Kisah Tarsum: Apabila Hutang dan Tekanan Mental Membawa kepada Kanibalisme

Pada 3 Mei 2024, satu kes pembunuhan ngeri telah berlaku di Dusun Sindangjaya, Desa Rancah, Kabupaten Ciamis, Jawa Barat, Indonesia. Kejadian ini melibatkan seorang lelaki bernama Tarsum (50 tahun) yang tergamak membunuh dan mengerat tubuh isterinya sendiri Yanti (40 tahun) sebelum cuba menjual potongan daging tersebut kepada penduduk kampung.
Sebelum kejadian hitam itu, Tarsum dikenali oleh jiran tetangganya sebagai seorang lelaki yang rajin, peramah, dan sangat menyayangi haiwan ternakannya. Sebagai seorang peniaga kambing dan biri-biri di pasar tempatan, dia tidak pernah menunjukkan tanda-tanda keganasan. Cuma di sebalik perwatakan ceria itu, Tarsum sebenarnya sedang menanggung beban hutang yang sangat besar. Dia dilaporkan terjerat dengan pinjaman wang mencecah 100 juta Rupiah (sekitar RM23 000) yang dipercayai daripada ceti haram yang menyebabkan dirinya mengalami tekanan perasaan yang melampau.

Beberapa hari sebelum pembunuhan, Tarsum mula menunjukkan tanda-tanda gangguan mental yang serius. Dia pernah cuba membunuh diri dengan menghantukkan kepalanya ke tiang elektrik sebelum cuba mencekik dirinya sendiri di hadapan isterinya. Pihak keluarga termasuk Yanti telah berusaha mendapatkan bantuan perubatan. Malah petugas dari Pusat Kesihatan Masyarakat telah datang ke rumah mereka untuk melakukan pemeriksaan. Namun pada waktu pemeriksaan tersebut, Tarsum kelihatan tenang dan stabil hingga menyebabkan doktor hanya memberikan ubat penenang tanpa menyedari bahaya yang sedang membuak di dalam dirinya.
Pada pagi Jumaat yang dingin itu yakni sekitar jam 7.30 pagi, Yanti sedang bersiap-siap untuk ke masjid bagi mengikuti pengajian agama. Ketika dia melangkah keluar ke jalan raya, Tarsum yang sudah menunggu dengan sebatang kayu besar terus menyerang isterinya secara membabi buta. Pukulan kuat pada bahagian kepala menyebabkan Yanti rebah lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Tidak berhenti di situ, Tarsum kemudiannya mengambil pisau dapur dan mula mengerat tubuh isterinya kepada beberapa bahagian. Dia memisahkan kaki, tangan dan kepala dari tubuh mangsa dengan penuh ketenangan seolah-olah sedang menyembelih haiwan ternakan.

Apa yang paling mengejutkan penduduk kampung adalah apabila Tarsum memasukkan potongan daging isterinya ke dalam sebuah plastik besar dan berjalan mengelilingi kampung. Dia dengan selamba menemui beberapa jiran termasuk Ketua Rukun Tetangga (RT) dan menawarkan daging tersebut untuk dijual sambil berkata, "Beli daging Yanti, beli daging Yanti." Awalnya, penduduk menyangka dia membawa daging kambing namun apabila melihat kesan darah yang banyak dan potongan tubuh manusia, suasana kampung berubah menjadi huru-hara dan penuh ketakutan.

Pihak polis yang tiba di lokasi terpaksa berhadapan dengan Tarsum yang masih memegang senjata tajam selain dalam keadaan sangat agresif. Selepas berjaya ditangkap, Tarsum ditempatkan di dalam sel pengasingan di mana dia sering menangis dan bertanya tentang keberadaan isterinya sekali gus menunjukkan bahawa lelaki tersebut tidak sedar sepenuhnya akan perbuatannya. Selepas melalui siri ujian psikiatri selama dua minggu di bawah pengawasan pakar, pihak berkuasa mengesahkan bahawa Tarsum menghidap gangguan jiwa berat. Berdasarkan undang-undang Indonesia, individu yang terbukti tidak waras ketika melakukan jenayah tidak boleh dijatuhkan hukuman penjara. Kes Tarsum berakhir dengan pengguguran tuntutan jenayah terhadapnya pada September 2024. Dia kini ditempatkan di pusat pemulihan mental di bawah pengawasan ketat pihak perubatan.
Catat Ulasan for "Kisah Tarsum: Apabila Hutang dan Tekanan Mental Membawa kepada Kanibalisme"