Kisah Misteri Kematian Adik-Beradik Chiong


      Kisah ini bermula pada malam 16 Julai 1997 di Cebu City, Filipina apabila dua beradik iaitu Marijoy (21 tahun) dan Jacqueline Chiong (23 tahun) hilang tanpa dikesan selepas waktu kerja. Mereka berdua kali terakhir dilihat menunggu teksi di luar sebuah pusat beli-belah ketika ribut petir melanda bandar tersebut. Kehilangan mereka mencetuskan panik  memandangkan kedua-duanya datang daripada keluarga yang mempunyai pengaruh dan hubungan rapat dengan pihak atasan kerajaan.

     Dua hari selepas kehilangan mereka, satu penemuan mengerikan berlaku di sebuah gaung terpencil di Tanawan, Carcar. Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan ngeri di mana tangannya digari selain terdapat kesan keganasan melampau. Walaupun keadaan mayat sukar dicam sepenuhnya, keluarga Chiong mengesahkan bahawa itu adalah Marijoy berdasarkan pakaiannya. Nasib Jacqueline pula terus menjadi misteri besar kerana jasadnya tidak pernah ditemui sehingga pada hari ini sekali gus mencetuskan pelbagai teori konspirasi sama ada dia masih hidup atau telah dilenyapkan sepenuhnya.


     Siasatan polis kemudiannya membawa kepada penangkapan tujuh pemuda dengan Francisco Juan Paco Larranaga dinamakan sebagai ketua kumpulan tersebut. Paco merupakan seorang pelajar kulinari yang datang daripada keluarga kelas atasan. Penangkapan ini mengejutkan ramai pihak kerana Paco mempunyai alibi yang hampir mustahil untuk disangkal. Seramai 45 orang saksi termasuk guru-guru kulinari dan rakan sekelasnya bersumpah di bawah kontrak undang-undang bahawa Paco berada di Manila yakni kira-kira 350 batu nautika dari Cebu pada malam kejadian. Malah rekod kehadiran sekolah dan bukti logistik menunjukkan dia sedang menduduki peperiksaan ketika jenayah itu didakwa berlaku.

     Walaupun mempunyai alibi yang kukuh, sistem keadilan seolah-olah telah menetapkan hala tuju yang berbeza. Pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada keterangan Davidson Rusia, seorang ahli kumpulan kongsi gelap yang berpaling tadah untuk menjadi saksi utama. Rusia mendakwa dia terlibat dalam penculikan dan pembunuhan tersebut bersama Paco. Berdasarkan testimoni lelaki itu yang penuh kontroversi, dia mendakwa Marijoy didakwa telah dirogol secara bergilir-gilir oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah selamat sebelum dibawa ke gaung tersebut dan dicampak hidup-hidup. Walau bagaimanapun, testimoni Rusia itu penuh dengan percanggahan. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa dia telah diseksa oleh pihak polis untuk memberikan kenyataan yang memihak kepada pendakwaan. Lebih meragukan, Rusia diberikan imuniti penuh daripada hukuman sebagai pertukaran kepada keterangannya, sesuatu yang dianggap sangat luar biasa dalam kes pembunuhan kejam.

     Suasana perbicaraan di mahkamah juga digambarkan sebagai sangat berat sebelah. Hakim yang mengendalikan kes, Martin Ocampo sering dilihat tidak mempedulikan hujah pembelaan dan hanya membenarkan sebahagian kecil daripada saksi alibi Paco untuk memberikan keterangan. Tekanan media dan pengaruh politik keluarga Chiong yang mempunyai hubungan dengan Presiden Joseph Estrada, dikatakan telah membina naratif anak orang kaya yang jahat terhadap Paco. Pada tahun 1999, Paco dan enam yang lain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Kes ini bertambah gelap apabila Hakim Ocampo ditemui membunuh diri di sebuah hotel tidak lama selepas menjatuhkan hukuman, meninggalkan nota yang membayangkan tekanan hebat yang dialaminya.

     Ketidakadilan ini tidak terhenti di situ. Apabila kes ini dibawa ke peringkat rayuan pada tahun 2004, Mahkamah Agung Filipina bukan sahaja mengekalkan sabitan malah menaikkan hukuman kepada hukuman mati melalui suntikan maut. Hal ini mencetuskan kecaman terutamanya daripada kerajaan Sepanyol kerana Paco memegang dwi-kewarganegaraan. Setelah bertahun-tahun rundingan diplomatik dan selepas Filipina menghapuskan hukuman mati pada tahun 2006, Paco akhirnya dipindahkan ke penjara di Sepanyol pada tahun 2009 di bawah perjanjian pertukaran banduan antarabangsa.


     Dokumentari popular Give Up Tomorrow telah mendedahkan banyak kepincangan dalam siasatan tersebut termasuk teori bahawa adik-beradik Chiong mungkin menjadi mangsa balas dendam terhadap bapa mereka yang sepatutnya menjadi saksi dalam kes melibatkan raja dadah, Peter Lim. Walaupun Paco kini menjalani hukuman di Sepanyol dengan kelonggaran bekerja sebagai chef di luar penjara pada waktu siang, enam rakannya yang lain masih mendekam di penjara Filipina.

Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kematian Adik-Beradik Chiong"