun tindakan Alexander jelas melanggar norma etika dan nilai kemanusiaan, pihak berkuasa tidak dapat mendakwanya di mahkamah atas kesalahan jenayah tertentu.

     Walaupun terlepas daripada pendakwaan jenayah, Alexander telah ditamatkan perkhidmatan daripada jawatannya sejurus selepas pendedahan tersebut. Dalam beberapa laporan media, dia dikatakan mengakui bahawa keputusan ujian DNA tidak dapat disangkal. Pendedahan itu turut memberi kesan besar terhadap kehidupan peribadi Alexander apabila dia dilaporkan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu manakala isterinya pula meninggalkannya selepas kejadian tersebut tersebar kepada umum.


     Pihak polis menegaskan bahawa Alexander tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan Oksana. Mereka percaya bahawa individu yang bertanggungjawab mencekik mangsa dan meninggalkan mayatnya di tepi lebuh raya masih belum dikenal pasti. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa pembunuh mungkin telah membuang mayat Oksana dari sebuah kenderaan sebelum kembali ke lokasi tersebut untuk menyembunyikannya. Cuma sehingga kini tiada suspek rasmi dikenal pasti dan tiada tangkapan dibuat berhubung pembunuhan tersebut.


Catat Ulasan for "Kisah Misteri Pembunuhan Oksana Aplekaeva"