Kejam! Suami Baru Bebas Penjara Tergamak Kerat Isteri Sendiri


    Kes pembunuhan kejam yang baru berlaku di Tanjung Pinang, Indonesia ini melibatkan seorang lelaki warga emas bernama Nasrun, 67 tahun di mana dia tergamak menamatkan riwayat isterinya sendiri, Harselena hanya beberapa bulan selepas dia dibebaskan dari penjara atas kesalahan membunuh yang dilakukan sebelum ini.

     Kejadian hitam Nasrun bermula pada tahun 2018. Ketika itu dia yang memegang jawatan sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat pemaju perumahan telah menjalinkan hubungan terlarang dengan seorang janda bernama Supartini. Apabila Supartini mengaku hamil dua bulan dan mendesak Nasrun untuk bertanggungjawab, Nasrun bertindak luar kawalan. Pada 15 Julai 2018, dia telah membunuh Supartini dengan memukul kepalanya menggunakan kayu di sebuah kebun sebelum membungkus mayatnya dan membuangnya ke dalam sungai dari atas jambatan dengan pemberat batu granit.

Supartini

​     Di sebalik kekejaman tersebut, isteri sah Nasrun iaitu Harselena muncul sebagai pembela setianya. Sepanjang perbicaraan pada tahun 2018, Harselena sering dilihat menangis dan merayu di mahkamah agar suaminya tidak dikenakan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup. Hasil pembelaan dan sokongan isterinya, Nasrun akhirnya terlepas daripada pertuduhan pembunuhan terancang dan hanya dijatuhi hukuman 15 tahun penjara. Namun atas kelakuan baik atau faktor lain, Nasrun telah diberikan pembebasan bersyarat pada Ogos 2025 selepas hanya menjalani hukuman selama 7 tahun.

​​     Selepas dibebaskan, Nasrun kembali tinggal bersama Harselena dan dua anak perempuan mereka, Nia dan Aulia. Walau bagaimanapun, suasana harmoni yang diharapkan tidak berkekalan. Nasrun mendakwa bahawa sikap Harselena telah berubah drastik. Mangsa dikatakan sering menghina fizikalnya, merendahkan martabatnya sebagai suami dan kerap mencetuskan pertengkaran. Kemuncak konflik berlaku pada hari Rabu, 25 Februari 2026. Berang kerana kalah berhujah semasa makan, Nasrun bertindak luar kawalan dengan mengambil sebatang kayu dari pasu bunga. Dia kemudian memukul kepala belakang isterinya berkali-kali sehingga mangsa tersungkur lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
     Menyedari isterinya sudah tidak bernyawa, Nasrun cuba menyembunyikan jenayah tersebut. Disebabkan faktor usia dan fizikal mangsa yang berat, Nasrun mendakwa dia tidak mampu mengangkat mayat itu secara utuh untuk dibuang. Dia kemudian menyeret mayat Harselena ke dapur, mengambil parang serta papan pemotong lalu bertindak memotong kedua-dua bahagian paha mangsa. Potongan paha tersebut dibungkus ke dalam karung guni dan segera dibuang ke sebuah rumah kosong milik saudara mangsa di Kampung Bulang menggunakan motosikal. Sesudah itu, Nasrun pulang semula ke rumah dengan niat untuk terus memotong bahagian badan yang lain bagi memudahkan pelupusan mayat sepenuhnya.
​     Rancangan kejam Nasrun terbongkar sepenuhnya apabila anak perempuannya, Nia pulang dari tempat kerja pada petang tersebut. Nia yang berasa curiga kerana terdengar bunyi bising sebelum itu bertanya kepada bapanya di mana ibunya berada. Menerusi riak wajah yang dingin dan tanpa sebarang rasa bersalah, Nasrun menjawab dengan kata-kata yang sangat mengejutkan: "Biasa, baru bunuh mamak mu" (Biasa, baru saja bunuh mak kamu). Nia pada mulanya menyangka ia adalah gurauan kasar. Hatinya bagaimanapun mula berasa tidak sedap apabila melihat kesan darah di lantai yang menuju ke arah gudang.


​     Nia memberanikan diri masuk ke dalam gudang tersebut dan alangkah luruhnya hati si anak apabila menemui bungkusan kain batik dan karung guni yang mengandungi tubuh ibunya yang sudah tidak sempurna tanpa kaki. Nia yang melihat keadaan ngeri itu terus menjerit dan berlari keluar rumah dalam keadaan trauma untuk meminta bantuan jiran tetangga. Penduduk setempat yang mendengar jeritan tersebut segera menghubungi pihak Polresta Tanjungpinang untuk membuat laporan rasmi.


​     Menyedari perbuatannya telah diketahui, Nasrun segera melarikan diri menggunakan motosikal dengan niat untuk menyeberang ke Batam. Walau bagaimanapun, kecekapan pihak polis yang menerima laporan daripada Nia membuahkan hasil apabila Nasrun berjaya dikesan dan ditangkap di kawasan Bintan dalam tempoh kurang tiga jam selepas kejadian dilaporkan. Berdasarkan rekod jenayah lampaunya yang berulang serta kekejaman tindakan memotong mayat tersebut, Nasrun kini berhadapan dengan pertuduhan pembunuhan terancang yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Catat Ulasan for "Kejam! Suami Baru Bebas Penjara Tergamak Kerat Isteri Sendiri"