Kes Pembunuhan Kejam Sekeluarga di Tecamac, Mexico

     Pada awal Januari 2018, satu kes pembunuhan ngeri telah berlaku Tecamac, Mexico. Watak utama di sebalik kejadian ini ialah Jose de Jesus Lopez Bautista, seorang lelaki berusia 34 tahun yang dahulunya memegang jawatan dihormati sebagai anggota Polis Persekutuan Mexico. Kerjayanya bagaimanapun hancur apabila dia dipecat kerana sikap agresif dan kecenderungan menyalahgunakan kuasa. Kegagalan mengekalkan pekerjaan ditambah dengan tekanan ekonomi yang menghimpit telah mengubah Jose menjadi seorang penagih dadah dan alkohol yang tidak stabil secara mental.

     ​Detik hitam ini bermula pada malam sambutan Tahun Baru 2018. Ketika menghadiri majlis keraian bersama keluarga besar, Jose diselubungi rasa rendah diri dan malu yang teramat sangat kerana status penganggurannya. Ketegangan memuncak apabila dia memaksa isterinya iaitu Esther Alicia Castro (36 tahun), untuk pulang segera. Jose didakwa taksub dengan nasihat seorang paranormal yang menjanjikan kekayaan melalui ritual tertentu. Pertengkaran hebat tercetus di majlis tersebut. Walau bagaimanapun, Jose tetap membawa isteri dan dua anak perempuannya, Alisandra (5 tahun) serta Lorena (1 tahun) pulang ke rumah mereka dalam keadaan marah yang meluap-luap.

     ​Di bawah pengaruh dadah dos tinggi, Jose mendakwa mula mendengar suara-suara ghaib yang memerintahkannya untuk melakukan pengorbanan. Tanpa sebarang belas kasihan, dia mengambil senjata tajam dari dapur sebelum menuju ke arah isterinya yang sedang tidur lalu menikam mangsa sebanyak 16 kali. Selepas memastikan Esther tidak lagi bernyawa, dia beralih pula kepada dua cahaya matanya yang tidak berdosa. Jose bertindak menekup kedua-dua anaknya menggunakan bantal sehingga mereka mati lemas. Apa yang lebih menyayat hati yakni selepas melakukan pembunuhan tersebut, dia meletakkan semua jasad di atas katil yang sama dan tidur di sebelah mereka selama beberapa hari seolah-olah tiada apa yang berlaku.

     Kegilaan Jose berterusan apabila dia mula melakukan tindakan luar keperimanusiaan untuk menyembunyikan bukti jenayahnya. Selama hampir seminggu, dia memotong jasad isteri dan anak-anaknya kepada bahagian-bahagian kecil. Laporan forensik yang mengerikan mendedahkan bahawa Jose bertindak memasak serta memakan sebahagian daripada organ tubuh mangsa. Bukan itu sahaja, terdapat bukti yang menunjukkan pelaku melakukan nekrofilia (perbuatan seksual) terhadap mayat-mayat tersebut. Bagi mengaburi bau busuk yang mula memenuhi kawasan kejiranan, Jose menggunakan bahan kimia pemutih, pewangi ruangan dan membakar pakaian mangsa di dalam bilik tidur sehingga menimbulkan asap hitam yang tebal.

     Rahsia ini akhirnya terbongkar apabila ahli keluarga mangsa yang curiga kerana gagal menghubungi Esther bertindak menyerbu kediaman tersebut bersama pihak polis. Jose cuba melawan dengan agresif menggunakan senjata tajam. Walau bagaimanapun, dia berjaya dilumpuhkan selepas polis melepaskan tembakan pada kakinya. Di dalam rumah tersebut, polis menemui pemandangan yang sangat ngeri di mana bahagian tubuh mangsa ditemui di dalam balang kaca dan sebahagian lagi sudah membusuk di atas katil. 


     Pada penghujung perbicaraan, Jose de Jesus Lopez Bautista telah diisytiharkan tidak siuman oleh mahkamah Mexico. Keputusan ini bermakna dia tidak dihantar ke penjara biasa tetapi sebaliknya ditempatkan di pusat rawatan mental dan dikenakan denda kewangan yang besar. Namun keadilan seolah-olah mencari jalannya sendiri apabila Jose dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan tidak lama kemudian dipercayai akibat serangan daripada banduan lain yang berang dengan tindakan kejamnya.


Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kejam Sekeluarga di Tecamac, Mexico "