Kisah Pembunuhan Kejam Indah Fitriani

Pada awal tahun 2024, satu kes jenayah yang meragut nyawa seorang mahasiswi bernama Indah Fitriani (22 tahun) telah berlaku di Kabupaten Cirebon, Jawa Barat, Indonesia. Indah, seorang gadis bijak dan gigih yang menjadi harapan keluarga merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik. Walaupun berasal daripada keluarga sederhana, semangatnya menimba ilmu tidak pernah luntur. Keazaman itu membolehkannya memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Cirebon. Selain belajar, Indah juga bekerja di sebuah kilang di Majalengka bagi membantu menyara adik-adiknya selain berusaha untuk meringankan beban ibu bapa.
Segalanya bermula pada Januari 2024 apabila Indah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Chandra (23 tahun) melalui platform Facebook. Selama kira-kira lima bulan, mereka hanya berhubung melalui mesej teks dan panggilan video tanpa pernah bertemu secara bersemuka. Chandra dilihat berjaya menagih kepercayaan Indah melalui perbualan yang tampak sopan dan prihatin. Hinggalah pada awal Mei 2024 yakni ketika Indah mengadu tentang bebanan tugasan kuliahnya, Chandra mengambil kesempatan dengan menawarkan bantuan. Dia mengajak Indah ke rumahnya dengan alasan menyediakan kemudahan Wi-Fi yang lebih laju dan mengajak mangsa keluar makan bersama.

Pada malam Jumaat, 3 Mei 2024, Chandra menjemput Indah di bilik sewanya di Majalengka. Tanpa rasa curiga, Indah mengikut lelaki tersebut ke rumahnya di Desa Susukan. Namun setibanya di sana, rupanya Chandra telah merancang jenayah itu bersama rakannya yang dikenalai sebagai Fahmi (21 tahun). Sebaik sahaja memasuki bilik, Indah diserang secara mengejut dengan kayu di bahagian kepala sehingga pengsan. Dalam keadaan tidak berdaya, kedua-dua pelaku bertindak kejam dengan memperkosa mangsa secara bergilir-gilir. Selepas melepaskan nafsu serakah, mereka mencekik leher Indah sehingga mangsa menghembuskan nafas terakhir.
Demi menghapuskan bukti, mayat Indah dimasukkan ke dalam karung plastik lalu dibuang ke sungai berhampiran rumah pelaku. Tidak cukup dengan itu, kedua-dua pemuda tersebut cuba mengaburi mata keluarga dan majikan mangsa. Mereka menggunakan telefon bimbit Indah untuk menghantar mesej WhatsApp kepada majikannya kononnya Indah tidak dapat hadir bekerja kerana sakit gastrik. Mesej itu juga dikongsi ke status Facebook mangsa bagi memberi gambaran seolah-olah Indah masih hidup sedangkan hakikatnya dia sudah meninggal dunia.

Dua hari kemudian, pada petang Ahad, 5 Mei 2024, sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi sungai Desa Tegal Gubuk Lor menemui sebuah karung tersangkut pada tiang jambatan. Mereka terkejut apabila mendapati terdapat mayat seorang wanita di dalamnya. Pihak polis segera menjalankan siasatan dan pengecaman. Identiti mangsa akhirnya disahkan oleh ahli keluarga melalui sebilah cincin emas yang masih tersarung di jari manisnya—satu-satunya barang berharga yang tidak diambil pelaku ketika mereka merompak komputer riba dan telefon bimbit mangsa.
Hasil kecekapan pihak berkuasa, Chandra dan Fahmi berjaya ditangkap di lokasi berasingan pada 10 Mei 2024. Siasatan mendedahkan bahawa motif utama mereka adalah untuk memiliki harta mangsa seperti komputer riba dan telefon bagi tujuan dijual. Kedua-dua suspek telah berdepan hukuman berat di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan pembunuhan terancang, rogol, dan rompakan bersenjata yang boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Indah Fitriani"