Padah Suka Pamer Kemewahan, Selebriti ini Dihukum Kerajaan China

Li Xiang dilahirkan pada tahun 1976 di Changsha, Wilayah Hunan, China dalam sebuah keluarga yang berpengaruh. Bapanya merupakan bekas Timbalan Presiden Mahkamah Tinggi Wilayah Hunan serta mempunyai latar belakang ketenteraan manakala ibunya pula ialah seorang eksekutif kanan dalam syarikat milik kerajaan sebelum beralih ke bidang perniagaan sebagai pengedar kereta mewah. Berbekalkan latar belakang ini, Li Xiang sering digelar sebagai Generasi Ketiga Merah iaitu golongan yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan dan tentera. Sejak kecil, dia membesar di kuarters tentera dengan kehidupan yang serba mewah seakan-akan seorang puteri.
Dari segi pendidikan, Li Xiang dikenali sebagai pelajar pintar dan berbakat. Sejak kecil, dia menerima pendidikan dalam bidang muzik seperti piano selain mempelajari kaligrafi dan tarian. Ketika berada di tingkatan enam (Gred 12), Li Xiang ditawarkan kemasukan tanpa peperiksaan ke Universiti Tianjin, sebuah universiti elit dalam kelompok Projek 985. Dia bagaimanapun menolak tawaran tersebut kerana bercita-cita menjadi pengacara. Akhirnya, Li Xiang berjaya memasuki Universiti Komunikasi China dengan memperoleh markah tertinggi dalam subjek kebudayaan.

Kerjaya awal Li Xiang berkembang dengan sangat pesat. Ketika masih menuntut di universiti, dia diterima sebagai pelatih di China Central Television (CCTV), stesen televisyen nasional China. Selepas menamatkan pengajian, Li Xiang kembali ke Hunan TV. Pada awalnya, dia dianggap terlalu muda untuk membaca berita namun akhirnya diberi peluang mengacarakan rancangan variasi popular Happy Camp pada tahun 1997. Rancangan tersebut mencapai kejayaan luar biasa dan menjadikani Xiang antara pengacara wanita paling terkenal di China selama tujuh tahun berturut-turut. Pada tahun 2004 yakni ketika berada di puncak populariti, dia membuat keputusan mengejutkan untuk meninggalkan dunia penyiaran dan menceburi bidang perniagaan.
Dalam kehidupan peribadi, Li Xiang melalui dua perkahwinan berprofil tinggi. Perkahwinan pertamanya pada tahun 2005 adalah bersama usahawan berlian iaitu Li Houlin selepas hanya 33 hari berkenalan. Perkahwinan tersebut bagaimanapun bertahan lebih kurang setahun sahaja akibat masalah kewangan dan isu peribadi. Pada tahun 2009, dia berkahwin dengan pengarah filem, Wang Yuelun. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wang Shiling. Walau bagaimanapun, pasangan ini bercerai pada tahun 2021 selepas beberapa siri kontroversi melibatkan kecurangan suami.
![]() |
| Angela (Anak Li Xiang) |
Selepas meninggalkan dunia penyiaran, Li Xiang berjaya membina empayar perniagaan yang kukuh. Dia dikenali sebagai pelabur hartanah yang memiliki lebih 70 buah rumah di Beijing. Selain itu, Li Xiang turut menjadi antara pelopor awal dalam bidang siaran langsung e-dagang (live streaming e-commerce) yang membolehkannya meraih keuntungan ratusan juta Yuan (ratusan juta ringgit) setahun.
Pada 16 Januari 2026, dunia hiburan China dikejutkan dengan tindakan drastik pihak berkuasa yang menyekat semua akaun media sosial milik Li Xiang. Platform utama seperti Weibo, Douyin dan Xiaohongshu melarang pengguna daripada mengikuti akaunnya. Penyekatan serentak ini menandakan kejatuhan besar seorang selebriti yang pernah mempunyai lebih 20 juta pengikut dan digelar sebagai hartawan wanita dalam industri hiburan.
Antara punca utama kontroversi ialah gaya hidup mewah yang sering dipamerkan di media sosial. Dia pernah mendedahkan bahawa perbelanjaan dapur keluarganya mencecah 650 000 Yuan sebulan (sekitar RM360 000) termasuk kos sayur-sayuran sebanyak 70 000 Yuan ( sekitar RM 39 000). Cara Li Xiang membesarkan anaknya juga menjadi pertikaian apabila Wang Shiling sering digayakan dengan barangan berjenama mewah sejak kecil. Kemuncak kontroversi berlaku apabila dia meraikan hari lahir anaknya itu di sebuah istana di England dengan kek tempahan khas bernilai 200 000 Yuan (sekitar RM113 0000) yang dianggap tidak sensitif terhadap keadaan ekonomi masyarakat.

Selain isu kemewahan, Li Xiang turut terpalit dengan pelbagai masalah etika dan undang-undang. Ketika melakukan sesi siaran langsung jualan produk, dia pernah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti berkaitan kedaulatan negara melibatkan Hong Kong. Li Xiang juga didapati melanggar undang-undang pengiklanan dengan menggunakan istilah terlarang seperti “terbaik” dan “paling berkesan” dalam promosi produk kesihatan. Pada tahun 2021, dia turut dikecam selepas sebuah kediaman sewaan di Sanya yang digunakan oleh pasukannya didakwa ditinggalkan dalam keadaan kotor dan tidak terurus.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila audit perniagaan mendapati 14 daripada 20 syarikat yang dikaitkan dengannya ditutup dalam tempoh singkat sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan salah laku kewangan atau percukaian. Penyekatan akaun Li Xiang juga berlaku tidak lama selepas bekas suami pertamanya, Li Houlin ditahan atas tuduhan penipuan kutipan dana secara haram bernilai lebih 320 juta Yuan (sekitar RM180 juta). Walaupun mereka telah lama berpisah, perkembangan tersebut menambah tekanan terhadap reputasinya.

Tindakan tegas ini selari dengan dasar kerajaan China yang semakin ketat terhadap budaya menayang kekayaan dan salah laku dalam talian. Pihak berkuasa seperti Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) telah melaksanakan kempen Qinglang sejak tahun 2021 bagi membersihkan budaya internet. Dasar ini berkait rapat dengan agenda “Kemakmuran Bersama” yang dipromosikan oleh Xi Jinping dengan tujuan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Kerajaan China berpendapat bahawa paparan kemewahan melampau boleh mencetuskan rasa tidak puas hati sosial, mengganggu kestabilan serta memupuk budaya materialisme dalam kalangan belia. Selain itu, ia juga bertujuan membanteras jenayah kewangan seperti penipuan pelaburan dan pengelakan cukai yang berselindung di sebalik imej kekayaan.

Catat Ulasan for "Padah Suka Pamer Kemewahan, Selebriti ini Dihukum Kerajaan China"