Kisah Pembunuhan Kejam Tiga Sahabat di Ecuador

     Pada bulan April 2023 bertempat di negara Ecuador, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku yang melibatkan tiga oranb wanita muda. Mangsa yang terlibat ialah Nayeli Tapia (22 tahun), Denisse Reina (19 tahun) dan Yuliana MacĂ­as (21 tahun). Ketiga-tiga mereka berasal dari bandar Santo Domingo dan mempunyai impian besar. Nayeli merupakan seorang model dan ibu kepada seorang anak perempuan. Denisse pula ialah seorang pelajar kejuruteraan agro-teknologi manakala Yuliana pula merupakan seorang penyanyi bebas yang sedang membina nama.

     Kejadian ini bermula pada pagi 4 April 2023 apabila mereka memutuskan untuk melakukan perjalanan santai ke pantai di wilayah Esmeraldas selepas dijemput oleh seorang rakan lelaki bernama Luis Fernando Vaca. Meskipun perjalanan itu kelihatan seperti percutian biasa antara rakan-rakan, suasana bertukar menjadi cemas apabila mereka mula berasa ada sesuatu yang tidak kena di tengah perjalanan. Denisse sempat menghantar mesej terakhir yang menyayat hati kepada rakannya menyatakan, "Aku rasa sesuatu akan terjadi, jika berlaku apa-apa, ingatlah aku sayang kau." Malah Nayeli turut menghantar lokasi masa nyata kepada kakaknya sebagai langkah berjaga-jaga sebelum komunikasi mereka terputus sepenuhnya.

     Kebimbangan keluarga mangsa terjawab dengan berita yang paling ngeri pada 7 April 2023. Sekumpulan nelayan di tebing Sungai Esmeraldas yang berhampiran Quininde menemui mayat mereka selepas seekor anjing peliharaan mereka mula menggali tanah dengan agresif di satu kawasan berlumpur. Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati ketiga-tiga mangsa ditanam dalam satu liang yang sama. Keadaan fizikal mangsa menunjukkan mereka telah diseksa dengan sangat kejam di mana tangan mereka diikat, mulut disumbat selain terdapat kesan luka dalam pada bahagian leher serta muka yang hancur akibat serangan senjata tajam seperti parang. Siasatan forensik mendapati mereka mungkin dibunuh di tempat lain sebelum mayat mereka dibuang dan ditanam di tepi sungai tersebut.

     Misteri mengenai mengapa ketiga-tiga wanita ini diperlakukan sedemikian rupa akhirnya mula terungkai melalui siasatan pihak pendakwa raya. Motif utama dipercayai berpunca daripada pertelingkahan yang berlaku di dalam kenderaan tersebut selepas mangsa dikatakan menolak permintaan atau cubaan seksual daripada suspek. Selain itu, pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan adanya unsur premeditasi atau rancangan awal memandangkan lokasi kubur yang terpencil dan saiz lubang yang besar telah disediakan sebelum mangsa dibunuh. 

     Siasatan pihak berkuasa mendedahkan bahawa pembunuhan ini dilakukan oleh individu yang dikenali oleh mangsa sendiri. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa menaiki sebuah kereta Chevrolet Spark hitam yang dipandu oleh Luis Fernando Vaca diikuti oleh sebuah lagi kenderaan yang dinaiki oleh suspek lain. Luis Fernando kemudiannya ditemui mati dalam keadaan dikerat-kerat di wilayah Chimborazo tidak lama selepas kejadian itu yang dipercayai dibunuh oleh rakan subahatnya sendiri untuk menutup mulut dan menghapuskan bukti utama. Namundua lagi suspek utama, Andres Zambrano dan Omar Ordonez berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri ke sempadan Peru.

     Keadilan akhirnya berpihak kepada mangsa apabila pada 17 Mei 2024, mahkamah di Ecuador menjatuhkan hukuman penjara selama 34 tahun dan 8 bulan terhadap Andres Zambrano dan Omar Ordonez atas kesalahan membunuh. Selain hukuman penjara, mereka juga diperintahkan membayar pampasan sebanyak $300 000 kepada keluarga mangsa. Meskipun hukuman telah dijatuhkan, trauma yang dialami oleh keluarga mangsa masih mendalam terutama bagi Paulina Rueda, ibu saudara Yuliana yang menjadi pejuang utama kes ini. Dia bukan sahaja kehilangan anak saudaranya bahkan turut menghadapi pelbagai ancaman nyawa dan penculikan sepanjang menuntut keadilan bagi pihak ketiga-tiga wanita tersebut.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Tiga Sahabat di Ecuador"