Kes Pembunuhan Kejam Zein Ahmad Abdul Qudus

Kes pembunuhan kejam yang menimpa seorang remaja berusia 13 tahun bernama Zein Ahmad Abdul Qudus di Indonesia baru-baru ini melibatkan elemen buli, obsesi melampau dan dendam akibat perhubungan yang toksik. Zein merupakan seorang pelajar di SMPN 26 Bandung yang asalnya berpindah dari Garut untuk memulakan hidup baru dan menjauhkan diri daripada pengaruh negatif rakan seniornya, Yoga (14 tahun).
Hubungan antara Zin dan Yoga bermula sejak di sekolah rendah di Garut. Pada mulanya, Yoga sering membuli Zin sebagai mangsa keganasan fizikal dan pemerasan wang jajan. Namun lama-kelamaan sikap Yoga berubah daripada seorang pembuli menjadi seorang yang sangat melindungi dan menunjukkan minat yang tidak normal terhadap Zein. Yoga mula mengawal pergerakan Zein selain terdapat dakwaan bahawa berlaku penderaan seksual atau paksaan dalam perhubungan mereka. Menyedari keadaan ini semakin meruncing, keluarga Zein mengambil keputusan untuk memindahkan Zin ke Bandung bagi memisahkan mereka.

Malangnya, perpindahan tersebut tidak memadamkan obsesi Yoga. Yoga yang kini menuntut di sebuah SMK di Garut terus memantau setiap gerak-geri Zin melalui media sosial. Dia berasa sangat cemburu apabila melihat Zein mampu menyesuaikan diri dengan baik di Bandung malah mempunyai rakan-rakan baru dan teman wanita. Apabila Zein secara tegas menyatakan bahawa dia mahu menamatkan hubungan "adik-beradik" yang tidak sihat itu, Yoga berasa sangat terhina dan mula merancang satu misi balas dendam yang zalim.

Pada 9 Februari 2026, Yoga bersama seorang lagi rakannya yang tidak bersekolah iaitu APM (17 tahun) telah menunggang motosikal dari Garut menuju ke Bandung untuk bertemu dengan Zein. Yoga telah membawa sebilah pisau tentera yang disembunyikan di bawah tempat duduk motosikalnya sebagai persiapan untuk membunuh. Mereka kemudiannya bertemu dengan Zein selepas waktu sekolah di mana Yoga memujuk Zein untuk pergi ke sebuah kawasan terbengkalai yakni Kampung Gajah di Bandung Barat, dengan alasan untuk berbincang secara peribadi.
Setibanya di kawasan sunyi tersebut, Yoga sekali lagi cuba merayu agar Zein tidak meninggalkannya namun apabila permintaannya ditolak, kemarahan Yoga meledak. Dia memukul kepala Zein dengan botol sehingga mangsa tersungkur lalu menyerang Zein secara membuta tuli dengan menikam perut mangsa sebanyak 8 kali. Tanpa sebarang belas kasihan, Yoga merampas telefon bimbit Zein dan jaket yang pernah dihadiahkannya lalu melarikan diri bersama APM ke Garut meninggalkan Zin yang sedang nyawa-nyawa ikan.

Kehilangan Zin mula disedari keluarga apabila dia tidak pulang ke rumah sehingga malam. Laporan polis dibuat dan pencarian besar-besaran dijalankan namun tiada sebarang petunjuk ditemui sehinggalah pada 12 Februari 2026. Sekumpulan pencipta kandungan (content creator) yang sedang melakukan penstriman langsung aktiviti paranormal di Kampung Gajah telah terhidu bau busuk yang sangat menyengat. Mereka pada mulanya menyangka ia adalah bangkai haiwan sebelum terkejut besar apabila menemui jasad seorang remaja masih berpakaian seragam sekolah dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Pihak polis melalui siasatan forensik dan semakan rakaman CCTV berjaya mengesan Yoga membonceng Zin pada hari kejadian. Yoga dan APM akhirnya ditangkap di Tasikmalaya selepas cuba melarikan diri. Mereka kini berdepan dengan hukuman berat di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak dan Seksyen 459 KUHP mengenai Pembunuhan Terancang yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kejam Zein Ahmad Abdul Qudus"