Kisah Seram di Sebalik Simen: Pembunuhan di Rumah Pangsa Ngau Tau Kok ​

     Pada tahun 1970-an, kawasan perumahan pangsa Ngau Tau Kok di Hong Kong merupakan kawasan yang sesak dengan penduduk. Di sebalik hiruk-pikuk kehidupan harian, tersimpan satu rahsia gelap yang hanya terbongkar melalui titisan darah yang menembusi siling. Kes ini mendapat perhatian bukan sahaja kerana kekejamannya tetapi juga unsur misteri dan "balasan" yang menimpa si pelaku.

    Segalanya bermula pada penghujung Ogos 1975. Penduduk di Blok 9 mula mengadu tentang bau busuk yang amat meloyakan menyelubungi koridor tingkat tersebut. Pada mulanya, ramai menyangka ia hanyalah bau bangkai tikus atau daging reput yang tidak dibuang. Namun pada malam 30 Ogos 1975, seorang penghuni di tingkat satu terkejut apabila mendapati tompokan cecair merah pekat mula merembes keluar dari celah-celah siling rumahnya. Cecair itu bukan sahaja berbau hanyir bahkan mula menitis ke lantai. Maka dengan rasa curiga, dia naik ke tingkat dua untuk bertemu jiran di atasnya, seorang lelaki bujang bernama Huang Kun-tai.


Gambar sekadar hiasan (Janaan AI)

     Apabila disoal, Huang dengan tenang menjawab bahawa dia baru sahaja menyembelih ayam dan darah tersebut mungkin tumpah ke lantai. Namun selepas empat jam berlalu, titisan darah tersebut semakin banyak dan bau busuk semakin tidak tertanggung. Curiga dengan jawapan yang tidak masuk akal itu, penghuni tingkat satu tersebut akhirnya bertindak menghubungi pihak polis.

     Pihak polis yang tiba di lokasi segera melakukan pemeriksaan di rumah Huang. Walaupun Huang cuba berlagak tenang dan mengulangi cerita sembelih ayam, polis mendapati ada sesuatu yang tidak kena di bahagian dapur. Mereka menyedari bahawa bahagian bawah meja masak telah ditutup dengan lapisan simen yang masih baru dengan kesan simen basah masih kelihatan di tepinya. Apabila polis memecahkan lapisan simen tersebut, satu bau busuk yang amat dahsyat keluar sehingga menyebabkan anggota polis hampir muntah. Di bawah struktur meja masak tersebut, mereka menemui mayat seorang wanita dalam keadaan bogel dan sudah mula mereput. Mangsa dikenal pasti sebagai Li Ya-lai, seorang wanita berusia 54 tahun yang juga merupakan ibu angkat kepada Huang Kun-tai.


     Siasatan lanjut mendedahkan bahawa Huang dan mangsa mempunyai hubungan yang rapat sebelum ini. Huang yang sedang menganggur dan kesempitan wang mahu membeli rumah daripada ibu angkatnya itu. Mereka pada mulanya bersetuju dengan harga HKD 3000 yakni satu harga yang sangat murah pada waktu itu. Cuma selepas Huang menyerahkan wang tersebut, Li Ya-lai enggan berpindah keluar selain menuntut tambahan wang sebanyak HKD 2000. Pertengkaran hebat berlaku apabila mangsa menghina Huang dan enggan memulangkan wang deposit yang telah dibayar. Dalam keadaan marah yang meluap-luap, Huang mencapai botol bir lalu memukul kepala mangsa sehingga pengsan sebelum mencekiknya sehingga mati.

     Dalam keadaan panik, Huang memutuskan untuk menyembunyikan mayat tersebut di bawah meja masak dapur rumahnya sendiri. Dia membina struktur simen untuk menutup mayat itu dengan menyangka rahsianya akan kekal tersimpan. Walau bagaimanapun, gas daripada proses pereputan mayat menyebabkan simen tersebut retak manakala cecair mayat keluar sehingga ke tingkat bawah.

     Huang Kun-tai pada mulanya dijatuhi hukuman mati. Hukuman itu bagaimanapun kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup kerana dia didiagnosis menghidap masalah mental. Dia dihantar ke Hospital Pesakit Jiwa Siu Lam untuk menjalani hukuman di bawah pengawasan ketat. Sepanjang di penjara, Huang dilaporkan sering meracau dan menjerit ketakutan kerana mendakwa diganggu oleh roh ibu angkatnya. Misteri kes ini memuncak pada tahun 1994. Selepas 19 tahun meringkuk di sebalik jeruji besi dan hampir mendapat peluang parol, Huang ditemui mati membunuh diri di dalam tandas hospital tersebut dengan menggunakan tali daripada seluar dalamnya. Kematiannya dianggap oleh ramai orang sebagai balasan nyawa yang dituntut oleh mangsa.

     Kes ini meninggalkan kesan mendalam kepada budaya popular Hong Kong. Rumah pangsa tersebut dilaporkan tidak berpenghuni buat jangka masa lama kerana gangguan paranormal yang sering dialami jiran tetangga termasuk suara tangisan wanita di tengah malam. Walaupun sebuah keluarga pernah cuba berpindah masuk pada tahun 1990, mereka hanya bertahan seketika sebelum melarikan diri kerana sering jatuh sakit dan mengalami mimpi ngeri yang sama.

Catat Ulasan for "Kisah Seram di Sebalik Simen: Pembunuhan di Rumah Pangsa Ngau Tau Kok ​"