Kisah Pembunuhan Kejam Faizah Soraya: Mampukah Kanak-kanak 12 Tahun Bertindak Sendirian Tanpa Dalang

Siasatan awal oleh pihak Polrestabes Medan membawa kepada penahanan anak perempuan mangsa yang dikenali dengan inisial SAS, berusia 12 tahun dan masih bersekolah di peringkat sekolah rendah. Penahanan ini mengejutkan kerana tahap keganasan yang terlibat dilihat tidak selari dengan usia suspek. Dalam pengakuan awal, SAS mendakwa tindakannya didorong oleh perasaan marah dan dendam yang terpendam terhadap ibunya yang sering memarahi dan memukul kakaknya. Perasaan benci tersebut dikatakan memuncak sehingga membawa kepada tindakan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau dapur. Walaupun pengakuan tersebut direkodkan, kes ini tidak diterima secara mudah oleh pelbagai pihak. Ramai yang mempersoalkan bagaimana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun mampu melakukan serangan bertubi-tubi sehingga menyebabkan kira-kira 20 tikaman tanpa bantuan atau pengaruh orang dewasa. Keraguan ini mendorong pihak polis untuk memperluaskan skop siasatanntermasuk meneliti latar belakang keluarga mangsa serta persekitaran rumah tangga yang didiami mereka.

Hubungan antara Faizah Soraya dan suaminya, Alham Siagian turut menjadi tumpuan siasatan. Pasangan ini dilaporkan telah lama mengalami konflik rumah tangga di mana mereka dikatakan sering bertengkar. Mereka juga tinggal berasingan bilik walaupun masih berada di bawah satu bumbung dengan mangsa di tingkat bawah manakala suaminya di tingkat atas. Kehadiran suami di rumah ketika kejadian berlaku menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur pengabaian, kegagalan campur tangan atau kemungkinan pengaruh terhadap suspek sebelum kejadian tersebut berlaku.
Dalam usaha memahami latar psikologi suspek, pihak polis dengan kerjasama pakar psikologi forensik menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap SAS. Hasil penilaian awal mendapati suspek tidak mengalami gangguan mental seperti halusinasi atau delusi namun menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi mendalam akibat persekitaran keluarga yang tidak stabil. Pada usia yang masih mentah, suspek didapati tidak mempunyai kemahiran emosi yang mencukupi untuk memproses konflik keluarga secara sihat sekali gus menjadikan tindak balas agresif sebagai jalan keluar yang salah.


Pihak berkuasa juga menyiasat kemungkinan pengaruh media digital terhadap tingkah laku suspek. Laporan awal menunjukkan SAS kerap menghabiskan masa dengan permainan video dan kandungan dalam talian melalui telefon pintarnya. Sejarah tontonan di platform seperti YouTube dan TikTok turut diteliti bagi mengenal pasti pendedahan kepada kandungan berunsur keganasan. Walaupun faktor ini tidak dianggap sebagai punca tunggal, pakar psikologi melihat pendedahan berterusan kepada keganasan digital berpotensi mengurangkan empati dan membentuk corak tindak balas agresif terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi.
Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang teruk kesan daripada tikaman berulang kali. Jumlah dan lokasi tikaman mencerminkan tahap emosi yang meluap-luap semasa serangan berlaku. Walau bagaimanapun, pihak polis masih meneliti bagaimana serangan tersebut dapat dilakukan secara berterusan tanpa gangguan memandangkan struktur rumah yang mempunyai dua tingkat serta kehadiran ahli keluarga lain ketika kejadian.


Sehingga awal Februari 2026, kes ini masih berada dalam fasa siasatan dan proses perundangan. SAS telah ditetapkan sebagai suspek rasmi dan dikendalikan di bawah Sistem Peradilan Pidana Anak (SPPA) Indonesia. Memandangkan statusnya sebagai kanak-kanak, suspek tidak ditempatkan di penjara biasa tetapi sebaliknya berada di bawah pengawasan institusi pemulihan dengan penekanan kepada rehabilitasi dan pendidikan. Pihak polis juga telah menjalankan pra-rekonstruksi kejadian yang melibatkan puluhan adegan bagi mencocokkan pengakuan suspek dengan bukti fizikal di tempat kejadian.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Faizah Soraya: Mampukah Kanak-kanak 12 Tahun Bertindak Sendirian Tanpa Dalang"