Kisah Pembunuhan Spencer Tupani: Kasih Seorang Bapa...

     Kes pembunuhan yang berlaku di Boon Tat Street, Singapura pada 10 Julai 2017 adalah tentang pengkhianatan, ketamakan dan kasih sayang seorang bapa yang melampaui batas. Pelakunya ialah Tan Nam Seng, 69 tahun iaitu seorang pengasas syarikat perkapalan yang berjaya manakala mangsanya ialah menantunya sendiri, Spencer Tupani, 38 tahun. Kejadian ini berpunca daripada keretakan hubungan kekeluargaan serta konflik perniagaan yang semakin memuncak.

     Tan Nam Seng membina kerjayanya dari bawah sebagai buruh pelabuhan sebelum berjaya menubuhkan TNS Shipping hasil usaha gigih selama berpuluh-puluh tahun. Selepas kematian isterinya, dia membesarkan tiga orang anak perempuan sebagai bapa tunggal dan meletakkan harapan besar terhadap anak sulungnya yang bernama  Shyller Tan untuk meneruskan legasi perniagaan keluarga. Pada awalnya, Tan kurang bersetuju dengan hubungan Shyller bersama Spencer Tupani yang ketika itu bekerja sebagai kakitangan pemasaran di syarikat tersebut. Namun demi kebahagiaan anaknya, Tan Nam Seng akhirnya menerima Spencer sebagai ahli keluarga.

    Selepas perkahwinan mereka, Spencer diberikan tanggungjawab besar dalam pentadbiran syarikat.  Walau bagaimanapun, kepercayaan tersebut didakwa disalahgunakan. Spencer dikatakan menjalani gaya hidup mewah menggunakan dana syarikat serta mengambil langkah untuk menguasai aset keluarga Tan. Keadaan menjadi lebih serius apabila syarikat melalui proses penggabungan. Spencer didakwa memujuk Tan untuk menyerahkan sebahagian saham dengan janji bayaran jutaan dolar yang tidak dilunaskan sepenuhnya. Pada masa yang sama, Shyller mendapati suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain sehingga dikurniakan anak luar nikah. Spencer juga didakwa merancang untuk menggunakan rakaman video bagi menggambarkan Shyller sebagai tidak stabil dari segi emosi dalam prosiding mahkamahnbagi mendapatkan hak penjagaan anak dan kelebihan dalam pembahagian harta.

     Konflik memuncak apabila Spencer bertindak memecat seorang lagi anak perempuan Tan daripada syarikat keluarga tersebut. Bagi Tan, tindakan itu bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan malah dianggap sebagai usaha sistematik untuk menghancurkan keluarganya. Pada tengah hari 10 Julai 2017, Tan pergi ke pejabat untuk bertemu Spencer tetapi dimaklumkan bahawa menantunya itu berada di luar untuk makan tengah hari. Tan kemudian menemui Spencer di sebuah kedai kopi di Boon Tat Street. Melihat Spencer makan dengan tenang bersama rakan-rakannya, Tan gagal mengawal kemarahan. Dia mengeluarkan sebilah pisau dari begnya lalu menikam Spencer sebanyak tiga kali. Spencer cuba melarikan diri sebelum rebah di tengah jalan. Tan turut menghalang orang awam daripada memberikan bantuan sambil menjerit bahawa Spencer layak menerima nasib tersebut.

     Selepas kejadian itu, Tan tidak melarikan diri. Dia menunggu ketibaan polis dan sempat menghubungi anaknya untuk memaklumkan bahawa dirinya telah menyelesaikan perkara tersebut. Di mahkamah, pihak pembelaan berhujah bahawa Tan mengalami gangguan kemurungan teruk akibat tekanan dan provokasi berterusan daripada menantunya. Pada tahun 2020, Tan dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh tanpa niat. Hukuman tersebut mengambil kira faktor usia serta keadaan mentalnya ketika kejadian.

     Tan Nam Seng dibebaskan lebih awal pada tahun 2023 atas faktor kelakuan baik dan kesihatan. Selepas pembebasannya, Tan menghabiskan masa bersama keluarga. Namun kesihatannya dilaporkan semakin merosot dan dia akhirnya meninggal dunia pada 10 Ogos 2025 pada usia 77 tahun.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Spencer Tupani: Kasih Seorang Bapa..."