Kisah Kematian Yao Jinyi yang Benar-Benar Menyedihkan...Kasih Seorang Ibu

     Kejadian yang menyayat hati ini bermula pada 19 Mei 2016 di sebuah sekolah menengah swasta yang eksklusif di Changping, Beijing. Mangsa iaitu Yao Jinyi merupakan seorang gadis remaja berusia 16 tahun yang digambarkan sebagai seorang anak yang ceria, pintar, dan mempunyai masa depan yang cerah. Ibunya, Li Jie yang merupakan seorang ibu tunggal telah melabur belanja yang besar mencecah 300 000 yuan setahun (sekitar RM170 000) semata-mata untuk memastikan anaknya mendapat pendidikan terbaik dengan impian untuk menghantar Jinyi menyambung pelajaran ke luar negara selepas tamat sekolah menengah.

     Kejadian bermula apabila Li Jie menyedari anaknya gagal membalas pesanan WeChat pada malam kejadian. Kebimbangan Li Jie memuncak apabila pihak asrama memaklumkan bahawa Jinyi tiada di bilik semasa pemeriksaan malam. Li Jie segera memandu sejauh 500 kilometer dari Shandong ke Beijing dalam keadaan cemas. Namun respon awal daripada pihak sekolah sangat mengecewakan di mana mereka bersikap dingin dan sempat mendakwa bahawa Jinyi mungkin keluar bersama seorang pelajar lelaki bernama Wang Yizhe ke hotel secara sukarela atas dasar cinta. Li Jie dengan tegas menyangkal dakwaan tersebut kerana dia tahu anaknya sangat membenci Wang Yizhe yang sering mengganggu dan menunjuk-nunjuk kekayaannya.

     Kebenaran yang pahit akhirnya terbongkar pada pagi 20 Mei apabila mayat Jinyi ditemui di Bilik Darjah 601, sebuah bilik di tingkat atas yang kebetulan merupakan satu-satunya kawasan yang tidak dilindungi oleh kamera litar tertutup (CCTV). Keadaan mayat Jinyi sangat menyedihkan dengan kesan lebam di seluruh badan, wajah yang bengkak dan kesan jerutan yang jelas di leher. Perkara ini menunjukkan dia telah melalui saat-saat yang sangat ngeri sebelum menghembuskan nafas terakhir. Pelaku, Wang Yizhe yang merupakan seorang anak daripada keluarga hartawan telah menyerah diri. Walau bagaimanapun, lelaki terbabit memberikan keterangan palsu dengan mendakwa mereka melakukan hubungan seks atas dasar suka sama suka sebelum dia terbunuh mangsa dalam satu pertengkaran.

     Sepanjang proses perundangan, keluarga Wang Yizhe dikatakan cuba menggunakan pengaruh kekayaan mereka untuk memanipulasi kes. Mereka mengupah agensi profesional untuk mengeluarkan laporan bedah siasat yang berat sebelah bagi meringankan hukuman pelaku dengan alasan pembunuhan tanpa niat. Li Jie bagaimanapun tidak tunduk kepada sogokan wang atau tekanan tersebut. Dia bahkan sanggup menjual rumah dan perniagaannya untuk membiayai penyiasatan bebas. Li Jie sanggup mengembara ke seluruh China untuk mendapatkan pandangan pakar forensik yang akhirnya membuktikan secara saintifik bahawa Jinyi telah dirogol secara ganas dan dibunuh dengan sengaja. Malah data telefon yang dipulihkan menunjukkan bukti kukuh bahawa mangsa telah berulang kali menolak gangguan pelaku sebelum kejadian.

     Setelah perjuangan yang panjang dan penuh air mata selama lebih empat tahun, keadilan akhirnya berpihak kepada mangsa. Pada tahun 2017, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Wang Yizhe atas kesalahan merogol dan membunuh dengan sengaja. Walaupun pelaku cuba membuat rayuan dengan menggunakan merit pencapaian akademik dan sokongan pihak sekolah, mahkamah tetap mengekalkan hukuman tersebut pada tahun 2018. Perjuangan Li Jie berakhir dengan rasa sayu apabila sisa pampasan sivil sebanyak 1.55 juta yuan (sekitar RM880 000) yang diperintahkan mahkamah pada tahun 2021 tidak mampu mengembalikan nyawa anaknya. Li Jie berjaya membersihkan nama baik Jinyi dan membuktikan bahawa keadilan tidak boleh dibeli dengan wang.


Catat Ulasan for "Kisah Kematian Yao Jinyi yang Benar-Benar Menyedihkan...Kasih Seorang Ibu"