Kisah Wang Ti: Skandal Penipuan Terbesar Dunia Sukan China

Kisah ini bermula dengan profil seorang wanita bernama Wang Ti yang dilahirkan dalam sebuah keluarga penjawat awam biasa di Dalian pada tahun 1981. Sejak kecil, Wang Ti dibesarkan dengan penuh kemewahan. Perkara ini menyebabkan Wang Ti membesar dengan kepercayaan bahawa dia layak memiliki perkara terbaik dalam hidup tanpa perlu berusaha keras. Perangai ini semakin menjadi-jadi selepas Wang Ti melanjutkan pelajaran ke Irelandndi mana dia mula terpengaruh dengan gaya hidup mewah rakan-rakan kolejnya yang terdiri daripada anak-anak jutawan. Sekembalinya ke China, Wang Ti nekad untuk mengekalkan gaya hidup tersebut dengan apa cara sekalipun.
Demi mengejar impian hidup mewah, Wang Ti memasang strategi untuk mengahwini lelaki kaya. Dia berjaya memikat Wang Sheng, seorang pemain bola sepak kebangsaan China yang sedang berada di puncak kerjaya. Selepas berkahwin, Wang Sheng yang sangat mempercayai isterinya telah menyerahkan segala urusan kewangan keluarga kepada Wang Ti. Wang Ti mula dikenali sebagai isteri pemain bola sepak paling bergaya dalam kalangan sosialita. Walau bagaimanapun, kebahagiaan itu mula retak apabila kerjaya Wang Sheng merosot akibat kecederaan dan pendapatan mereka tidak lagi mampu menampung nafsu berbelanja Wang Ti yang melampau.

Ketamakan Wang Ti membawa kepada pengkhianatan yang lebih besar apabila dia bertemu dengan Xiao Qin, seorang juara Olimpik gimnastik pada tahun 2008. Walaupun masih bergelar isteri orang, Wang Ti mula menjalin hubungan sulit dan bertindak membela Xiao Qin menggunakan wang suaminya sendiri. Dia menyewa apartmen mewah, membeli kereta sukan berjenama dan memberikan hadiah mahal kepada kekasih mudanya itu. Apabila Wang Sheng menyedari kehilangan wang yang banyak dan pengkhianatan tersebut, mereka akhirnya bercerai dengan Wang Ti sanggup melepaskan hak penjagaan anak demi hidup bersama Xiao Qin.

Selepas bercerai dan kehilangan sumber kewangan, Wang Ti mula merangka satu skim penipuan licik dengan menyamar sebagai anak kepada pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai pengaruh dalam kementerian perumahan. Dia memalsukan dokumen, kad ID dan gambar bersama pemimpin negara menggunakan Photoshop untuk membina imej sebagai anak orang berkuasa. Menggunakan reputasi Xiao Qin sebagai umpan untuk membina kepercayaan, dia menawarkan unit hartanah mewah di Beijing dengan harga kuota dalaman yang jauh lebih murah kepada rakan-rakan atlet dan selebriti. Seramai 27 bintang terkenal seperti pasangan juara Olimpik Yang Wei dan Yang Yun telah tertipu dengan jumlah kerugian mencecah 58 juta yuan (sekitar RM38 juta).
Kejatuhan Wang Ti akhirnya tiba apabila mangsa mula mendesak untuk mendapatkan kunci rumah dan mendapati segala janji itu adalah palsu. Pada Mac 2011, dia ditangkap di lapangan terbang ketika cuba melarikan diri ke luar negara. Pada Disember 2013, Wang Ti dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Walaupun Xiao Qin terlepas daripada dakwaan jenayah kerana alasan tidak tahu-menahu, reputasinya hancur dan dia dipaksa bersara. Sementara itu, Wang Ti terpaksa meringkuk di penjara dengan segala harta peribadinya dirampas oleh pihak berkuasa.

Namun di sebalik kemelut yang memalukan ini, tindakan bekas suaminya, Wang Sheng paling mengejutkan orang ramai. Walaupun telah dikhianati dengan begitu teruk dan wangnya dihabiskan untuk menyara lelaki lain, Wang Sheng menunjukkan keperibadian yang sangat mulia. Dia dilaporkan sanggup menggunakan sisa wang simpanannya sendiri untuk membantu membayar pampasan kepada sebahagian mangsa penipuan Wang Ti. Tindakan ini dilakukan semata-mata demi membersihkan nama baik keluarga dan sebagai tanda tanggungjawab moral.
Catat Ulasan for "Kisah Wang Ti: Skandal Penipuan Terbesar Dunia Sukan China"