LELAKI BUNUH DAN ROGOL KANAK-KANAK PEREMPUAN 4 TAHUN AKIBAT KETAGIH VIDEO LUCAH


     INDONESIA— Satu kejadian tragis dan memilukan menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun enam bulan di Kecamatan Cilacap Tengah, Kabupaten Cilacap apabila jasadnya ditemui dalam keadaan terbungkus di dalam karung pada pagi Jumaat, 30 Januari 2026. 

      Menurut kenyataan rasmi Ketua Polis Resort Kota (Kapolresta) Cilacap, Kombes Pol Budi Adhy Buono, jasad mangsa ditemukan oleh orang awam di Jalan Dr Rajiman kira-kira 20 meter dari rumah keluarga mangsa pada sekitar jam 6.30 pagi. Mayat mangsa dipercayai dibalut di dalam karung selepas disembunyikan oleh pelaku.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah keluar dari rumah pada pagi hari sebelumnya dengan tujuan untuk bermain bersama rakan-rakannya. Namun rakan yang ingin ditemuinya tidak berada di rumah kerana keluar bersama keluarga. Sejak itu, mangsa tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan sebelum dilaporkan hilang oleh keluarganya.

     Tindak balas pantas pihak polis membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 23 tahun dikenali sebagai GR yang merupakan jiran kepada mangsa. Suspek ditahan di sebuah kawasan di Kabupaten Purbalingga pada petang hari yang sama iaitu kurang daripada 12 jam selepas penemuan mayat. Penangkapan tersebut dilakukan selepas polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian serta mengumpulkan keterangan daripada beberapa saksi di sekitar kawasan berkenaan. Polis turut mengesahkan bahawa GR tinggal tidak jauh dari rumah mangsa dan mengenali mangsa kerana adik pelaku adalah rakan sebaya kanak-kanak tersebut.


     Menurut penjelasan pihak polis, kejadian dipercayai bermula pada Khamis, 29 Januari 2026, sekitar jam 10.00 pagi apabila mangsa bertemu dengan pelaku. Suspek didakwa memmujuk mangsa untuk masuk ke rumahnya dengan alasan mahu bermain. Namun apabila mangsa enggan dan mula menjerit kerana ketakutan, pelaku dilaporkan menjadi panik. Dalam keadaan tersebut, pelaku bertindak ganas dengan melakukan kekerasan terhadap mangsa. Siasatan mendapati kepala mangsa telah ditekan ke dalam sebuah bekas berisi air sehingga mangsa tidak sedarkan diri lalu akhirnya meninggal dunia. Selepas itu, pelaku melakukan perbuatan yang sangat kejam dengan memperkosa jasad mangsa sebelum membungkusnya menggunakan plastik hitam dan memasukkannya ke dalam karung.

     Siasatan awal mendapati perbuatan keji tersebut dipercayai didorong oleh nafsu songsang yang kemungkinan berkait dengan tabiat pelaku mengakses bahan pornografi melalui peranti mudah alih. Walau bagaimanapun, motif sebenar masih dalam siasatan lanjut pihak polis. Atas perbuatannya, GR telah dikenakan pertuduhan berlapis di bawah undang-undang Indonesia termasuk Perkara 76C juncto Perkara 80 ayat (3) Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak serta Perkara 473 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP). Kesalahan-kesalahan ini membawa hukuman penjara yang berat termasuk kemungkinan hukuman penjara jangka panjang.

Catat Ulasan for "LELAKI BUNUH DAN ROGOL KANAK-KANAK PEREMPUAN 4 TAHUN AKIBAT KETAGIH VIDEO LUCAH "