Pempengaruh Kecergasan Meninggal Dunia Selepas Komplikasi Prosedur IVF

SAO PAULO, BRAZIL – Dunia media sosial Brazil diselubungi hiba susulan berita kematian pempengaruh kecergasan dan gaya hidup sihat terkenal iaitu Gabriela Martins Santos de Moura. Dia disahkan meninggal dunia pada usia 31 tahun selepas bertarung nyawa selama lapan hari akibat komplikasi perubatan yang berlaku semasa menjalani prosedur persenyawaan luar rahim (IVF).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli keluarga mangsa, kejadian itu bermula apabila Gabriela menjalani prosedur rutin pengambilan telur sebagai sebahagian daripada rawatan kesuburannya. Semasa proses tersebut berlangsung, dia dilaporkan telah mengalami serangan jantung dan pernafasan secara tiba-tiba. Pasukan perubatan berjaya memulihkan degupan jantungnya. Walau bagaimanapun, dia mengalami kekurangan oksigen yang teruk pada bahagian otak. Gabriela segera dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Sao Paulo dalam keadaan koma. Selepas lapan hari bergantung kepada bantuan mesin hayat tanpa menunjukkan sebarang tindak balas neurologi, pihak hospital mengesahkan mangsa mengalami mati otak pada 24 Februari 2026.

Gabriela dikenali oleh ribuan pengikutnya di laman Instagram sebagai seorang individu yang sangat mementingkan kesihatan fizikal dan mental. Dalam satu tindakan yang menyentuh hati, keluarga Gabriela memutuskan untuk menunaikan hasrat murni mendiang dengan mendermakan organ-organnya. Menurut jurucakap keluarga, keputusan itu dibuat bagi memastikan semangat kebaikan Gabriela terus hidup dengan membantu individu lain yang memerlukan pemindahan organ.
Kematian Gabriela kini berada di bawah siasatan Majlis Perubatan Serantau (CREMESP) bagi mengenal pasti punca sebenar serangan jantung tersebut. Pakar perubatan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya tindak balas anafilaksis terhadap ubat bius atau komplikasi berkaitan hormon yang jarang berlaku.
Mayat Gabriela telah selamat disemadikan dalam satu majlis tertutup yang dihadiri oleh rakan-rakan rapat dan ahli keluarga. Sementara itu, ruangan komen di akaun media sosial Gabriela terus dibanjiri dengan ucapan takziah daripada pengikut seluruh dunia yang menyifatkannya sebagai inspirasi dalam memperjuangkan kesejahteraan hidup sehingga ke nafas terakhir.
Catat Ulasan for "Pempengaruh Kecergasan Meninggal Dunia Selepas Komplikasi Prosedur IVF"