Kisah Bagaimana Mayat Berada di Taman Permainan Selama Tiga Tahun


     Kejadian ini bermula pada 6 Julai 2011 di sebuah kompleks apartmen yang tenang di Chojidong, Ansan, Korea Selatan. Sebuah kereta sorong lama yang sarat dengan barang telah terbiar di sudut taman permainan kanak-kanak selama hampir tiga tahun. Penduduk setempat sudah terbiasa melihatnya sehingga ia dianggap sebagai sebahagian daripada landskap kawasan tersebut. Namun segalanya berubah apabila seorang pengawal keselamatan, Encik Kim memutuskan untuk membersihkan kawasan itu setelah mendapat aduan daripada ibu bapa yang bimbang keselamatan anak-anak mereka. Di atas kereta sorong tersebut, dia menemui sebuah kotak ais besar yang dibalut dengan pelapik plastik yang mengeluarkan bau busuk yang amat meloyakan.


     Apabila lapisan plastik tersebut dibuka, Encik Kim menemui sebuah bagasi yang mengandungi mayat manusia yang telah dikerat-kerat dan berada dalam keadaan reput yang teruk. Pihak forensik mengambil masa untuk mengenal pasti identiti mangsa kerana keadaan mayat yang tidak sempurna termasuk kehilangan kedua-dua ibu jari dan kepala yang telah dipenggal. Melalui baki cap jari yang ada, mangsa akhirnya dikenal pasti sebagai Puan Park iaitu seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan pesakit palsi serebrum (cerebral palsy) tahap empat. Apa yang menyedihkan, Puan Park sebenarnya telah hilang sejak Mac 2006. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa yang menyedari kehilangannya atau membuat laporan polis dan miskin.

     Siasatan polis membawa mereka kepada pemilik kereta sorong tersebut, seorang lelaki bernama Encik Chong yang berusia 66 tahun. Chong merupakan seorang individu yang sangat misteri. Dia adalah bekas banduan yang pernah dijatuhi hukuman mati kerana membunuh perempuan simpanannya. Hukumannya bagaimanapun diringankan kerana berkelakuan baik. Setelah dibebaskan, dia membina imej baharu sebagai seorang lelaki beriman yang menjalankan aktiviti amal untuk golongan kurang upaya sehingga digelar orang baik oleh penduduk setempat. Namun siasatan mendapati Chong sebenarnya menggunakan identiti palsu sebagai doktor gigi dan selain disyaki mengambil wang bantuan kebajikan bulanan milik Puan Park secara diam-diam.


     Walaupun bukti-bukti menunjukkan kaitan kuat antara Chong dan Puan Park, pihak berkuasa tidak dapat membawa kes ini ke muka pengadilan. Hal ini kerana Encik Chong telah pun meninggal dunia akibat kanser pada penghujung tahun 2009 yakni kira-kira dua tahun sebelum mayat Puan Park ditemui. Tarikh sebenar kematian Puan Park tidak dapat dipastikan secara tepat oleh pakar autopsi namun dia dipercayai dibunuh sebelum Chong meninggal dunia. Disebabkan suspek tunggal telah mati, fail kes ini terpaksa ditutup tanpa sebarang pendakwaan rasmi sekali gus meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab tentang detik-detik terakhir hidup Puan Park.

Catat Ulasan for "Kisah Bagaimana Mayat Berada di Taman Permainan Selama Tiga Tahun"