Kisah Pembunuhan Kejam Desy Lailatul Khoiriyah

Kes pembunuhan yang menyayat hati ini bermula pada awal Julai 2023 melibatkan seorang gadis berusia 20 tahun bernama Desy Lailatul Khoiriyah. Desy dikenali oleh penduduk kampungnya di Desa Banggle, Kediri sebagai seorang anak yang pendiam, rajin bekerja di sebuah kedai fotokopi dan merupakan tunjang kekuatan bagi ibunya, Sulastri. Namun di sebalik ketabahan Desy, dia terpaksa berhadapan dengan bapanya iaitu Suprapto, seorang lelaki yang panas baran dan tidak bertanggungjawab yang telah lama hidup berasingan daripada keluarga tanpa memberikan nafkah sejak Desy dilahirkan.
Konflik antara anak dan bapa ini memuncak apabila Suprapto sering datang ke tempat kerja Desy hanya untuk meminta wang secara paksa. Kedatangan Suprapto yang sering mencetuskan kekecohan membuatkan Desy berasa malu dan tertekan. Hingga pada satu tahap, Desy mula berani melawan dan mengeluarkan kata-kata kasar terhadap bapanya sebagai bentuk pertahanan diri. Selain isu wang, Suprapto juga menyimpan dendam kerana Desy enggan memutuskan hubungan dengan teman lelakinya yang menurut kepercayaan karut Suprapto bakal membawa malapetaka jika mereka menjalin hubungan dengan penduduk dari daerah yang sama.

Detik hitam ini berlaku pada malam Rabu, 5 Julai 2023. Suprapto mengambil kesempatan selepas memperdayakan isterinya untuk ke luar daerah lalu dia menuju ke rumah bapa mentuanya di mana Desy tinggal. Sejurus selepas Desy pulang dari kerja sekitar jam 9:00 malam, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian. Tanpa diduga, Suprapto menyerang mangsa dengan kejam. Dia mencekik sebelum menghentam kepala Desy ke lantai sehingga mangsa pengsan dan tidak berdaya. Dalam keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri itu, Suprapto melakukan tindakan yang paling hina dengan merogol anak kandungnya sendiri di dalam bilik mandi.

Selepas memuaskan nafsu serakahnya, Suprapto mendapati Desy masih bernyawa namun dalam keadaan lemah. Bagi memastikan mangsa benar-benar mati, dia mengikat mulut, tangan dan kaki Desy menggunakan kain lalu menyumbat tubuh anaknya itu ke dalam sebuah karung plastik putih yang besar. Karung tersebut kemudian dibawa menggunakan motosikal dan dicampakkan ke dalam sebuah saluran pengairan di kawasan sawah di Desa Bulupasar. Hasil bedah siasat kemudiannya mengesahkan fakta yang sangat memilukan. Desy sebenarnya masih hidup semasa dimasukkan ke dalam karung dan dia meninggal dunia akibat lemas kerana tidak dapat bernafas.

Kehilangan Desy mula menimbulkan tanda tanya apabila dia tidak kelihatan di rumah keesokan harinya. Suprapto dengan liciknya berbohong kepada isteri serta bapa mentuanya dengan mendakwa bahawa Desy telah mendapat pekerjaan baharu di Lamongan dan telah pergi secara terburu-buru. Malah dia sempat meminta isterinya mengemaskan baju-baju Desy kononnya untuk dihantar kepada mangsa sebelum dia sendiri melarikan diri dan menghilang. Misteri kehilangan Desy akhirnya terjawab pada 8 Julai 2023 apabila penduduk kampung menemui karung putih yang mengeluarkan bau busuk di tepi sawah. Setelah diperiksa, karung itu didapati mengandungi mayat mangsa yang sudah mula mereput. Pihak polis melancarkan gerakan memburu dan berjaya menahan Suprapto di sebuah stesen minyak di daerah Tulungagung pada 17 Julai 2023. Walaupun cuba melarikan diri dan sempat menulis surat wasiat palsu yang kononnya mahu membunuh diri kerana tertekan dengan sikap keluarga, dia akhirnya mengakui segala perbuatannya yang kejam itu. Suprapto kini berdepan dengan hukuman penjara yang berat di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak dan jenayah pembunuhan terancang, meninggalkan luka yang sangat mendalam dan trauma yang tidak akan pernah sembuh buat ahli keluarga yang lain.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Desy Lailatul Khoiriyah"